Oleh
Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my
Perbincangan, nasihat penuh adab etika mampu mengurangkan percanggahan
pendapat
ANTARA kebahagiaan yang Allah kurniakan kepada kita ialah kehidupan yang
saling memerlukan dan bergantungan antara satu sama lain, termasuk dalam aspek
pengembangan buah fikiran, kepakaran, pandangan dan nasihat.
Dalam hal ini, setiap kita pula mempunyai kelebihan minda yang tersendiri.
Ia adalah suatu anugerah Allah SWT yang berupa nikmat agar kita boleh saling
bertukar-tukar pandangan dan saling memberi dan menerima manfaat sesuai dengan
kelebihan dan keupayaan daya fikir minda masing-masing.
Justeru, bukan menajamkan akal dengan daya fikir saja yang penting tetapi
juga usaha untuk saling memanfaatkannya dalam kalangan masyarakat dan warga
organisasi perlu sentiasa dipupuk dengan harmoni.
Daripada nilai saling bergantungan dan memanfaatkan pandangan yang baik dan
bernas inilah akan menyumbang kepada penyatuan fikrah dan melahirkan kekuatan
tindakan dalam segenap aspek kehidupan khasnya dalam pengembangan organisasi.
Oleh sebab itulah Allah SWT memerintahkan untuk bermusyawarah dalam
berurusan seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan diperintahkan untuk kamu
bermesyuarat dalam urusan antara kamu.” Justeru, nilai saling menghormati dan
menghargai pandangan perlu dipupuk dalam diri kita dan dalam kalangan setiap
penjawat organisasi tanpa mengira kedudukan. Perpaduan yang sebenar lahir
daripada penyatuan fikiran dan hati yang dijelmakan dalam pelbagai bentuk
perpaduan lahiriah.
Namun, sifat kebergantungan kepada buah fikiran, pendapat dan nasihat
sesama individu tidak akan tercapai dengan murni jika tanpa etika dan adab
dalam memberi dan menerimanya. Apa yang sebaliknya pula boleh berlaku jika
tanpa etika dan adab adalah persengketaan, pertikaman lidah dan permusuhan yang
meleraikan ikatan pergantungan, memadamkan hasrat perkongsian pandangan dan
dalam jangka masa panjang akan melemahkan daya kreativiti berfikir dalam
kalangan anggota kerja yang merugikan kemajuan organisasi.
Etika dan adab dalam melahirkan penyatuan fikrah dalam organisasi itu perlu
mengambil kira empat sudut iaitu sudut penyampaian pandangan, isi kandungan
atau perkara yang hendak disampaikan, tindak balas pandangan dan implikasi
pandangan terhadap individu, organisasi, pelanggan dan negara.
Antara etika dan adab menyalurkan pandangan ialah :
Pertama, hendaklah ia disampaikan dengan niat yang baik, jujur serta dengan pertuturan dan bahasa tubuh yang baik serta menyenangkan. Walaupun kadangkala kita beremosi dalam meluahkan pandangan terutama apabila ingin menegaskan sesuatu yang penting, adab menyalur-kannya perlu dijaga supaya hasrat dan isi perbincangan dapat difahami dengan baik.
Pertama, hendaklah ia disampaikan dengan niat yang baik, jujur serta dengan pertuturan dan bahasa tubuh yang baik serta menyenangkan. Walaupun kadangkala kita beremosi dalam meluahkan pandangan terutama apabila ingin menegaskan sesuatu yang penting, adab menyalur-kannya perlu dijaga supaya hasrat dan isi perbincangan dapat difahami dengan baik.
Kedua, hendaklah ia bermatlamatkan kesejahteraan ramai berbanding untuk
kepentingan diri atau peribadi.
Ketiga, hendaklah pandangan yang disampaikan itu datangnya dari sumber
pengetahuan dan maklumat yang sahih.
Keempat, hendaklah ia disampaikan dengan jelas serta mengambil kira tahap,
laras pemikiran, suasana persekitaran, masa, tempat dan keadaan mereka yang menerima
pandangan. Bijak pandai ada mengatakan, “cakap siang pandang-pandang, cakap
malam dengar-dengar”. Kata-kata ini mengandungi nasihat dan panduan supaya
beradab dan berhati-hati dalam meluahkan pandangan.
Kelima, menyampaikan sesuatu yang benar dengan sabar dan tabah serta
keberanian walaupun pahit. Hal ini bersesuaian dengan peringatan Rasulullah SAW: “Sampaikanlah kebenaran walaupun pahit.”
– (Riwayat al-Bukhari)
Keenam, penerima hendaklah berlapang dada dan berfikiran positif dalam
mendengar dan memahami pandangan.
Ketujuh, penerima hendaklah memberi perhatian kepada isi kandungan, hasrat
dan matlamat penyampaian berbanding status penyampai seperti kata-kata Saidina
Ali bin Abi Talib: “Lihatlah kepada apa yang diperkatakan seseorang bukannya
kepada siapa yang berkata.”
Kelapan, bersedia dan bersungguh-sungguh mengaplikasikan pandangan yang
dipersetujui ramai dalam membentuk tindakan dengan terancang dan tersusun rapi
supaya manfaatnya dapat diperlebarkan kepada masyarakat dan organisasi.
Kesembilan, bersedia untuk mengubah pandangan dan keputusan yang terhasil
daripadanya walaupun setelah ia dipersetujui apabila terdapat keperluan baru
yang mendesak, lebih utama, dan memberi manfaat yang menyeluruh dalam jangka
masa panjang.
Kesepuluh, saling menghormati dan menghargai buah fikiran dan pandangan individu lain walaupun pandangan kita tidak dipersetujui.
Kesepuluh, saling menghormati dan menghargai buah fikiran dan pandangan individu lain walaupun pandangan kita tidak dipersetujui.
Setiap perbincangan pasti akan memberi pelbagai manfaat yang boleh dikutip
untuk kebaikan nilai diri antaranya jaringan kerja baru. Ini akan melahirkan
suasana menang-menang dalam perbincangan. Justeru, marilah kita memupuk nilai
saling menghargai, menghormati dan memerlukan dalam menerima setiap butir
pandangan daripada anggota organisasi kerana ia boleh menjadi input berguna ke
arah kesejahteraan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan