Jumaat, 13 April 2012
ISU BAHASA : Menghargai 77 tahun A. Samad Said
Oleh AZNAN BAKAR
aznan.bakar@utusan.com.my
SELASA lalu bersamaan 9 April, genap 77 tahun umur Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said. Dua hari sebelum tarikh tersebut, bertempat di kedai buku Kinokuniya, KLCC telah berlangsung majlis pelancaran tiga buah buku yang membabitkan penulis tersohor negara itu.
Dua daripadanya, A. Samad Said: Memberi Hati Nurani dan Pak Samad: Di Mata Kami bukan karya beliau.
Ia merupakan catatan daripada teman-teman dan mereka yang pernah mengenali dan dikenalinya sama ada secara jauh atau dekat.
"Saya tidak tahu apa isi buku ini." Itu kata A. Samad atau mesra dipanggil Pak Samad ketika diminta reaksi mengenai pelancaran buku pada majlis Menjelang 77 Tahun A. Samad Said itu.
Hanya kesyukuran dan terima kasih dilahirkan sebagai menghargai kata-kata manis, pujian, penghargaan dan kritikan terhadapnya dalam dua buku tersebut.
Hanya Rindu Ibu - koleksi 101 puisi kanak-kanak - merupakan karya beliau. Buku yang sebelum ini diterbitkan oleh Wira Bukit Sdn. Bhd., diterbitkan semula oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bersama dengan Wira Bukit.
Koleksi puisi khusus untuk kanak-kanak itu membawa mesej penuh teladan dengan bait-bait puitis mudah diungkap dan dituturkan oleh kanak-kanak.
A. Samad Said: Memberi Hati Nurani boleh dianggap sebagai buku biografi pertama mengenai Sasterawan Negara yang penuh kontroversi itu.
Siapa tidak kenal Pak Samad dengan mogok seninya. Kini, dia kerap turun ke jalanan bagi meluahkan rasa tidak puas hati dengan sistem yang ada.
Buku yang disusun oleh Dr. Rosnah Baharudin memaparkan perjalanan hidup Pak Samad yang penuh dengan warna-warni. Kisah hidupnya sebagai wartawan, sasterawan dan juga ilmuwan. Buku itu sedikit sebanyak menampilkan pandangan dan pemikiran beliau terhadap aspek sosial, ekonomi dan politik.
Semua elemen itu dinyatakan sama ada secara tersurat atau tersirat dalam karya-karyanya.
Pak Samad: Di Mata Kami pula merupakan catatan 30 penulis dalam bentuk tulisan dan puisi mengenai Pak Samad.
Semua tulisan tersebut adalah mengenai dirinya sama ada dari dekat mahupun jauh termasuk perjuangan dalam perhimpunan anti-PPSMI bersama Allahyarham Datuk Hassan Ahmad seperti yang dinukilkan oleh Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Husin.
Penyumbang lain dalam buku yang disunting oleh Rahimidin Zahari itu (sekadar menyebut beberapa nama) ialah A. Wahab Hamzah, Abdul Ghafar Ibrahim, Marsli N.O., Sani Sudin, Victor A. Pogadaev, Puzi Hadi, Mior Hashim Manap. U-Wei Saari, Ladin Nuawi dan Pyanhabib.
Seperti kata Pengarah Urusan ITBM, Mohd. Khair Ngadiron, Pak Samad: Di Mata Kami ditulis berdasarkan pengalaman 30 penulis terbabit semasa berurusan secara peribadi dengan Sasterawan Negara itu.
Mohd. Khair ketika berucap pada majlis itu juga berkata, ketiga-tiga buku itu adalah simbolik penghargaan kepada jasa dan sumbangan Pak Samad yang tidak pernah jemu memperjuangkan sastera Melayu.
"Kisah tokoh sastera ini merupakan khazanah yang perlu dipelihara," katanya.
Sementara itu, Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan ketika merasmikan majlis dan melancarkan ketiga-tiga buku tersebut berkata, segala apa yang dilalui oleh Pak Samad adalah untuk merintis jalan bagi generasi akan datang.
Pak Samad adalah lambang perjuangan bagi menegakkan kesusasteraan dan bahasa Melayu.
Seperti catatan Pyanhabib pada muka surat 169 Pak Samad: Di Mata kami: "Pak Samad tidak minta hak orang. Dia minta hak dia. Dia mahu hidup hasil daripada karya-karyanya. Apabila Pak Samad mogok seni, secara langsung dia menyedarkan golongan establish bahawa penulis mampu hidup dengan berkarya. Dan Pak Samad telah buktikan".
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
dia meerupakan sasterawan yang berani... :)
BalasPadamA. Samad Said sememangnya ikon sasterawan berjiwa merdeka yang wajar dijadikan contoh oleh generasi kini...
BalasPadamUSIA bukan penghalang malah menjadi pendorong kepada tokoh sastera, A. Samad Said, untuk berbuat sesuatu bagi negaranya demi mempertahankan prinsip demokrasi dan imbangan dalam masyarakat.
BalasPadamItulah alasan mengapa Sasterawan Negara Malaysia berusia 77 tahun itu bersetuju menjadi pengerusi bersama Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) apabila diusulkan oleh rakan-rakannya.
'Rakan-rakan dalam perjuangan itu (Bersih) mendatangi saya, dan merasakan saya dapat memberikan sumbangan.
'Agak kebetulan pula saya dalam satu kelompok penulis yang agak aktif juga dalam mengadakan ceramah dan seumpamanya, dan mungkin juga oleh kerana saya terlibat dalam perjuangan menentang PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris) - meluhuri bahasa Melayu. Oleh kerana itu, ia agak bersambung.
'Orang datang kepada saya dengan merasakan bahawa saya dapat membantu walaupun saya sendiri merasakan agak terlalu banyak diharapkan daripada saya. Tetapi, alhamdulillah, nampaknya ada kesanggupan,' jelas sasterawan yang lebih mesra dengan panggilan 'Pak Samad' itu ketika ditemui Berita Harian Singapura, di Masjid Negara, Kuala Lumpur, petang kelmarin.
Menurut Pak Samad, beliau prihatin terhadap suasana politik dan masyarakat Malaysia kerana telah melihat sendiri 'perjalanan landas demokrasi sudah tak betul' di negaranya dan seringnya isu perkauman dan keagamaan ditimbulkan para pemimpin apabila mahu memancing sokongan agar memihak kepada mereka.
'Jadi, kalau penguasa itu orang Melayu, kalau ingin terus berkuasa dia akan membentangkan soal bahawa orang Melayu tertindas di tanah airnya sendiri. Itu yang anehnya,' kata beliau.
Menurutnya, Malaysia sudah merdeka selama 54 tahun di bawah kepimpinan yang sebahagian besarnya diterajui orang Melayu, maka 'bagaimana anda boleh menyatakan orang Melayu di sini agak tertindas'.
Menyentuh motivasi sumbangannya dalam membetulkan 'landasan demokrasi' negaranya melalui Bersih, Pak Samad menegaskan bahawa beliau teringat kata-kata mutiara seorang penyair Indonesia, Chairil Anwar.
'Saya masih ingat apa Chairil Anwar kata: 'Sekali berarti sesudah itu mati' yang ertinya sebelum kita mati, di mana-mana yang perlu, kita harus dapat memberikan sumbangan. Ya, apa salahnya?'
'Semakin saya mendalami, mensyahdui diri saya, maka saya rasakan Tuhan tidak datangkan kita untuk kita sahaja. Tuhan juga mendatangkan (kita) untuk kebahagiaan orang lain. Jadi, apa sahaja yang kita boleh sumbangkan, kita sumbangkan sebab Nabi pun didatangkan untuk berkhidmat kepada ummah. Jadi, itu sebab saya tidak mahu mensia-siakan umur saya,' jelasnya sambil berharap setiap tuntutan Bersih akan dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang.
(Sedutan HMetro Singapura)