Oleh Latifah Arifin
Semangat khalayak dibakar deklamasi puisi, nyanyian, sketsa
dan gurindam
MALAM Bahasa Jiwa Bangsa bersempena ulang tahun Ke-56 Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) sarat mesej mengenai perjuangan bahasa yang
disampaikan dalam pelbagai bentuk termasuk deklamasi puisi, nyanyian, sketsa
dan gurindam indah.
Acara yang bermula jam 9 malam itu dibuka dengan persembahan
pelajar Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara
(UiTM) di bawah pimpinan pensyarahnya, Mazlan Tahir, begitu bersemangat
menyanyi, berpuisi dan bersketsa dengan membawa tema Bahasa Jiwa Bangsa.
Pentas puisi kemudian disambut dengan duet penyair muda
berbangsa Cina dan India, Cheng Kui Qiang dan Raguvaran Subramaniam yang penuh
bersemangat melontarkan suara ketika membaca puisi berjudul DBP: Obor Satu
Episod Sejarah Terus Menyala dan Membara.
Gema puisi bertambah panas dengan deklamasi Penerima
Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Syed Othman atau
SM Zakir yang menterjemah ranah bahasa dengan menggunakan warna sebagai simbol
dalam karyanya, Warna Kata-kata.
Kata-kata adalah warna hitam
kehilangan segala kekuatan
untuk bangkit dan berjuang memaknakan hak
kedaulatan
yang tenggelam dalam kekeliruan
kata-kata adalah warna air
yang turun mengalir membasahi
jiwa dan jasad yang kejang
dibelit segala kekalahan diri
sungguh, kata-kata adalah warna merah
darah yang meruap untuk kembali
bangkit dan berjuang
kata-kata, adalah warna bahasa
yang mewujudkan diri
kedaulatan, maruah dan hak
kata-kata adalah merah
darah yang berjuang.
Sasterawan Negara (SN) Ke-11, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah
atau Kemala pula, lantang mendeklamasikan puisinya, Memorandum Violet Ini yang
membidas sikap bangsa Melayu yang suka berdiam diri melihat kejatuhan bahasanya
yang semakin hari semakin terpinggir.
Kupahat memorandum violet ini
dari darah, keringat dan air mata rakyat
waktu angin akhir bulan Jun membawa gerimis
senja yang ngilu
sampai kapan dialog-dialog ini
meracau membawa sembilu tajam merobek
Perlembagaan kita? Lihatlah tenaga, masa dan wang
terbuang sia-sia, sejuta ulat tengkulak
memakan kertas-kertas yang dilembagakan
kita berteriak untuk 55 tahun yang basi
“Mimpi kita sempoyongan.
harga diri kita dikoyak semau-mau
mereka paksakan wira rakyatnya
untuk tanah bertuah ini? Dan mengapa
mereka menghunjam Hang Tuah yang setiawan
Wira Seribu tahun Numera!”
Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar memberi
warna kepada persembahan puisi dengan mencabar kumpulan peserta Program Latihan
Khidmat Negara (PLKN) dari Kem Setia Ikhlas, Semenyih, naik ke pentas untuk
mencipta serangkap pantun secara spontan.
Kesediaan peserta PLKN, Nurul Haslina Abdul Kahar, menyahut
cabaran dengan mengalunkan pantun indah mendapat tepukan gemuruh khalayak,
sekali gus membuktikan genre pantun masih digemari generasi muda.
Johan tidak ketinggalan menyampaikan puisi panjang, Cerita
Orang Desa di Kota, ciptaannya pada 1966 yang sarat kisah mengenai pemuda
kampung, Seman Koping yang kuat berangan dan mengimpikan hidup mewah di Kuala
Lumpur.
Tersohor merata
anak muda jadi orang kota
maklumlah anak kepalang sayang,
cucu Ladin Pandak Melah
yang ayahnya ronggeng di Batu Pahat
khabarnya bukan main hebat di KL.
Lama-lama Seman Koping terasa lebih hebat dari
dulu
pecacai pun pecacailah, asalkan bahagia
di kampung gah namanya
anak kampung Ketipang Payung berjaya di KL
Wak Gomleh minum teh di Kedai Ali Ketupi
menjejerkan cerita anak saudaranya rapat dengan
menteri
Mbok Munah melihat sekali kelibat Seman Koping di
TV
Di belakang body guard menteri
alangkah bangganya kalian
anak kampung berjaya di KL
lalu dilagukan orang.
Pasti ramai tidak percaya dua orang kuat DBP, Ketua
Pengarahnya, Dr Awang Sariyan dengan puisi, Mitos Bahasa, kritik sinis terhadap
bangsa Melayu yang mengagungkan bahasa Inggeris dan Naib Pengerusi Lembaga
Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar, lewat puisi, Balada Orang
Kehilangan Jiwa Dalam Ceritera Merdeka.
Kepada anak yang mula menggaru kepala, si bapa
masih juga bercerita
Ha, itu pun LRT yang melengkar kota
Dari KL Sentral ia meluncur hingga KLIA
Tentunya sepanjang Multimedia Super Corridor
MSC, mercu tanda sains dan teknologi.
Sampai di Lembah Pantai akhirnya si anak bertanya
Bapa, tidak adakah apa-apa yang namanya dalam
bahasa Melayu
Bahasa yang menurut guru sejarah saya pernah
dianggap jiwa bangsa.
Bapa, bukankah di Muzium Negara, tanya si anak
Mungkin juga, jawab bapanya selamba.
Bagaikan diserang histeria, jeritan khalayak dapat didengar
tatkala dua penyanyi popular tanah air, Ramli Sarip dan Ana Raffali, mengambil
alih pentas dengan menyampaikan beberapa lagu popular serta lagu puisi terkenal
tanah air.
Malah, Ramli Sarip yang turut beraksi dengan gitar itu
berjaya menyentuh hati khalayak tatkala menyampaikan lagu, Bahasa Terindah,
sekali gus menyedarkan masyarakat pentingnya mendaulatkan bahasa.
Malam apresiasi puisi lebih dua jam itu turut dimeriahkan
dengan deklamasi puisi oleh Editor Kanan Astro, Marcus Lim Han King yang
menyampaikan Bacalah Dalam Bahasa Kita dan alunan medley gurindam dan nazam
daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Kati, Kuala
Kangsar, Shafaiz Zakaria.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan