Rabu, 2 Mei 2012
ISU SOSIAL : Pulangkan Nayati ke pangkuan keluarganya
Oleh Fauziah Arof
SATU lagi berita kehilangan kanak-kanak dilaporkan pada 27 April lalu. Nayati Shamelin Moodliar, warga negara Belanda yang berusia 12 tahun dipercayai diculik pada pukul 7 pagi ketika dalam perjalanan ke sekolahnya berhampiran Mont Kiara International School (MKIS), di ibu negara.
Ketika kejadian tersebut, kanak-kanak lelaki ini, memakai uniform sekolah, iaitu berkemeja T Polo dan berseluar hijau.
Dia dikatakan diculik ketika berjalan kaki seorang diri kira-kira 300 meter dari rumahnya.
Semoga kehilangan yang kali ini berkesudahan dengan berita gembira. Kita berharap agar anak kecil ini akan dikembalikan ke pangkuan keluarganya dengan selamat.
Berita mengenai Nayati tersebar luas beberapa jam selepas kehilangannya di Facebook, Twitter dan Youtube di seluruh negara. Sistem amaran awal bagi kehilangan kanak-kanak atau NUR Alert (National Urgent Response Alert) turut menyebarkan berita kanak-kanak ini.
Dalam pada itu, pengendali khidmat selular turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenainya kepada pelanggan- pelanggannya. Risalah-risalah juga diagih dan ditampal di tempat-tempat awam termasuk di beberapa buah tol.
Rakyat negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan peringkat umur bersama-sama berusaha untuk mengesan ke mana perginya Nayati dan pada masa sama juga mendoakan keselamatan kanak-kanak itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meletakkan dirinya sebagai seorang bapa, turut merayu di dalam Twitternya agar Nayati tidak diapa-apakan dan meminta orang ramai supaya memperluaskan pencarian kanak-kanak malang berkenaan melalui media sosial.
Semoga kehilangan Nayati tidak lama. Kita berharap agar anak kecil ini yang amat berharga sekali kepada ibu bapanya diberi peluang untuk bersama keluarganya semula.
Kehilangan Nayati mengusik lagi kerisauan kita. Betapa ibu bapa perlu sentiasa lebih berhati-hati dengan persekitaran kita. Penjenayah di luar sana sentiasa mencari ruang dan menunggu peluang untuk melakukannya.
Soal aspek keselamatan, kekerapan pihak polis melakukan rondaan, betapa perlunya pihak sekolah mengadakan ceramah mengenai bagaimana anak-anak menghadapi situasi seperti ini, turut disentuh semula bila berlaku saja kejadian seperti ini.
Tidak perlulah kita menuding jari siapa yang perlu buat kerja lebih untuk menangani jenayah culik kanak-kanak ini. Ini semua adalah tanggungjawab kita bersama, sebagai pelindung kepada mereka.
Rakyat Malaysia telah menunjukkan betapa kita semuanya bersatu dalam menyebarkan maklumat mengenai kehilangan kanak- kanak ini. Apa yang penting semangat seperti ini ada dalam diri kita semua dalam menangani jenayah penculikan kanak-kanak ini.
Sikap peka dan mengambil berat setiap lapisan masyarakat mengenai aspek keselamatan kanak-kanak di sekeliling kita, jauh lebih baik daripada mengharapkan kekerapan pihak berkuasa melakukan rondaan.
Tiada salahnya, bertanyakan dan menemankan kanak-kanak yang berjalan berseorangan di mana-mana jua, sampai ke tempat yang ditujunya.
Tragedi yang menimpa beberapa kanak- kanak yang diculik sebelum ini sudah terlalu pahit untuk kita semua menerimanya. Episod-episod sedih itu amat menyentuh sanubari kemanusiaan kita semua.
Dan kita juga mengetahui, masih ramai lagi kanak-kanak dan remaja yang hilang di negara ini belum ditemui. Namun, ibu bapa mangsa yang terlibat terus berdoa dan menaruh harapan yang menggunung agar anak mereka dipulangkan jua satu masa nanti.
Semoga dengan penyebaran maklumat yang menyeluruh ini Nayati dapat segera dikesan dan ditemui dengan keadaan selamat serta dapat menjalani semula kehidupannya seperti kanak-kanak lain.
Dan semoga ibu bapa Nayati dan ahli keluarganya diberikan lebih kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan ini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
KUALA LUMPUR 3 Mei - Kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar yang dilaporkan diculik ketika berjalan kaki berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont Kiara pada Jumaat lalu, ditemui selamat di Restoran Jejantas Sungai Buloh di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, dekat sini hari ini.
BalasPadamDifahamkan, Nayati, 12, dibebaskan oleh penculiknya setelah keluarga kanak-kanak itu membayar wang tebusan berjumlah RM300,000 pada tengah hari semalam.
Kanak-kanak malang itu yang dibebaskan dalam keadaan selamat dan tidak dicederakan ditemui oleh seorang wanita, Norzaini Zainul Abidin, 31, di luar tandas kawasan rehat itu kira-kira pukul 7.30 pagi ini.
Nayati yang berjaya menghubungi ibunya dengan bantuan Norzaini telah dipertemukan dengan ibu bapanya di hentian itu (arah utara), kira-kira 25 minit kemudian.
Utusan Malaysia difahamkan, Nayati ditemui oleh Norzaini di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang arah selatan sebelum dibawa ke Restoran Jejantas Sungai Buloh.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, penculik Nayati telah membebaskan kanak-kanak itu setelah keluarganya membayar wang tebusan, namun beliau tidak menyebut jumlah tebusan itu.
"Beberapa hari lalu, penculik telah menghubungi keluarga Nayati meminta mereka membayar wang tebusan dan permintaan itu dipenuhi semalam. Wang tunai itu diserahkan di sebuah kawasan di Cheras.
"Mangsa yang ditinggalkan bersama telefon bimbit milik penculik telah dipertemukan dengan ibu bapanya di Sungai Buloh pada pukul 7.55 pagi ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Pada Jumaat lalu, Nayati yang berpakaian seragam sekolah dilaporkan hilang dipercayai diculik oleh dua lelaki tempatan ketika berjalan kaki berseorangan ke sekolahnya.
Bapanya yang bekerja sebagai pengurus konsultan, Sham Moodliar, 41, memaklumkan seorang saksi telah melihat anaknya itu ditarik oleh dua lelaki dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kereta Proton Gen-2 berwarna hitam.
Kehilangan Nayati mendapat liputan luas media massa dan menarik perhatian ramai pihak yang bimbang terhadap keselamatannya termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melalui Twitternya menyeru orang ramai membantu mengesan kanak-kanak itu.
Mengulas lanjut kes tersebut, Mohmad berkata, polis setakat ini belum dapat memberkas suspek tetapi usaha mengesan mereka sedang giat dilakukan.
"Pihak polis yang cuba sedaya upaya untuk memburu suspek dan menyelesaikan kes penculikan ini.
"Setakat ini, polis belum mengambil keterangan daripada Nayati kerana kanak-kanak itu masih dalam keadaan trauma," katanya sambil memberitahu Nayati sudah dibawa pulang oleh keluarganya.
Terkini : Empat Ditahan Terlibat Kes Culik Nayati
BalasPadamKUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam kes penculikan kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, pada 27 April lepas.
Menurut sumber polis, suspek yang berusia antara 30-an dan 50-an itu ditangkap dalam operasi berasingan di Perak dan Cheras, Selangor, sejak Ahad hingga awal pagi ini.
"Polis menemui semula lebih RM100,000 iaitu sebahagian daripada wang tebusan yang dibayar oleh bapa Nayati (Sham Moodliar) dan ibunya (Janice Smith)," kata sumber itu.
Anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur yang melakukan tangkapan itu turut merampas peralatan seperti komputer riba dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek untuk tujuan rundingan dan meminta wang tebusan daripada ibu bapa Nayati.
Sumber itu berkata polis menunggu kepulangan keluarga Nayati yang dilaporkan sedang bercuti bagi membolehkan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu membuat pengecaman terhadap suspek-suspek berkenaan.
Nayati, yang diculik ketika berjalan kaki berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont' Kiara dekat rumahnya di sini, ditemui selamat di kawasan Rehat dan Rawat Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan pada 7.55 pagi, 3 Mei lepas.
Difahamkan seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam penculikan itu sedang diburu polis dan dipercayai masih berada di sekitar ibu negara.
Sumber itu tidak menolak kemungkinan polis akan memberkas suspek dalam masa terdekat berdasarkan beberapa maklumat yang diperoleh hasil risikan polis. BERNAMA