Oleh Mohamed Farid Noh
Surat tawaran penempatan graduan
ke seluruh negara sedang diagih
BATU PAHAT: Seramai 5,500 graduan
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian
tinggi awam (IPTA) yang berjaya pada temuduga antara Januari hingga Mac lalu
akan ditempatkan di sekolah seluruh negara, mulai bulan ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr
Mohd Puad Zarkashi, berkata surat tawaran penempatan kepada semua graduan
berkenaan yang sebelum ini dilantik sebagai guru interim (guru sementara) itu
sedang diagihkan.
“Daripada kira-kira 5,500 calon
yang ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), hanya 62 calon gagal
namun mereka kini dalam proses rayuan selepas wakil mereka bertemu saya
kelmarin.
“Saya harap, semua guru yang
berjaya dan sudah menerima surat tawaran penempatan itu menerima jawatan mereka
dengan semangat tinggi untuk mendidik anak bangsa.
“Jika boleh tidak perlulah
membuat rayuan untuk mendapatkan sekolah berhampiran rumah... jika dapat
mengajar di Sarawak atau Sabah, terimalah dengan berlapang dada, demi mendidik
anak bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas
majlis penyampaian peruntukan RM1 juta kepada Sekolah Menengah Tinggi Cina
Chong Hwa Rengit, dekat sini, semalam.
Mac lalu, Berita Harian
melaporkan Kementerian Pelajaran giat mengumpul rekod terkini kekosongan guru
di sekolah seluruh negara daripada Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengisi calon
graduan berkenaan yang selesai sesi temu duga oleh SPP, berakhir 16 Mac lalu.
Disember tahun lalu, 5,000
graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk dari Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) menuntut Kementerian Pelajaran memberi jaminan penempatan
sekolah kepada mereka sama seperti Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).
Mereka mendakwa kementerian
menganaktirikan mereka dan lebih mengutamakan GSTT untuk diserap sebagai guru
tetap.
Sementara itu, Puad ketika
ditanya sama ada pihaknya ada menerima permohonan pertukaran sekolah daripada
guru yang sudah menerima surat tawaran penempatan itu berkata, buat masa ini
tiada lagi permohonan sedemikian.
“Mungkin semua guru ini mempunyai
semangat berkobar-kobar dan tidak kisah bertugas di mana saja mereka
ditempatkan dan itulah yang kita harapkan daripada mereka,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan