Jumaat, 13 April 2012
ISU PENGAJIAN TINGGI : Mahasiswa Perlu Realisasikan Tiga Cabaran Utama
Oleh SITI HAJAR ABD AZIZ
KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telahpun diumumkan buat sekian kalinya, maka ramailah lepasan SPM yang memasang impian untuk menjadi sebahagian daripada warga kampus dengan harapan mereka boleh membina kerjaya yang cemerlang dan berbakti kepada ibu bapa di kemudian hari.
Di universiti pula, yang sudah bergelar mahasiswa berlumba-lumba untuk menjalankan pelbagai aktiviti termasuklah pameran, diskusi dan khidmat masyarakat.
Ada yang melakukannya atas dasar ingin mendapat markah yang baik dan ada juga yang benar-benar mahu berjasa kepada universiti dan komuniti setempat.
Inisiatif warga universiti untuk menyemarakkan aktiviti di dalam dan di luar universiti masing-masing sememangnya harus dipuji, namun idea aktiviti kemahasiswaan ini hanya semata-mata untuk mendapat segulung diploma atau ijazah perlu ditangkis, paling tidak, dikikis.
Mahasiswa rata-rata sedar bahawa mereka dipandang tinggi di dalam masyarakat, sesuai dengan identiti dan status mereka sebagai para pencari ilmu dan golongan cerdik-pandai.
Kita juga berharap mereka sedar, gelaran itu bukanlah gaya atau tiket untuk menunjuk lagak, tetapi peranan mahasiswa yang dianggarkan berjumlah 1.2 juta orang ini sangat besar.
Jika di dalam sesebuah negara demokrasi, kuasa yang dikenal pasti oleh cendekiawan ialah empat kuasa (four estate) iaitu kerajaan (pemerintah), parlimen (pembuat undang-undang), badan kehakiman dan media, maka mahasiswa hampir layak dinobatkan sebagai kuasa yang kelima (fifth estate) berdasarkan kekuatan mereka dan perubahan yang mampu mereka laksanakan sekiranya mereka bergabung tenaga.
Memang benar, kalau sebut sahaja kempen, mudah sekali kita membayangkan betapa bosannya aktiviti tersebut dan kemungkinan besar ia sukar mendapat penyertaan ramai.
Namun tidak dinafikan kempen-kempen kesedaran, majlis ilmu dan diskusi intelektual yang sering berlangsung di dalam universiti perlu juga diketengahkan ke khalayak ramai supaya keberkesanannya lebih meluas lagi.
Kempen “Bumi Hijau” contohnya, yang sering diangkat sebagai tema penganjuran yang popular dalam kalangan mahasiswa hari ini, perlu juga dilaksanakan secara menyeluruh dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, organisasi bukan kerajaan dan penduduk setempat.
Pelaksanaan secara integrasi dan besar-besaran boleh menukar kempen kesedaran alam sekitar seperti dari satu perkara yang bermusim kepada satu cara hidup yang dituntut semua dan untuk kebaikan sejagat.
Satu lagi kempen yang semakin dilupai ialah kempen derma darah. Kempen kesihatan seperti ini tidak seharusnya dipelopori oleh mereka yang terbabit secara langsung seperti hospital atau pelajar perubatan sahaja, tetapi ia harus didokong oleh mahasiswa dari pelbagai bidang kerana kesihatan adalah sebuah matlamat bersama, iaitu untuk membantu tabung darah hospital setempat yang memang memerlukan sumbangan orang ramai setiap masa.
Mahasiswa perlu terus maju dalam melaksanakan program-program berkepentingan sosial seperti ini tanpa perlu rasa jemu, seperti kempen membanteras penagihan dadah dan pembuangan bayi, kempen budi bahasa, kempen kebersihan dan kempen kebudayaan.
Kementerian Pengajian Tinggi sememangnya menyokong usaha melibatkan golongan mahasiswa secara aktif dengan masyarakat di dalam program-program interaksi yang memupuk sikap penyayang dan persahabatan.
Menurut Menterinya Datuk Mohamed Khaled Nordin, mahasiswa memikul tiga peranan besar di bawah tema “Mahasiswa: Gerak untuk Malaysia”.
Cabaran Pertama ialah mahasiswa sebagai penyedar dan penyebar kesedaran Nasional.
Cabaran Kedua, untuk membangunkan keperibadian, idealisme, kemahiran dan kepemimpinan melalui program dan aktiviti yang menjadi tumpuan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Manakala Cabaran Ketiga ialah bagaimana mahasiswa boleh menjadi penyelesai kepada isu dan cabaran semasa dan masa hadapan.
Cabaran-cabaran ini perlu disahut dengan cara mengaplikasikan pengajaran di dalam bilik dengan segera melalui aktiviti-aktiviti keilmuan, keusahawanan, kemasyarakatan dan penyelidikan tanpa perlu menunggu tamatnya tempoh pengajian masing-masing.
Hanya dengan cara inilah keperibadian dan keterampilan mereka dapat ditingkatkan sesuai dengan status mereka sebagai seorang mahasiswa.
PENULIS IALAH PENSYARAH FAKULTI KOMUNIKASI DAN PENGAJIAN MEDIA UiTM MELAKA
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan