SIBU : Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melancarkan dua projek untuk memulihara bahasa
Kelabit dan Bidayuh di negeri ini daripada pupus di bawah program 'Bahasa-Bahasa
Terancam'.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri,
Datuk Fatimah Abdullah, berkata kedua-dua bahasa itu dipilih kerana ianya
ditutur oleh komuniti asli minoriti di negeri itu.
"Tidak ramai orang Bidayuh dan Kelabit hari ini
bercakap bahasa mereka dalam bentuknya yang asal.
"Ini dapat dilihat apabila berlakunya perkahwinan
campuran di mana anggota keluarga lebih gemar bercakap dalam Bahasa Malaysia
atau Inggeris di rumah," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Sebelum itu beliau merasmikan pembukaan Persidangan
Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-Kanak di sebuah hotel di sini.
Fatimah berkata, golongan minoriti yang lain di negeri ini
juga turut menghadapi kepupusan bahasa mereka sekiranya usaha tidak dibuat bagi
memulihara dan mengembangkan bahasa pertuturan mereka.
Beliau berkata, bagi masyarakat Kelabit, salah satu sebab
utama ia terjadi kerana ramai di kalangan mereka sudah berhijrah ke pekan atau
kawasan bandar.
"Berdasarkan suasana sedemikian, mereka lebih cenderung
bercakap hanya peratusan kecil sahaja daripada bahasa asal mereka,"
katanya.
Berikutan perkembangan ini, kerajaan gembira bahawa Taska
Bahasa Warisan di bawah Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di Kampung
Bunuk, Kuching, sedang mengambil langkah bersungguh-sungguh mendapatkan guru
terlatih mengajar kanak-kanak prasekolah menulis dan bercakap bahasa tersebut.
Sementara itu, UNESCO menerusi laman sesawangnya menyatakan
kira-kira separuh daripada 6,000 bahasa pertuturan harian akan hilang menjelang
akhir abad sekarang sekiranya usaha tidak dijalankan bagi melindunginya. -
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan