Selasa, 1 Mei 2012
ISU KENEGARAAN : Pemimpin berintegriti tonggak negara sejahtera
Oleh REBICCA RIBUT
(Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim Kedah)
Dalam era globalisasi ini, kesejahterahan dan keamanan sesebuah negara seringkali digugat oleh pelbagai anasir negatif sama ada dari dalam atau luar negara. Anasir negatif tersebut datang dalam pelbagai bentuk seperti hiburan dari Barat dan pengaruh internet. Oleh demikian, kebijaksanaan dan kecekapan seorang pemimpin adalah penting dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.
Namun, seorang pemimpin tersebut juga harus menitikberatkan, mengamalkan dan memiliki integriti dalam dirinya. Integriti dapat ditakrifkan sebagai suatu kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu atau organisasi serta berkait rapat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam sehari-hari. Dalam Kamus Dewan didefinisikannya sebagai kejujuran dan ketulusan.
Terdapat pelbagai sikap pemimpin yang mencerminkan integriti seperti bersikap amanah, beriltizam tinggi, berakhlak dan berbudi pekerti mulia serta dapat memberi teladan yang baik kepada rakyat.
Seseorang pemimpin haruslah mengamalkan sikap amanah iaitu dapat memikul tanggungjawab sebagai salah seorang individu yang terpenting dalam tampuk pemerintahan negara. Oleh itu, seorang pemimpin juga harus mengamalkan sikap amanah dalam menjalankan tugas.
Contohnya, tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, keluarga sanak saudara atau kaum kerabat sendiri. Sebaliknya, seorang pemimpin harus memberi keutamaan kepada kepentingan awam. Selain itu, tanggungjawab sebagai seorang pemimpin juga harus dipikul dengan penuh ketelusan dan ketulusan.
Hal ini kerana, sebagai seorang pemimpin yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat, mengamalkan dan memiliki sikap amanah akan menjadikan mereka lebih diyakini keupayaan dan keikhlasan dalam mentadbir negara oleh golongan marhaen.
Seperti peribahasa Melayu, "Raja adil - raja disembah, Raja zalim - raja disanggah." Oleh itu, sebarang pemberontakan atau demonstrasi yang berunsurkan ketidakpuashatian rakyat terhadap kepimpinan seorang pemimpin dapat dielakkan daripada berlaku.
Jika kita lihat di negara-negara luar seperti Libya, yang mana telah wujud golongan yang mempertikaikan kepimpinan serta ingin menggulingkan pemimpin mereka iaitu Muammar Gaddafi sehingga mewujudkan pergolakan dan suasana kacau-bilau sehingga mengakibatkan ketidakamanan di negara tersebut.
Sekiranya perkara seumpama itu berlaku di negara kita, sudah tentu keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi sejak sekian lama akan tergugat dan kita hidup dalam ketakutan. Oleh itu, jelaslah bahawa bersikap amanah amat penting bagi seorang pemimpin bagi memastikan kesejahteraan negara.
Selain itu, seorang pemimpin juga harus mempunyai iltizam yang kuat serta bersedia dari segi mental dan fizikal dalam mentadbir negara. Mempunyai iltizam yang kuat bermaksud memiliki kesungguhan yang jitu dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.
Pemimpin harus memiliki ilmu pengurusan bagi membolehkannya mentadbir negara dengan cekap dan efektif bagi menjamin kesejahteraan negara yang ditadbir. Contohnya, seorang pemimpin yang tidak memiliki iltizam serta ilmu pengurusan akan menjadi seorang pemimpin serta ketua tanpa persediaan dalam melaksanakan tanggungjawab seperti sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Ia akan memberi impak yang buruk kepada negara iaitu mewujudkan kepincangan dalam pemerintahan.
Peristiwa kejatuhan kesultanan Melayu Melaka pada zaman dahulu yang berpunca daripada kepincangan dalam pemerintahan harus dijadikan iktibar serta teladan kepada pemimpin. Oleh itu, seyogia seorang pemimpin harus mendapat latihan kepimpinan serta menimba ilmu secukupnya sebelum memegang gelaran sebagai pemimpin. Pemimpin sebegini akan lebih dihormati dan disegani oleh rakyat serta menjadi suri teladan kepada segenap lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, memiliki akhlak dan berkelakuan mulia juga merupakan salah satu sikap berintegriti yang harus diamalkan oleh pemimpin. Pemimpin yang berintegriti akan mengamalkan dan menghayati nilai-nilai moral seperti kepercayaan kepada Tuhan, amanah dan kejujuran. Nilai moral seumpama ini harus menjadi pegangan pemimpin dalam mentadbir negara.
Oleh itu, kerakusan nafsu dalam diri pemimpin tidak akan wujud. Nafsu tersebut dapat dilihat apabila seorang pemimpin tidak jujur dalam menjalankan tanggungjawabnya seperti mengamalkan rasuah.
Selain itu, seringkali kita membaca berita yang terpampang di dada akhbar yang mengatakan tentang calon-calon pilihan raya yang hanya inginkan populariti untuk meraih undi tanpa mengambil kira kepentingan negara.
Golongan seumpama ini hanya akan bertindak mengikut nafsunya sendiri tanpa menghayati nilai-nilai moral. Justeru, rakyat akan kurang berkeyakinan terhadap pemimpin tersebut kerana menganggap pemimpin seumpama itu adalah gila kuasa.
Sementara itu, seorang pemimpin harus mengotakan kata dan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat dan bukannya sekadar pemanis bicara. Mutakhir ini, rakyat seringkali berhadapan dengan pemimpin yang hanya bijak berpidato dan berhujah tentang integriti di hadapan rakyat namun terdapat tingkah laku mereka yang tidak mencerminkan mereka mengamalkan integriti.
Misalnya, menyeru rakyat agar menjauhi amalan rasuah kerana amalan tersebut boleh mendatangkan impak negatif terhadap negara. Namun dalam masa yang sama, mereka turut mengamalkan dan seolah-olah membenarkan rasuah terjadi dalam negara. Pemimpin seperti ini boleh dikatakan sebagai 'cakap tidak serupa bikin' oleh masyarakat yang kian bijak menilai baik buruk peribadi seorang pemimpin. Oleh itu, tidak hairan jika wujudnya golongan yang mempertikai daya kepimpinan pemimpin tersebut akibat hilang keyakinan.
Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, pemimpin tersebut harus bermuhasabah diri dalam setiap tindak-tanduknya sebagai seorang pemimpin bagi menjaga hati dan kepentingan rakyat sekali gus menjaga kesejahteraan negara. Intihanya, seorang pemimpin haruslah mengamalkan sikap berintegriti dalam diri mereka bagi menjalankan tanggungjawab memimpin negara dengan lebih baik dan berkesan agar dapat menjadi suri teladan kepada masyarakat. Jelas, pemimpin yang berintegriti akan lebih disenangi, disegani serta dihormati oleh rakyat.
Malah, rakyat akan lebih berkeyakinan terhadap tampuk pemerintahan pemimpin yang berintegriti sekali gus dapat mengelakkan timbulnya kejadian yang tidak diingini seperti tunjuk perasaan dan kekacauan yang mampu mengganggu gugat ketenteraman, keamanan serta kesejahteraan negara. Oleh itu, pemimpin yang berintegriti adalah tonggak utama kesejahteraan negara.
PENULIS ialah pemenang kedua Pertandingan Menulis Esei Integriti Politik peringkat pengajian tinggi yang dianjur oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan