Rabu, 25 April 2012
ISU PENDIDIKAN : Pelajar Tingkatan 6 Dan Matrikulasi Boleh Mohon Tangguh PLKN
KUALA LUMPUR: Bakal pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan meneruskan pengajian di tingkatan enam atau program matrikulasi bermula Mei ini boleh memohon penangguhan bagi mengikuti PLKN Kumpulan 2 Siri 9/2012.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil hari ini berkata bakal pelatih berkenaan bagaimanapun perlu mengisi borang permohonan yang boleh diperolehi di kaunter khidmat pelanggan JLKN atau dimuat turun dari laman web rasmi JKLN www.khidmatnegara.gov.my
Beliau berkata setelah borang tersebut dilengkapkan, ia hendaklah dikepilkan bersama surat tawaran kemasukan ke tingkatan enam atau program matrikulasi sebelum dihantar ke Cawangan Pengecualian dan Penangguhan, Bahagian Pengurusan Pelatih, JLKN.
"Penangguhan sehingga tamat tempoh pengajian akan diberikan kepada pemohon. Bagi mereka yang akan menyambung pengajian selepas tamat tempoh penangguhan tersebut, mereka perlulah mengisi Borang Permohonan Pembaharuan Penangguhan melalui proses yang sama," katanya dalam kenyataan. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan