Oleh SITTI NOR AZIZAH TALATA
KOTA KINABALU 7 Jun - "Pendidikan merupakan senjata paling berkuasa
yang anda boleh gunakan untuk mengubah dunia".
Itu merupakan petikan kata-kata bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson
Mandela yang mengiktiraf peranan penting pendidikan dalam pembangunan individu
dan masyarakat.
Jika diteliti, gesaan beliau itu tiada bezanya dengan dasar kerajaan yang
turut memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan di kalangan rakyat
bermula dari kanak-kanak lagi agar ia dapat menghasilkan perubahan positif
kepada negara.
Dasar itu dilaksanakan dengan mengambil kira aspek pendidikan bahasa
pribumi bagi membolehkan masyarakat penuturnya menimba ilmu pengetahuan dan
kemahiran yang mereka perlukan untuk memenuhi keperluan serta mencapai
matlamat.
Bagi mencapai objektif tersebut, kerajaan turut dibantu pelbagai institusi
bahasa seperti Summer Institutes of Linguistic (SIL) Malaysia dalam
memartabatkan bahasa kaum pribumi di Sabah.
Baru-baru ini, SIL dan enam persatuan kaum minoriti Sabah mengadakan
memorandum persefahaman (MoU) di Dewan Ostrich Lodge, di Kampung Rampayan Laut,
Daerah Kota Belud.
Memorandum itu melibatkan persatuan tersebut dengan kaum Iranun, Tobilung,
Kimaragang, Rungus, Bajau dan Lotud.
Ia disempurnakan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan
turut disaksikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Penaung Persatuan Bahasa
dan Kebudayaan Iranun Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Menerusi kerjasama itu, SIL akan membantu daripada segi kajian dan
penyediaan bahan-bahan pengajaran serta buku dalam bahasa kaum minoriti
tersebut untuk digunakan oleh tenaga pengajar bahasa etnik di taman asuhan
kanak-kanak (taska) di negeri ini.
Bahan dan buku-buku pengajaran bahasa etnik itu akan diterjemah ke bahasa
Melayu dan Inggeris bagi memudahkan pemahaman kanak-kanak taska berkenaan dan
dalam masa sama memastikan mereka terus mampu bertutur dalam bahasa pribumi
masing-masing.
Pengarah SIL Malaysia, Hans Combrink berkata, pihaknya memberi sokongan
kepada masyarakat pribumi dalam usaha membangunkan program pendidikan.
Ia bagi membolehkan kanak-kanak dan orang dewasa menjadi pembaca serta
penulis yang fasih dalam bahasa warisan mereka.
Katanya, melalui pendidikan berbilang bahasa (MLE), masyarakat penutur
bahasa pribumi membina jambatan positif dengan bahasa dominan tempatan tanpa
meminggirkan warisan, bahasa dan budaya mereka.
"Sebenarnya, MLE membuka pintu kepada maklumat dan jalan baru untuk
berkomunikasi.
"Justeru, SIL Malaysia bekerjasama dengan agensi dan pertubuhan
tempatan, serantau dan kebangsaan bagi membantu masyarakat pribumi membangunkan
program pendidikan dalam bahasa warisan, dwibahasa dan MLE, yang bersesuaian
dengan kebudayaan tempatan masing-masing," katanya.
Combrink berkata, dengan bermulanya pendidikan menggunakan bahasa warisan,
kanak-kanak daripada komuniti bahasa tempatan akan bersedia ke alam pendidikan
formal.
Sementelah, katanya, MLE membolehkan mereka melangkah maju dalam dunia moden
dan pada masa sama terus mengekalkan identiti bahasa dan budaya masing-masing.
Katanya, pendidikan awal kanak-kanak yang diasaskan bahasa warisan semakin
diakui dan digalakkan UNESCO sebagai cara berkesan dalam pendidikan untuk
masyarakat penutur bahasa pribumi.
"Kewujudan taska di Sabah yang mengajar bahasa etnik membuktikan minat
kukuh berkembang dalam kalangan masyarakat pelbagai bahasa tempatan untuk
mengukuhkan bahasa mereka," katanya.
Beliau berkata, SIL Malaysia akan mengembangkan kapasiti MLE di negara ini
agar dapat memenuhi peningkatan permintaan melalui kerjasama dengan pihak yang
mempunyai pengalaman dan kepakaran.
Jelas beliau, pihaknya juga akan terus memperbaiki bahan-bahan dan program
MLE dan mencari jalan agar guru taska di kampung mendapat tauliah mengajar
sebelum kanak-kanak memasuki pendidikan rasmi.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan