Oleh KU SEMAN KU
HUSSAIN
KETIKA
mewawancara Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan
tidak lama dulu, beliau menegaskan, tugas utamanya ialah meletakkan bahasa
Melayu pada kedudukan asalnya seperti dalam Perkara 152 Perlembagaan. Dalam
Perkara 152, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara ini.
Ini kerana
kedudukan sebagai bahasa rasmi dalam Perlembagaan pada hakikatnya tidak
dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Sasterawan Negara Usman Awang pernah
melontarkan marahnya dalam puisi Keranda 152 yang dihasilkan pada 3 Mei 1967.
Kemudian disusuli dengan perarakan Keranda 152 yang merujuk kepada Perkara 152
mengenai kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan.
Bahasa Melayu dan
DBP tidak pernah berpisah dan tidak mungkin dapat dipisahkan. Malah DBP jugalah
yang menyemarakkan slogan "bahasa jiwa bangsa" sekalipun hakikatnya
sesetengah orang Melayu sendiri sudah tidak menghormati bahasa Melayu.
Jumaat lalu
genaplah 56 tahun DBP atau sebelumnya dikenali sebagai Balai Pustaka. DBP yang
ditubuhkan di Johor Bahru pada 22 Jun 1956 kemudian DBP Brunei pada 1960 adalah
sebuah institusi persuratan dan budaya yang menjadi tunggak perpaduan kepada
negara pelbagai kaum ini.
Semasa Kongres
Bahasa dan Persuratan Melayu III pada September 1956, Balai Pustaka bertukar
menjadi "Dewan Bahasa dan Pustaka" dan nama itu dicadangkan oleh
pemikir Melayu, Prof. Diraja Ungku Aziz Abdul Hamid. Nama itu dengan sendiri
menekankan bahawa institusi itu bukan sahaja menjadi sebuah pustaka tetapi juga
dewan atau institusi bahasa. Tentulah bahasa dalam konteksnya bahasa Melayu.
Sebagai sebuah
institusi bahasa dan budaya, ukuran kejayaan dan kehebatan DBP bukanlah kepada
aspek fizikalnya tetapi semangat, daya juang dan iltizamnya memartabatkan
bahasa Melayu. Sebenarnya bahasa Melayu sudah dimartabatkan apabila diletakkan
dalam Perlembagaan sebagai bahasa rasmi. Tetapi ironinya di negara ini, bahasa
rasmi pula yang perlu dimartabatkan kerana keengganan banyak pihak menghormati
Perlembagaan. Pelik bukan?
Dalam menjengah
usia 56 tahun, DBP sebenarnya diasak dari segenap penjuru. Peneraju DBP masa
ini seperti Dr. Awang tentunya lebih besar cabarannya berbanding pada zaman
awal penubuhannya dulu. Ini kerana ketika itu bahasa Melayu berada di persada
yang tinggi. Kini banyak pihak tidak yakin dengan bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu. Bahasa Inggeris dianggap bahasa ilmu walaupun sebenarnya mengambil ilmu
ada dalam bahasa lain.
Laras perjuangan
Ketua Pengarah DBP yang baru ini sangat jelas. Matlamatnya untuk meletakkan
kembali bahasa Melayu pada kedudukan yang termaktub dalam Perlembagaan. Tetapi
perjuangan itu bukan mudah dalam persekitaran sosial yang nipis terhadap bahasa
Melayu. Perjuangannya bukan sekadar membetulkan bahasa Melayu di papan-papan
tanda malah menjadikan bahasa perpaduan.
Pupus
Sebelum ini ada pihak membuat andaian bahawa pada akhir abad ini kira-kira 6,000 bahasa yang ada di dunia akan pupus kerana tidak lagi dipelajari. Bagaimana pun Dr. Awang sangat yakin bahawa bahasa Melayu yang digunakan oleh 300 juta orang di seluruh dunia tidak termasuk dalam andaian ini. Tambahan pula pusat pengajian bahasa Melayu di luar negara terus berkembang, cuma masalahnya di negara ini.
Sebelum ini ada pihak membuat andaian bahawa pada akhir abad ini kira-kira 6,000 bahasa yang ada di dunia akan pupus kerana tidak lagi dipelajari. Bagaimana pun Dr. Awang sangat yakin bahawa bahasa Melayu yang digunakan oleh 300 juta orang di seluruh dunia tidak termasuk dalam andaian ini. Tambahan pula pusat pengajian bahasa Melayu di luar negara terus berkembang, cuma masalahnya di negara ini.
Walaupun bahasa
Melayu tidak akan pupus, beliau risau sekiranya bahasa Melayu tidak berperanan
dengan baik sebagai bahasa tamadun terutama sekali sebagai bahasa ilmu. Sejak
abad ketujuh pada zaman Sriwijaya, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa yang
besar peranannya. Bahasa Melayu telah diangkat dan dinobatkan sebagai bahasa
pentadbiran bagi Sriwijaya dan seluruh jajahan takluknya, wilayah kerajaan
kuasa kelautan yang sangat besar pada waktu itu.
Seorang ahli
sejarah Belanda, Francois Valentijn menulis pada awal abad ke-18 bahawa bahasa
Melayu difahami oleh setiap orang di seluruh Kepulauan Melayu seperti bahasa
Perancis atau bahasa Latin di Eropah.
"Kesimpulan
menarik daripada yang ditulis Valentijn ialah orang yang datang ke alam Melayu
mahu tidak mahu perlu mempelajari bahasa Melayu. Sesiapa yang tidak dapat
berkomunikasi dalam bahasa Melayu dianggap sebagai golongan tidak
terpelajar."
Sebenarnya
peranan bahasa Melayu meliputi pelbagai bidang tamadun, baik dari segi ilmu,
pentadbiran, perdagangan, undang-undang dan juga sebagai bahasa hubungan
diplomatik. Ini menunjukkan bahasa Melayu sudah merentas semua bidang tamadun
ketika itu, apa sahaja termasuk undang-undang, sudah ada hukum kanun dari kurun
ke-15, seperti Hukum Kanun Melaka di samping Undang-undang 99 Perak, Undang-undang
Johor dan Undang-undang Siak.
Semua ini
menunjukkan persoalan utama kepada masalah ini ialah apabila Perlembagaan tidak
dihormati atau mungkin tidak difahami, tidak dihayati dan tidak dilaksanakan
seperti sewajarnya.
Maka DBP perlu
menangani persepsi lapuk yang menganggap bahasa Melayu bukan bahasa ilmu. DBP
mesti membuktikan kepada semua bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa
perpaduan di negara yang dihuni oleh pelbagai kaum, bahasa ibunda dan budaya
asal ini.
Malah DBP perlu
dikembalikan gegar dan gahnya seperti pada era Tun Syed Nasir menjadi Ketua
Pengarah dulu. Jasa yang ditinggalkan Syed Nasir terhadap kelangsungan DBP dan
perjuangan bahasa dan budaya sangat besar. Pada era itu, DBP dikagumi dan
digeruni kerana berani memper-juangkan kedudukan bahasa Melayu seperti dalam
Perlembagaan.
Kelantangan Datuk
Dr. Hassan Ahmad juga banyak menaikkan kesedaran rakyat terhadap kedudukan
bahasa Melayu. Dr. Hassan tidak berkompromi tentang bahasa Melayu dan beliau
tidak mempunyai sebab untuk kompromi seperti dasar PPSMI yang hingga kini terus
menjadi barah dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Pendirian Dr.
Hassan terhadap PPSMI juga seperti Dr. Awang yang tetap menganggap dasar
pendidikan bahasa Inggeris itu silap dan tidak menyumbang kepada kecemerlangan
kerjaya malah sekali gus meruntuhkan bahasa Melayu kalangan generasi muda.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan