Bahan pengajaran bergambar dalam bahasa Iranun yang
digunakan untuk kanak-kanak tadika turut diterjemah ke bahasa Malaysia dan
Inggeris.
KOTA KINABALU 7 Jun - Persatuan kaum minoriti di negeri ini mengalu-alukan
program kajian bahasa pribumi di Sabah yang dijalankan oleh Summer Institutes
of Linguistic (SIL) Malaysia.
Ketua Penerangan Persatuan Lotud Sabah, Wilham Eddow berkata, langkah itu
akan dapat meningkatkan kesedaran generasi muda agar terus menguasai bahasa
etnik masing-masing.
"Bahasa pribumi perlu dipelihara sama ada melalui pendidikan formal
atau tidak. Bagi kami, pihak persatuan sedang menghasilkan kamus bahasa Lotud
yang diterjemah ke bahasa Melayu dan Inggeris.
"Kami berharap ia dapat diajar di sekolah kerana selain pertuturan di
rumah, pembelajaran bahasa tempatan harus dikembangkan kepada generasi muda di
peringkat kanak-kanak," katanya kepada Utusan Malaysia.
William berkata, ketika ini kaum Lotud yang tinggal di Sabah dianggarkan
kira-kira 70,000 orang.
Katanya, pihak persatuan dalam usaha untuk mengetengahkan kebudayaan Lotud
dari segi muzik dan pemakaian secara meluas setanding dengan bangsa lain di
Sabah.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, generasi hari ini banyak tertinggal
dari segi penguasaan bahasa nenek moyang mereka disebabkan beberapa faktor
antaranya perkahwinan campur.
"Mungkin bahasa etnik tidak dapat dipraktikkan lagi di rumah. Justeru,
langkah SIL yang melaksanakan kajian bahasa dan program memperkasakan bahasa
etnik minoriti sangat dihargai," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Rungus Sabah (RCA), Jornah Mojihim
mengakui pada masa ini ramai anak tempatan tidak mampu bertutur dalam bahasa
sendiri, sekali gus menyebabkan mereka tidak memahami sejarah dan budaya etnik
sendiri.
"Dalam hal ini, semua pihak terutama ibu bapa hendaklah memastikan
mereka mengajar anak-anak bahasa Rungus. Kami tidak mahu anak Rungus tidak tahu
bahasa tempatan," katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan