Rabu, 25 April 2012
ISU SOSIAL : Boros sekarang... semakin tua, semakin miskin
Oleh Fauziah Arof
BOROS punca ramai rakyat di negara ini jatuh miskin? Ada orang yang tak boros pun miskin juga, itu kata seorang teman kepada saya.
Memanglah agak sukar untuk mengaitkan orang miskin dengan amalan boros, golongan ini tidak ada banyak wang atau tiada wang langsung untuk dibelanjakan. Apatah lagi untuk menjadi seorang yang pemboros.
Namun sikap boros ini yang terutamanya melibatkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, amat berbahaya dan boleh menjerat diri sendiri dan keluarga di hari tua.
Ini kerana dalam usia yang kian meningkat, tanpa kita sedari hari persaraan bekerja pun semakin hampir, tetapi dalam masa sama tiada tabungan dibuat kerana memikirkan ada wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh dikeluarkan apabila pencen nanti.
Sudah tentu, mengharapkan wang simpanan dalam KWSP untuk menampung kehidupan di masa tua adalah tidak mencukupi. Kena pula dalam usia persaraan tersebut, kita tetap meneruskan perangai boros. Maka sekejapan sahaja wang tersebut yang disimpan bertahun-tahun lamanya, boleh habis dalam masa beberapa hari.
Dan untuk mengharapkan bantuan anak-anak, tidak semuanya berpendapatan lumayan yang boleh membantu ibu bapa kerana pada masa sama mempunyai tanggungan keluarga masing-masing, dan kesusahan akan lebih terasa apabila anak-anak masih belajar atau belum bekerja.
Sebab itu, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu perlu ada, kerana ibu bapa yang sudah tua tidak perlu melangsaikan hutang itu, yang membayar ialah anak-anak apabila mereka pula bekerja.
Maka dengan macam-macam masalah kewangan, hari tua yang sepatutnya dinikmati dengan tenang bersama anak cucu, akan menjadi amat ‘memeritkan’ dan huru-hara kerana dalam usia yang lanjut itu ada yang terpaksa mencari kerja atau berniaga kecil-kecilan untuk meneruskan sisa-sisa hidup. Sedangkan hari tua adalah satu fasa kehidupan untuk berehat.
Memang amalan menabung, adalah penyelamat pada usia tua. Tetapi ramai yang memberi alasan, gaji yang diterima sekarang pun tidak cukup untuk keperluan sebulan, inikan pula mahu menyimpan.
Begitulah peritnya kehidupan, bukan semua daripada kita bernasib baik dapat menyandang jawatan tinggi dan bergaji tinggi, tetapi bersusah-payah dahulu sekarang, bersenang-lenang kemudian adalah jauh lebih baik daripada bersusah-payah dahulu, sekarang dan selama-lamanya.
Hakikatnya, amalan menabung, walaupun sedikit jumlahnya adalah jauh lebih baik juga daripada tiada langsung.
Menurut Pengurus Besar Tune Ins Holding Sdn. Bhd., K. Sasitharan yang bercakap mengenai keborosan yang menyebabkan kebanyakan rakyat negara ini jatuh miskin selepas bersara baru-baru ini, wang simpanan RM1 juta atau RM2 juta bukan satu nilai yang selamat seandainya amalan boros diteruskan semasa usia persaraan.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, sekiranya anda memiliki simpanan kurang daripada RM 1 juta tetapi hidup dengan cukup sederhana dan berhemah, wang yang dimiliki mampu bertahan.
Memang di negara ini, dalam kita bising harga barangan naik, gaji tak naik, tapi masih ramai yang boleh menjalani gaya hidup mewah dengan gaji yang tak seberapa.
Golongan ini berbelanja bukan mengikut keperluan, jauh sekali mengikut kemampuan, tetapi terpengaruh dengan gaya kehidupan sekeliling. Justeru, ramai yang menanggung hutang kad kredit yang seperti tak habis-habis walaupun sudah tidak bekerja.
Memang bukan mudah untuk beralih kepada gaya hidup yang lebih sederhana sekiranya sudah lama menikmati gaya hidup ala-ala orang kaya, tetapi kita juga kena berfikiran jauh dan membuat persediaan secukupnya untuk menjalani kehidupan selepas bersara.
Apabila sudah bersara, kita masih memerlukan wang untuk makan atau membeli barangan keperluan lain dan dalam usia tua nanti pelbagai penyakit pula yang akan datang dan kita perlu menyediakan wang secukupnya untuk menanggung kos perubatan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan