Selasa, 12 Jun 2012

ISU PENDIDIKAN : Transformasi teknik, vokasional



Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my

Sekolah teknik dan vokasional di seluruh negara digantikan dengan kolej vokasional bukan sahaja dari segi nama malah turut melibatkan perubahan kurikulum, penilaian serta persijilan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab berkata, transformasi ini melibatkan kurikulum teknik dan vokasional, tempoh pengajian, pengiktirafan persijilan, tenaga pengajar, infrastruktur dan yang paling utama penjenamaan semula sekolah-sekolah menengah vokasional kepada Kolej Vokasional.

"Kementerian Pelajaran telah melakukan satu perubahan besar dalam bidang pendidikan teknik dan vokasional melalui Transformasi Vokasional dan Teknik (VOCTEC).

"Perubahan yang besar ini pastinya telah menarik minat seluruh masyarakat di negara kita khasnya kepada ibu bapa dan anak-anak mereka yang berada di bangku sekolah," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambahnya, golongan ibu bapa dan pelajar ingin mengetahui dengan lebih jelas tentang perubahan dalam bidang pendidikan vokasional, hala tuju dan manfaat masa depan daripada transformasi ini.

Sehubungan itu, BPTV menganjurkan Jelajah Kolej Vokasional 1Malaysia untuk mempromosi, menerangkan, membuat pameran, memberi taklimat dan apa jua yang berbentuk outreach kepada masyarakat serta golongan sasar bagi memberikan mereka input yang terkini, jelas dan tepat.

"Ia juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab warga Pendidikan Teknik dan Vokasional untuk menjadi deliver atau penyampai agar dasar kementerian dalam bidang ini mencapai kejayaan," terangnya.

Jelajah selama lima hari yang diterajui Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Batu Pahat ini melibatkan penyertaan seramai 150 peserta termasuk para pegawai BPTV, pengetua, guru penolong kanan, ketua bidang, guru, pelajar dan alumni sekolah.

Ia melibatkan 50 buah motosikal berkuasa tinggi serta beberapa buah kereta, van, pacuan empat roda dan bas.

Konvoi melalui sembilan negeri bermula di Johor dan kemudiannya ke Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan berakhir semula di Johor.

Menurut Ahmad Tajudin, para peserta melakukan pendekatan kepada masyarakat dalam dua bentuk promosi iaitu melalui pergerakan kenderaan dan promosi statik di lokasi terpilih.

"Pendekatan yang dilakukan ini diharap dapat mencapai objektif utama program iaitu untuk menjadikan kolej vokasional sebagai pilihan utama para pelajar," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan