KUALA LUMPUR :
Penggunaan logo buatan Malaysia pada produk tempatan bukan saja mampu
meningkatkan keyakinan pengguna malah memberi kelebihan kepada syarikat jika
ingin memasuki pasaran antarabangsa.
Dalam senario
perdagangan global yang semakin sengit hari ini, pengesahan negara pengeluar
menjadi salah satu kriteria utama bagi sesebuah syarikat untuk memasarkan
produk mereka di negara lain bagi mengelak lambakan pasaran.
Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri,
berkata bagi perdagangan serantau ASEAN, pengesahan logo buatan Malaysia dapat
memberi insentif pengecualian cukai melalui Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN
(AFTA).
“Hasil kajian
yang diterbitkan American Journal Of Scientific Research pada 2010 berhubung
persepsi pengguna negara ini terhadap jenama antarabangsa mendapati hanya 25
peratus rakyat berpendapatan kelas pertengahan dan atasan gemar membeli barangan
jenama antarabangsa.
“Manakala 75
peratus lagi masih setia kepada produk buatan Malaysia. Kajian itu juga
menunjukkan 55 peratus daripada golongan muda di negara ini sanggup berbelanja
untuk produk tempatan berkualiti,” katanya pada Ekspo Beli Barangan Malaysia
2012 di sini, semalam.
Ekspo berkenaan
yang diadakan bagi memasarkan produk tempatan dengan penyertaan lebih 100
pempamer dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada tahun lalu
penganjuran ekspo terbabit berjaya mencatat rekod jualan sebanyak RM50 juta berbanding
RM26 juta pada tahun sebelumnya dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat
tahun ini.
Sementara itu,
Muhyiddin meminta syarikat tempatan supaya menjaga mutu kualiti produk yang dihasilkan selain berusaha untuk memasuki pasaran
antarabangsa tanpa bergantung harap terhadap pasaran domestik semata-mata.
“Pertumbuhan di
enam negara ASEAN (Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura Thailand dan
Vietnam) serta Cina dan India sudah berkembang pada kadar 8.2 peratus tahun
lalu dan pertumbuhan ini dijangka akan terus rancak pada tahun ini.
“Justeru, saya
menyeru kepada syarikat pengeluar produk tempatan untuk mengambil peluang ini
dan mengembangkan pemasaran produk ke pasaran serantau,” katanya.
Muhyiddin
berkata, hasil kajian Bank Negara juga mendapati purata gaji sektor swasta
meningkat secara purata empat peratus tahun lalu selain peningkatan pendapatan
luar bandar secara signifikan, memberi kesan berganda kepada ekonomi negara
sekali gus membina daya tahan ekonomi terhadap krisis kewangan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan