Jumaat, 8 Jun 2012

ISU SOSIAL : Menyubur budaya perpaduan dalam organisasi


Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my

Perbincangan, nasihat penuh adab etika mampu mengurangkan percanggahan pendapat

ANTARA kebahagiaan yang Allah kurniakan kepada kita ialah kehidupan yang saling memerlukan dan bergantungan antara satu sama lain, termasuk dalam aspek pengembangan buah fikiran, kepakaran, pandangan dan nasihat.

Dalam hal ini, setiap kita pula mempunyai kelebihan minda yang tersendiri. Ia adalah suatu anugerah Allah SWT yang berupa nikmat agar kita boleh saling bertukar-tukar pandangan dan saling memberi dan menerima manfaat sesuai dengan kelebihan dan keupayaan daya fikir minda masing-masing.

Justeru, bukan menajamkan akal dengan daya fikir saja yang penting tetapi juga usaha untuk saling memanfaatkannya dalam kalangan masyarakat dan warga organisasi perlu sentiasa dipupuk dengan harmoni.

Daripada nilai saling bergantungan dan memanfaatkan pandangan yang baik dan bernas inilah akan menyumbang kepada penyatuan fikrah dan melahirkan kekuatan tindakan dalam segenap aspek kehidupan khasnya dalam pengembangan organisasi.

Oleh sebab itulah Allah SWT memerintahkan untuk bermusyawarah dalam berurusan seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan diperintahkan untuk kamu bermesyuarat dalam urusan antara kamu.” Justeru, nilai saling menghormati dan menghargai pandangan perlu dipupuk dalam diri kita dan dalam kalangan setiap penjawat organisasi tanpa mengira kedudukan. Perpaduan yang sebenar lahir daripada penyatuan fikiran dan hati yang dijelmakan dalam pelbagai bentuk perpaduan lahiriah.

Namun, sifat kebergantungan kepada buah fikiran, pendapat dan nasihat sesama individu tidak akan tercapai dengan murni jika tanpa etika dan adab dalam memberi dan menerimanya. Apa yang sebaliknya pula boleh berlaku jika tanpa etika dan adab adalah persengketaan, pertikaman lidah dan permusuhan yang meleraikan ikatan pergantungan, memadamkan hasrat perkongsian pandangan dan dalam jangka masa panjang akan melemahkan daya kreativiti berfikir dalam kalangan anggota kerja yang merugikan kemajuan organisasi.

Etika dan adab dalam melahirkan penyatuan fikrah dalam organisasi itu perlu mengambil kira empat sudut iaitu sudut penyampaian pandangan, isi kandungan atau perkara yang hendak disampaikan, tindak balas pandangan dan implikasi pandangan terhadap individu, organisasi, pelanggan dan negara.

Antara etika dan adab menyalurkan pandangan ialah :


Pertama, hendaklah ia disampaikan dengan niat yang baik, jujur serta dengan pertuturan dan bahasa tubuh yang baik serta menyenangkan. Walaupun kadangkala kita beremosi dalam meluahkan pandangan terutama apabila ingin menegaskan sesuatu yang penting, adab menyalur-kannya perlu dijaga supaya hasrat dan isi perbincangan dapat difahami dengan baik.

Kedua, hendaklah ia bermatlamatkan kesejahteraan ramai berbanding untuk kepentingan diri atau peribadi.

Ketiga, hendaklah pandangan yang disampaikan itu datangnya dari sumber pengetahuan dan maklumat yang sahih.

Keempat, hendaklah ia disampaikan dengan jelas serta mengambil kira tahap, laras pemikiran, suasana persekitaran, masa, tempat dan keadaan mereka yang menerima pandangan. Bijak pandai ada mengatakan, “cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar”. Kata-kata ini mengandungi nasihat dan panduan supaya beradab dan berhati-hati dalam meluahkan pandangan.

Kelima, menyampaikan sesuatu yang benar dengan sabar dan tabah serta keberanian walaupun pahit. Hal ini bersesuaian dengan peringatan Rasulullah SAW: “Sampaikanlah kebenaran walaupun pahit.” – (Riwayat al-Bukhari)

Keenam, penerima hendaklah berlapang dada dan berfikiran positif dalam mendengar dan memahami pandangan.

Ketujuh, penerima hendaklah memberi perhatian kepada isi kandungan, hasrat dan matlamat penyampaian berbanding status penyampai seperti kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib: “Lihatlah kepada apa yang diperkatakan seseorang bukannya kepada siapa yang berkata.”

Kelapan, bersedia dan bersungguh-sungguh mengaplikasikan pandangan yang dipersetujui ramai dalam membentuk tindakan dengan terancang dan tersusun rapi supaya manfaatnya dapat diperlebarkan kepada masyarakat dan organisasi.

Kesembilan, bersedia untuk mengubah pandangan dan keputusan yang terhasil daripadanya walaupun setelah ia dipersetujui apabila terdapat keperluan baru yang mendesak, lebih utama, dan memberi manfaat yang menyeluruh dalam jangka masa panjang.


Kesepuluh, saling menghormati dan menghargai buah fikiran dan pandangan individu lain walaupun pandangan kita tidak dipersetujui.

Setiap perbincangan pasti akan memberi pelbagai manfaat yang boleh dikutip untuk kebaikan nilai diri antaranya jaringan kerja baru. Ini akan melahirkan suasana menang-menang dalam perbincangan. Justeru, marilah kita memupuk nilai saling menghargai, menghormati dan memerlukan dalam menerima setiap butir pandangan daripada anggota organisasi kerana ia boleh menjadi input berguna ke arah kesejahteraan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan