Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
Keindahan karya hilang dalam proses penterjemahan ke bahasa asing
SEJAUH mana karya kesusasteraan tanah air pada pentas
sastera kontemporari antarabangsa boleh dilihat pada kedudukannya dalam
penilaian anugerah dan hadiah sama ada pada peringkat Asia atau dunia.
Sudah tentu penilaian itu memerlukan penterjemahan khususnya
ke bahasa Inggeris yang bukan saja bermutu, bahkan berjaya memunggah sama
nuansa sastera dalam bahasa Melayu.
Paling hampir ialah Hadiah Sastera Man Asia yang
diperkenalkan pada 2008 yang menilai novel pengarang Asia yang ditulis dalam
bahasa Inggeris atau diterjemahkan ke bahasa itu, selain Hadiah Buku Komanwel
dan Hadiah Man Booker.
Hadiah Sastera Man Asia 2011 dimenangi novelis Korea
Selatan, Kyung-sook Shin lewat Please Look After Mom yang diterjemah ke bahasa
Inggeris selepas mencatat jualan 1.93 juta naskhah di negaranya.
Bagaimanapun, karya sastera tanah air bukan saja belum
mencatat sejarah dengan mengecap kejayaan dalam mana juga anugerah yang
berformat sayembara itu, bahkan tidak berjaya tercatat dalam senarai panjang
dan pendeknya.
Ia menimbulkan tanda tanya apakah karya sastera tanah air
sebenarnya belum sekuat yang disangka atau ia berpunca daripada penterjemahan
ke bahasa asing yang mungkin tepat pada tatabahasa, tetapi tidak dapat
memindahkan nilai estetika yang ada pada karya dalam bahasa asal.
Pensyarah Jabatan Bahasa Asing, Universiti Putra Malaysia
(UPM), Dr Syed Nurulakla Syed Abdullah, berkata sambutan yang lesu terhadap
karya sastera tanah air yang diterjemah ke bahasa asing khususnya bahasa
Inggeris mungkin memberi kesan terhadap penilaian pihak luar termasuk panel
juri anugerah.
“Saya membuat tanggapan panel juri tidak membaca semua
sekali karya yang dihantar dengan teliti kerana mereka perlu menilai buku yang
dihantar dari seluruh Asia dalam masa singkat.
“Mereka mungkin membacanya sedikit, sebelum membuat carian
dalam Google umpamanya untuk melihat komentar pelbagai pihak termasuk akhbar
berbahasa Inggeris dan media baru seperti blog dan komen interaktif pembaca,”
katanya kepada Sastera di Putrajaya, baru-baru ini.
Dr Syed Nurulakla berkata, sambutan terjemahan karya sastera
itu di negara asal boleh menjadi antara faktor naskhah diangkat di luar negara
kerana penilai mungkin mengambil kira kewajaran mengangkat judul terbabit
sekiranya tidak memperoleh impak di tanah air sendiri.
“Sekarang dunia tanpa sempadan sehingga penilai boleh
menyemak sama ada ulasannya tersiar dalam media massa atau dibincangkan pada
acara bedah buku dan sekiranya tidak ada langsung, seolah-olah karya itu tidak
penting.
“Cuba kita renung kembali novel seperti The Storms of
Yesterday terjemahan daripada Badai Semalam dan The Old Man at the Foot of
Mountain (Seorang Tua di Kaki Gunung), apakah judul terbabit pernah dibicarakan
dalam konteks terjemahannya dalam bahasa Inggeris,” katanya yang juga
penterjemah Rihlah Ibnu Batutah.
Justeru, beliau menyarankan, buku terjemahan dimartabatkan
dengan memperbanyakkan acara diskusi, bedah buku dan ceramah yang melihat karya
terjemahan sebagai hasil kreatif baru yang berbeza dengan karya asal, sekali
gus menyelongkar perbandingan budaya antara teks berbahasa Melayu dengan bahasa
asing seperti Inggeris.
“Kita memerlukan ulasan dan perbincangan bersifat provokatif
untuk melihat sejauh mana budaya asal Melayunya dikekal atau berkurangan
nilainya selepas diterjemah ke bahasa asing.
“Isu ini sangat menarik dan membuka fikiran kita kerana
setiap bahasa mempunyai budaya yang berbeza seperti bahasa Melayu yang berlapik
dan sopan-santun berbanding Inggeris yang bersifat eksplisit dan terus-terang,”
katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Penterjemah Malaysia.
Selain itu, Dr Syed Nurulakla turut melihat faktor ahli
akademik yang tidak mempunyai hubungan yang luas dengan pihak luar termasuk
penulis dan penyusun ensiklopedia seperti Encyclopedia Literary Translation
Into English yang mengumpulkan semua entri karya sastera yang diterjemahkan ke
bahasa Inggeris.
“Malangnya dalam ensiklopedia itu, tidak ada satu pun karya
kesusasteraan Malaysia yang disenaraikan sedangkan ketika penerbitannya, kita
sudah memiliki karya seperti No Harvest but a Thorn atau Ranjau Sepanjang Jalan.
“Sarjana yang memiliki nama besar khususnya yang menduduki
Kursi Pengajian Melayu yang mewakili Malaysia perlu memainkan tugas yang lebih
berkesan kerana ada jurang yang luas antara sastera tanah air dengan
antarabangsa,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Terjemahan & Buku
Malaysia (ITBM), Mohd Khir Ngadiron, berkata judul yang disenarai pendek dalam
Hadiah Sastera Man Asia termasuk karya yang menang, lebih kepada karya
kontemporari dan bersifat provokatif.
“Novel terjemahan kita ke bahasa Inggeris pula mungkin
sampai kepada maksudnya daripada aspek penterjemahan, tetapi nuansa buku
sastera tidak sekuat dalam bahasa asalnya.
“Hal itulah yang akan kami perbaiki dan sekiranya penulis
berkeupayaan, kami boleh menyerahkan terjemahannya kepada mereka untuk
mendapatkan pandangan kerana nuansa sastera agak berbeza sehingga apabila
diterjemahkan, maksudnya tidak sampai,” katanya.
Mohd Khir mengakui pihaknya juga tidak memiliki penterjemah
yang ramai kerana hanya 200 daripada 1,000 penterjemah digunakan secara aktif,
selain kerjaya penterjemah yang belum mantap dan keadaan pasaran kerjaya tidak
kompetitif.
“Dunia penterjemahan memerlukan pengiktirafan dan peluang
penterjemahan yang konsisten kerana tanpanya, mereka bimbang untuk menjadi
penterjemah sepenuh masa.
“Kita juga kekurangan editor dan penyunting sehingga tidak
keterlaluan untuk mengatakan profesion ini lebih diperlukan kerana penterjemah
boleh dicari,” katanya.
Justeru, Mohd Khir berkata, pihaknya akan memastikan projek
penterjemahan berterusan, sekali gus menggunakan tenaga penterjemah sepenuh
masa yang diharap dapat mewujudkan ruang yang lebih kompetitif.
“Pihak kami juga mengenal pasti penterjemah sastera termasuk
dengan berhubung dengan institusi pengajian tinggi (IPT) kerana mereka memiliki
kepakaran dalam bidang bahasa.
“Sekiranya universiti melihat penterjemahan sebagai ruang
yang menjanjikan kepada pelajar mereka, pihak pentadbir mungkin boleh
mewujudkan kursus terjemahan karya sastera,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan