Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my
Sekolah teknik dan vokasional di seluruh negara digantikan
dengan kolej vokasional bukan sahaja dari segi nama malah turut melibatkan
perubahan kurikulum, penilaian serta persijilan.
Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV)
Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab berkata, transformasi ini melibatkan
kurikulum teknik dan vokasional, tempoh pengajian, pengiktirafan persijilan,
tenaga pengajar, infrastruktur dan yang paling utama penjenamaan semula
sekolah-sekolah menengah vokasional kepada Kolej Vokasional.
"Kementerian Pelajaran telah melakukan satu perubahan
besar dalam bidang pendidikan teknik dan vokasional melalui Transformasi
Vokasional dan Teknik (VOCTEC).
"Perubahan yang besar ini pastinya telah menarik minat
seluruh masyarakat di negara kita khasnya kepada ibu bapa dan anak-anak mereka
yang berada di bangku sekolah," katanya dalam satu kenyataan baru-baru
ini.
Tambahnya, golongan ibu bapa dan pelajar ingin mengetahui
dengan lebih jelas tentang perubahan dalam bidang pendidikan vokasional, hala
tuju dan manfaat masa depan daripada transformasi ini.
Sehubungan itu, BPTV menganjurkan Jelajah Kolej Vokasional
1Malaysia untuk mempromosi, menerangkan, membuat pameran, memberi taklimat dan
apa jua yang berbentuk outreach kepada masyarakat serta golongan sasar bagi
memberikan mereka input yang terkini, jelas dan tepat.
"Ia juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab
warga Pendidikan Teknik dan Vokasional untuk menjadi deliver atau penyampai
agar dasar kementerian dalam bidang ini mencapai kejayaan," terangnya.
Jelajah selama lima hari yang diterajui Sekolah Menengah
Vokasional (SMV) Batu Pahat ini melibatkan penyertaan seramai 150 peserta
termasuk para pegawai BPTV, pengetua, guru penolong kanan, ketua bidang, guru,
pelajar dan alumni sekolah.
Ia melibatkan 50 buah motosikal berkuasa tinggi serta
beberapa buah kereta, van, pacuan empat roda dan bas.
Konvoi melalui sembilan negeri bermula di Johor dan
kemudiannya ke Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Selangor, Negeri
Sembilan, Melaka dan berakhir semula di Johor.
Menurut Ahmad Tajudin, para peserta melakukan pendekatan
kepada masyarakat dalam dua bentuk promosi iaitu melalui pergerakan kenderaan
dan promosi statik di lokasi terpilih.
"Pendekatan yang dilakukan ini diharap dapat mencapai
objektif utama program iaitu untuk menjadikan kolej vokasional sebagai pilihan
utama para pelajar," katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan