KUALA LUMPUR : Seramai 14,224 calon telah mendaftar untuk
menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2012 yang
akan diadakan pada Selasa dan Rabu ini.
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran
Malaysia, daripada jumlah itu, 7,389 calon telah mendaftar untuk mengambil mata
pelajaran Bahasa Melayu (kod kertas 1103) dan 3,909 lagi mendaftar untuk mata
pelajaran Matematik (kod kertas 1449).
"Bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki
kedua-dua mata pelajaran ialah seramai 2,926 orang. Sebanyak 239 pusat
peperiksaan akan dibuka untuk peperiksaan ini di seluruh negara," kata
kenyataan itu.
Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk
kepada Jadual Waktu Peperiksaan untuk maklumat mengenai masa, arahan dan amaran
yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan
masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian
peperiksaan berjalan lancar. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan