PETALING JAYA - Secara purata, seorang perokok di Malaysia
membelanjakan hampir RM180 sebulan,
demikian menurut kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2011.
Penemuan kajian yang melibatkan 4,250 responden dewasa
berumur 15 tahun dan ke atas itu didedahkan pada Persidangan GATS Malaysia 2011
di sini hari ini.
"Secara purata, seorang perokok membelanjakan sebanyak
RM178.80 sebulan hanya untuk membeli rokok yang dikilangkan," kata Ketua
Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hassan Abdul Rahman selepas merasmikan persidangan
itu.
Beliau berkata kajian itu juga menunjukkan sebanyak 45.8
peratus perokok terfikir untuk berhenti disebabkan amaran kesihatan bergambar.
"Kesedaran itu timbul disebabkan 87.1 peratus perokok
sedar tentang maklumat mengenai antimerokok di televiyen atau radio,"
katanya.
Dr Hassan berkata berdasarkan kajian itu, 92.2 peratus
responden percaya merokok boleh menyebabkan penyakit serius manakala 85.8
peratus responden pula percaya menghidu asap rokok orang lain akan menyebabkan
penyakit serius.
Beliau berkata kajian itu juga menunjukkan responden
menyokong peningkatan cukai produk tembakau serta kesedaran mereka tentang
larangan merokok di restoran.
"Sebanyak 70.6 peratus responden menyokong peningkatan
cukai ke atas produk tembakau manakala 83.5 peratus responden pula percaya
aktiviti merokok perlu dilarang di dalam restoran," katanya.
Kajian GATS 2011 itu melibatkan kerjasama antara Kementerian
Kesihatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan
Pencegahan Penyakit (CDC) di Atlanta, AS.
Dr Hassan berkata hasil kajian GATS Malaysia 2011 akan
menjadi sumber utama dalam menyediakan Pelan Tindakan Kawalan Tembakau Negara
pada masa depan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan