Rabu, 25 April 2012
ISU KEPENGGUNAAN : Pengguna dilindungi pelbagai akta
Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID
RAKYAT di negara ini mestilah memahami bahawa kedudukan mereka sebagai pengguna dilindungi oleh pelbagai akta awam dan akta berkaitan 'perlindungan pengguna'.
Konsep 'perlindungan pengguna' itu sendiri adalah berkaitan dengan kuasa perundangan bagi memelihara dan melindungi hak pengguna daripada dieksploitasi, ditipu, ditindas dan diperdaya oleh pengeluar (industri), syarikat perdagangan, pembekal dan peniaga.
Antara tujuan undang-undang berkaitan perlindungan pengguna diwujudkan untuk menjamin keselamatan pengguna, kesihatan pengguna, kepentingan ekonomi pengguna, maklumat peribadi pengguna serta ganti rugi pengguna.
Semua tujuan tersebut selari dengan Fasal 1 berkaitan perlindungan pengguna di bawah Garis Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang merangkumi tujuh perkara utama, iaitu: keselamatan fizikal (Fasal 9-12), kepentingan ekonomi pengguna (Fasal 13-23), keselamatan dan kualiti barang pengguna (Fasal 24-26), kemudahan untuk perkhidmatan dan barang perlu (Fasal 27), hak pengguna mendapat tebus rugi (Fasal 28-30), penyelidikan dan maklumat (Fasal 31-37) dan perkara berkaitan bidang tertentu seperti makanan, air dan farmaseutikal (Fasal 38-42).
Antara beberapa contoh akta berkaitan perlindungan pengguna di negara ini adalah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan Akta Lembaga Padi dan Beras Negara 1994 yang bertujuan memastikan harga padi berpatutan dan stabil bagi petani dan pengguna. Akta Makanan 1983 bertujuan mengawal penjualan makanan supaya tidak mengancam pengguna.
Akta Kawalan Bekalan 1961 (pindaan 1990) pula bertujuan mengawal bekalan barang-barang kawalan bagi memastikan bekalan mencukupi serta mengambil tindakan terhadap perbuatan menyorok atau enggan menjual barang kawalan kepada pengguna.
Untuk mengawal penipuan dalam timbangan maka diwujudkan Akta Timbang dan Sukat 1972 yang bertujuan memastikan alat timbang adalah tepat serta menggunakan unit sukatan berdasarkan kepada sistem unit antarabangsa.
Para pendeposit wang di bank-bank di negara ini dilindungi oleh Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 serta Akta Perbankan Islam. Akta-akta terbabit bertujuan mengawal selia institusi yang menjalankan perniagaan bank dan syarikat-syarikat kewangan serta memberi perlindungan kepada pendeposit serta pengguna perkhidmatan perbankan dan kewangan lain.
Akta Insurans 1996 dan Akta Takaful 1984 pula bertujuan mengawal selia industri insurans untuk memberi perlindungan 'pemunya' dasar insurans. Sementara itu, Akta Sewa Beli 1967 bertujuan mengawal perniagaan sewa beli dengan menggariskan hak pengguna yang dilindungi akta.
Dalam soal berkaitan pembelian rumah, pengguna dilindungi oleh Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 yang bertujuan mengawal industri perumahan di negara ini. Akta ini memberi kuasa kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) yang mengadakan prosiding bagi tuntutan pembeli rumah ke atas pemaju yang melanggar kontrak.
Selain aspek perundangan, kerajaan turut menggubal beberapa dasar dan institusi perlindungan pengguna. Antaranya Dasar Pengguna Negara (DPN) yang diluluskan Kabinet pada Mei 2002 bertujuan mewujudkan keseimbangan hak dan tanggungjawab tiga pihak iaitu pengguna, peniaga termasuk pembekal dan pengilang dan kerajaan. Sejak diwujudkan, DPN berjaya memperkukuh perlindungan pengguna di negara ini.
Selain itu, Rukuniaga Malaysia (RM) dan Kod Etika Amalan Perniagaan (KEAP) turut diperkenalkan oleh Majlis Penasihat Perlindungan Pengguna Kebangsaan (MPPPK) untuk membina tanggungjawab moral dan sosial peniaga terhadap pengguna di negara ini. KEAP dirangka pada 1982, manakala RM pula pada 2002.
Untuk menyelesaikan sebarang pertikaian antara pengguna dan pengeluar atau peniaga maka Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) ditubuhkan Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan mula dikuatkuasakan pada November 1999. TTPM merupakan sebuah badan bebas bertujuan mendengar dan mengadili tuntutan pengguna dan had pampasan ganti rugi yang dibenarkan oleh tribunal berkenaan adalah tidak melebihi RM25,000.
Selain tribunal pengguna, kerajaan juga mewujudkan Biro Perantaraan Kewangan (BPK), Biro Pengantaraan Perbankan (BPP) dan Biro Pengantaraan Insurans (BPI). BPK ditubuhkan pada Januari 2005 bertujuan menyelaraskan BPP dan BPI serta memastikan pertikaian yang dihadapi oleh pengguna dan institusi insurans/takaful dan kewangan (perbankan) diselesaikan secara berkesan dan cepat.
Apa pun, perlindungan pengguna di negara ini akan menjadi berkesan sekiranya gerakan kepenggunaannya memainkan peranan aktif menyedarkan rakyat tentang hak dan tanggungjawab mereka selaku pengguna. Kewujudan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pada Jun 1973 menjadikan gerakan kepenggunaan di negara ini lebih dinamik dan terarah.
FOMCA berperanan memayungi kebanyakan persatuan pengguna serta mengatur pelbagai perancangan dan aktiviti kepenggunaan di negara ini. Antaranya, menyedarkan pengguna terhadap kuasa dan tanggungjawab mereka, membantu menegakkan hak pengguna, mengesan pelbagai penyelewengan pengeluar dan peniaga serta menjadi pendorong kepada penggubalan akta-akta berkaitan perlindungan pengguna.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) juga adalah di antara persatuan pengguna yang memainkan peranan cukup berkesan dalam melindungi dan memberi pendidikan kepenggunaan kepada pengguna di negara ini.
Kesimpulan, perlindungan pengguna di negara ini membabitkan kerangka perundangan, institusi perlindungan pengguna dan peranan NGO.
Aspek yang perlu dipertingkatkan adalah memperkukuh pendidikan kepenggunaan. Malah, peniaga dan pengeluar juga perlu dididik secara berterusan supaya mereka benar-benar mengikuti Garis Panduan Rukunniaga Malaysia serta mengamalkan Kod Etika Amalan Perniagaan.
FOMCA, CAP dan PPIM boleh mengadakan siri-siri dialog, seminar atau penerangan dengan pihak pengeluar, peniaga dan pembekal mengenai tanggungjawab mereka melindungi pengguna.
PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara Jabatan Penerangan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan