Selasa, 12 Jun 2012

ISU BAHASA : Sastera tempatan VS antarabangsa



Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Keindahan karya hilang dalam proses penterjemahan ke bahasa asing

SEJAUH mana karya kesusasteraan tanah air pada pentas sastera kontemporari antarabangsa boleh dilihat pada kedudukannya dalam penilaian anugerah dan hadiah sama ada pada peringkat Asia atau dunia.

Sudah tentu penilaian itu memerlukan penterjemahan khususnya ke bahasa Inggeris yang bukan saja bermutu, bahkan berjaya memunggah sama nuansa sastera dalam bahasa Melayu.

Paling hampir ialah Hadiah Sastera Man Asia yang diperkenalkan pada 2008 yang menilai novel pengarang Asia yang ditulis dalam bahasa Inggeris atau diterjemahkan ke bahasa itu, selain Hadiah Buku Komanwel dan Hadiah Man Booker.

Hadiah Sastera Man Asia 2011 dimenangi novelis Korea Selatan, Kyung-sook Shin lewat Please Look After Mom yang diterjemah ke bahasa Inggeris selepas mencatat jualan 1.93 juta naskhah di negaranya.

Bagaimanapun, karya sastera tanah air bukan saja belum mencatat sejarah dengan mengecap kejayaan dalam mana juga anugerah yang berformat sayembara itu, bahkan tidak berjaya tercatat dalam senarai panjang dan pendeknya.

Ia menimbulkan tanda tanya apakah karya sastera tanah air sebenarnya belum sekuat yang disangka atau ia berpunca daripada penterjemahan ke bahasa asing yang mungkin tepat pada tatabahasa, tetapi tidak dapat memindahkan nilai estetika yang ada pada karya dalam bahasa asal.

Pensyarah Jabatan Bahasa Asing, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Nurulakla Syed Abdullah, berkata sambutan yang lesu terhadap karya sastera tanah air yang diterjemah ke bahasa asing khususnya bahasa Inggeris mungkin memberi kesan terhadap penilaian pihak luar termasuk panel juri anugerah.

“Saya membuat tanggapan panel juri tidak membaca semua sekali karya yang dihantar dengan teliti kerana mereka perlu menilai buku yang dihantar dari seluruh Asia dalam masa singkat.

“Mereka mungkin membacanya sedikit, sebelum membuat carian dalam Google umpamanya untuk melihat komentar pelbagai pihak termasuk akhbar berbahasa Inggeris dan media baru seperti blog dan komen interaktif pembaca,” katanya kepada Sastera di Putrajaya, baru-baru ini.

Dr Syed Nurulakla berkata, sambutan terjemahan karya sastera itu di negara asal boleh menjadi antara faktor naskhah diangkat di luar negara kerana penilai mungkin mengambil kira kewajaran mengangkat judul terbabit sekiranya tidak memperoleh impak di tanah air sendiri.

“Sekarang dunia tanpa sempadan sehingga penilai boleh menyemak sama ada ulasannya tersiar dalam media massa atau dibincangkan pada acara bedah buku dan sekiranya tidak ada langsung, seolah-olah karya itu tidak penting.

“Cuba kita renung kembali novel seperti The Storms of Yesterday terjemahan daripada Badai Semalam dan The Old Man at the Foot of Mountain (Seorang Tua di Kaki Gunung), apakah judul terbabit pernah dibicarakan dalam konteks terjemahannya dalam bahasa Inggeris,” katanya yang juga penterjemah Rihlah Ibnu Batutah.

Justeru, beliau menyarankan, buku terjemahan dimartabatkan dengan memperbanyakkan acara diskusi, bedah buku dan ceramah yang melihat karya terjemahan sebagai hasil kreatif baru yang berbeza dengan karya asal, sekali gus menyelongkar perbandingan budaya antara teks berbahasa Melayu dengan bahasa asing seperti Inggeris.

“Kita memerlukan ulasan dan perbincangan bersifat provokatif untuk melihat sejauh mana budaya asal Melayunya dikekal atau berkurangan nilainya selepas diterjemah ke bahasa asing.

“Isu ini sangat menarik dan membuka fikiran kita kerana setiap bahasa mempunyai budaya yang berbeza seperti bahasa Melayu yang berlapik dan sopan-santun berbanding Inggeris yang bersifat eksplisit dan terus-terang,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Penterjemah Malaysia.

Selain itu, Dr Syed Nurulakla turut melihat faktor ahli akademik yang tidak mempunyai hubungan yang luas dengan pihak luar termasuk penulis dan penyusun ensiklopedia seperti Encyclopedia Literary Translation Into English yang mengumpulkan semua entri karya sastera yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

“Malangnya dalam ensiklopedia itu, tidak ada satu pun karya kesusasteraan Malaysia yang disenaraikan sedangkan ketika penerbitannya, kita sudah memiliki karya seperti No Harvest but a Thorn atau Ranjau Sepanjang Jalan.

“Sarjana yang memiliki nama besar khususnya yang menduduki Kursi Pengajian Melayu yang mewakili Malaysia perlu memainkan tugas yang lebih berkesan kerana ada jurang yang luas antara sastera tanah air dengan antarabangsa,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khir Ngadiron, berkata judul yang disenarai pendek dalam Hadiah Sastera Man Asia termasuk karya yang menang, lebih kepada karya kontemporari dan bersifat provokatif.

“Novel terjemahan kita ke bahasa Inggeris pula mungkin sampai kepada maksudnya daripada aspek penterjemahan, tetapi nuansa buku sastera tidak sekuat dalam bahasa asalnya.

“Hal itulah yang akan kami perbaiki dan sekiranya penulis berkeupayaan, kami boleh menyerahkan terjemahannya kepada mereka untuk mendapatkan pandangan kerana nuansa sastera agak berbeza sehingga apabila diterjemahkan, maksudnya tidak sampai,” katanya.

Mohd Khir mengakui pihaknya juga tidak memiliki penterjemah yang ramai kerana hanya 200 daripada 1,000 penterjemah digunakan secara aktif, selain kerjaya penterjemah yang belum mantap dan keadaan pasaran kerjaya tidak kompetitif.

“Dunia penterjemahan memerlukan pengiktirafan dan peluang penterjemahan yang konsisten kerana tanpanya, mereka bimbang untuk menjadi penterjemah sepenuh masa.

“Kita juga kekurangan editor dan penyunting sehingga tidak keterlaluan untuk mengatakan profesion ini lebih diperlukan kerana penterjemah boleh dicari,” katanya.

Justeru, Mohd Khir berkata, pihaknya akan memastikan projek penterjemahan berterusan, sekali gus menggunakan tenaga penterjemah sepenuh masa yang diharap dapat mewujudkan ruang yang lebih kompetitif.

“Pihak kami juga mengenal pasti penterjemah sastera termasuk dengan berhubung dengan institusi pengajian tinggi (IPT) kerana mereka memiliki kepakaran dalam bidang bahasa.

“Sekiranya universiti melihat penterjemahan sebagai ruang yang menjanjikan kepada pelajar mereka, pihak pentadbir mungkin boleh mewujudkan kursus terjemahan karya sastera,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan