MASA depan anak-anak kita perlu diberi lebih perhatian
daripada hanya menjadi mangsa politik pilihan raya yang menjejaskan pendidikan
dan perpaduan negara.
POLITIK berasaskan pilihan raya dalam masyarakat berbilang
bangsa kadang kala menjejaskan usaha ke arah perpaduan negara.
Tatkala ini kita sedang menyaksikan ia berlaku di Malaysia.
Dalam kehangatan persaingan menambat hati pengundi pada pilihan raya yang akan
datang, pesaing utama untuk berada di tampuk kuasa mula menggembleng seluruh
tenaga dan usaha untuk menonjolkan diri mereka sebagai juara yang
memperjuangkan kepentingan kumpulan etnik tertentu.
Ini amat jelas jika diamati pendekatan berkaitan pendidikan
dalam bahasa Cina.
Sekolah rendah aliran bahasa Cina adalah sebahagian daripada
sistem persekolahan kebangsaan tetapi kini desakan untuk memperbanyakkan
sekolah menengah aliran Cina pula mula diketengahkan.
Laungan untuk sekolah menengah persendirian Cina di Kuantan
adalah sebahagian daripadanya. Parti politik pembangkang mahupun kerajaan
masing-masing menjadikan permintaan ini sebagai modal perjuangan.
Jika had ke atas sekolah menengah persendirian Cina yang
kini berjumlah 61 buah dihapuskan, adalah dipercayai jumlah itu akan meningkat
secara mendadak dalam masa yang singkat.
Adakah ia akan membawa kepada kemunculan sistem Sekolah
Menengah Persendirian Cina yang sejajar dengan sistem Sekolah Menengah
Kebangsaan yang berteraskan bahasa Malaysia? Implikasi ini satu kebarangkalian
yang harus difahami dalam konteks pengiktirafan universiti-universiti di China
oleh kerajaan baru-baru ini.
Pendedahan
Jika bangsa Cina di Malaysia melalui keseluruhan sistem
pembelajaran dalam bahasa Cina iaitu dari sekolah rendah hingga ke peringkat
universiti, berapa banyakkah kemungkinan pendedahan yang mereka akan tempuhi
dengan pelajar-pelajar Malaysia dan guru-guru daripada masyarakat lain? Adakah
ini akan menjejaskan sikap dan pandangannya terhadap bangsa lain? Apakah
agaknya tanggapan mereka terhadap identiti Malaysia?
Ia bukan sekadar pengasingan eksklusif pendidikan Cina yang
akan wujud malah lebih kepada cabaran yang perlu kita hadapi akibat
daripadanya. Ramai ibu bapa bangsa Melayu bandar kini memilih pendidikan agama
Islam di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk anak-anak mereka.
Dengan percambahan universiti dan kolej Islam di negara ini,
mereka boleh memilih untuk meneruskan pengajian tinggi mereka dalam
persekitaran yang sebahagian besarnya mono etnik dan berteraskan agama. Tidak
salah jika dikatakan ia akan memberi kesan negatif kepada hubungan antara kaum
dan agama pada masa akan datang.
Terdapat perkembangan semasa lain yang juga akan memberi
kesan kepada sekolah kebangsaan. Kerajaan telah membuatkan ia lebih mudah bagi
rakyat Malaysia untuk mendaftarkan diri di sekolah-sekolah swasta yang pada
hakikatnya akan disahut hanya oleh mereka yang berkedudukan tinggi dalam
masyarakat.
Maka ia akan memburukkan lagi pemisahan berdasarkan kelas
yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat kita. Segelintir rakyat Malaysia
pula mahukan pihak berkuasa untuk membenarkan pendidikan aliran Inggeris, tanpa
menimbangkan kesannya terhadap sistem sekolah yang sudah sebegitu terbahagi
dalam pelbagai bentuk.
Apakah ini bermakna bahawa tidak ada komitmen yang tinggi
terhadap sekolah kebangsaan? Adakah sekolah kebangsaan telah menjadi ‘anak
tiri’ kepada sistem pendidikan kita?
Oleh kerana Perlembagaan Malaysia mengiktiraf bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan, logiknya sekolah kebangsaan dengan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar utamanya harus menjadi paksi kepada sistem pendidikan
kita.
Saluran
Laporan Razak 1956, iaitu satu-satunya laporan pendidikan
yang komprehensif dimiliki negara, mengakui akan perkara tersebut. Ia
menekankan tentang peranan sekolah kebangsaan sebagai saluran untuk menggalakkan
perpaduan nasional.
Tidak ramai rakyat kita yang menghargai peranan bahasa
Melayu sebagai “lingua franca" iaitu bahasa yang memudahkan komunikasi
dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik - merangkumi rantau yang luas yang
pada hari ini digambarkan sebagai dunia Melayu. Ia berjaya mewujudkan semangat
perpaduan budaya dan melahirkan identiti-identiti Melayu yang melampaui
jaringan etnik, menjadikan bangsa Melayu sebagai salah satu bangsa yang paling
kosmopolitan di muka bumi.
Pada zaman kontemporari, bahasa Melayu, dalam bentuk bahasa
Indonesia, juga telah membantu untuk membangunkan identiti kebangsaan daripada
kepelbagaian etnik di Indonesia. Bahasa Melayu juga boleh memainkan peranan
sedemikian di Malaysia, jika sekolah kebangsaan dijadikan ‘nasional’ dalam erti
kata yang sebenar.
Untuk menjadi ‘nasional’, sekolah berbahasa Malaysia perlu
muncul sebagai sekolah pilihan pertama untuk semua rakyat Malaysia. Kualiti
perlu ditingkatkan dengan ketara.
Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain
perlu diajar dengan baik seperti juga mata pelajaran teras seperti Matematik,
Sains dan Sejarah. Ibu bapa juga akan kagum dengan sekolah jika disiplin
pelajar dikuatkuasakan dengan tegas dalam persekitaran yang penyayang.
Guru-guru yang berwibawa dan berdedikasi akan menjadi
prasyarat penting untuk sistem sekolah. Mereka bukan hanya sekadar mencurah
pengetahuan dan kemahiran malah akan cuba membentuk golongan muda di bawah
jagaannya supaya menjadi manusia yang jujur dan amanah. Guru perlu melayan semua
pelajar, tanpa mengira latar belakang mereka, dengan adil dan saksama.
Komuniti tenaga pengajar sekolah kebangsaan seharusnya lebih
berbilang kaum dan berbilang agama daripada apa yang ada sekarang. Lebih ramai
bukan Melayu dan bukan Islam perlu dilantik sebagai Pengetua Sekolah dan
Penolong Kanan. Di daerah, peringkat negeri dan nasional, pejabat atau jabatan
pendidikan harus mencerminkan komposisi multietnik negara. Bangsa Dayak dan
Kadazan yang berkelayakan harus diberikan peranan pentadbiran di luar Sarawak
dan Sabah.
Apa yang dimaksudkan adalah dalam tiga elemen komponen
sistem pendidikan - pentadbir, guru dan pelajar - kemampuan perlu diiktiraf dan
diberi ganjaran. Barulah sistem pendidikan akan dilihat menggalakkan kebolehan
dan kecemerlangan yang memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar
anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.
Pada masa sama, sekolah kebangsaan harus menghulurkan
bantuan kepada pelajar yang kurang bernasib baik, tanpa mengira fahaman agama
atau latar belakang budaya.
Secara ringkasnya, transformasi keseluruhan sekolah
kebangsaan perlu dilakukan. Kementerian Pelajaran, saya pasti sedang berusaha
ke arah matlamat ini. Ia adalah transformasi yang akan dijalankan seiring
dengan perubahan asas yang lain kepada sistem pendidikan secara keseluruhan.
Sebagai permulaan, marilah kita cuba untuk mengurangkan
impak politik pilihan raya ke atas pendidikan dan perpaduan negara.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan