Oleh Imam Muda Hizbur Rahman
bhagama@bharian.com.my
Laksana amanah didik anak sejak dalam kandungan hingga
dewasa
WAHAI anakku, jauh sebelum dirimu hadir dalam kehidupan ayah
dan ibu, kami sentiasa bermohon kepada Allah SWT supaya dikurniakan keturunan
yang soleh dan solehah, taat kepada Allah, berbakti kepada orang tua, rajin
beribadah, belajar, serta dapat menjadi penerus dakwah Islam.
Banyak rencana yang kami rancang supaya kelak bila kau
hadir, kami sudah siap menjadi orang tua yang baik dan mampu mendidikmu dengan
didikan sesuai agama Islam, tuntunan kita seperti dicontohkan Rasulullah SAW
kepada kita.
Ayah dan ibu ingin kelak apabila Allah mengamanahkan kepada
kami seorang puteri, maka dia akan berakhlak seperti akhlak Fatimah, puteri
Rasulullah SAW, dan apabila Allah mengamanahkan seorang putera, maka dia akan
seperti Saidina Ali.
Setelah tanda kehadiranmu mulai jelas, ibu sering mual,
muntah-muntah, sakit kepala dan mahu pengsan. Ibu dan ayah bersyukur kepada
Allah atas kurniaan-Nya, kami menjagamu sepenuh hati, serta sentiasa berharap,
kelak dirimu lahir sebagai anak yang sihat, sempurna dan menyenangkan.
Sejak dalam rahim, kami cuba menanamkan kalimat tauhid
kepadamu dan berupaya mengenalkanmu kepada Sang Pencipta, dengan bacaan ayat
suci-Nya, senandung selawat Nabi, nasyid membangkitkan semangat dakwah dan rasa
keimanan kepada Allah yang Esa.
Saat kau akan lahir, ibu merasakan sakit amat sangat,
seolah-olah berada antara hidup dan mati, namun ibu tidak mengeluh dan putus
asa, kerana bayangan kehadiranmu, lebih ibu rindukan dibanding sakit yang
dirasakan.
Ibu tak henti-henti berdoa, memohon ampunan dan kekuatan
kepada Allah. Ayah pun tidak tidur beberapa malam untuk memastikan kehadiranmu,
menemani dan menguatkan ibu, supaya sanggup melahirkanmu dengan sempurna.
Bacaan zikir dan istighfar, mengiringi kelahiranmu.
Begitu kau lahir, rasa sakit dilupakan begitu saja. Setelah
tangismu terdengar, seolah kebahagiaan hari itu hanya milik ibu dan ayah. Air
mata yang tadinya hampir tak henti mengalir kerana menahan sakit, berganti
menjadi senyum bahagia menyambut kelahiranmu.
Ibu dan ayah bersyukur kepada Allah SWT, kemudian ayah
melantunkan bacaan azan dan iqamah di telingamu, supaya kalimat pertama kau
dengar adalah kalimat tauhid yang harus dirimu yakini dan taati selama hidupmu.
Ibu berasakan kebahagiaan menyusukanmu, memastikan anaknya
tidak lapar dan membesar sihat. Ibu selalu bersedia memberikan air syurga
kurniaan Ilahi kepadamu.
Ibu berusaha menjagamu walau dalam keadaan apapun. Saat
malam sedang tidur lelap, ibu akan terjaga bila kau tiba-tiba menangis kerana
lampinmu basah atau lapar. Saat sedang makan dan dikau buang air besar, ibu
dengan rela menghentikan makan dan mengganti pakaianmu dulu. Semuanya ibu
lakukan dengan senang hati, tanpa rasa susah dan jijik.
Sejak dirimu masih dalam buaian, ibu membacakan doa dalam
setiap kegiatan kau lakukan. Ibu bacakan doa hendak makan ketika dikau hendak
makan, doa hendak tidur ketika dirimu hendak tidur, dan doa apa saja yang harus
dikau tahu serta amalkan dalam kehidupan seharianmu.
Ibu bacakan selalu ayat Kursi dan surah pendek satu persatu
setiap malam, di kala menghantarmu tidur, ayat demi ayat dan ibu ulang
berkali-kali hingga dirimu dapat mengingatinya dengan baik, dengan harapan
dirimu besar nanti menjadi penghafaz al-Quran.
Ketika dikau sudah mampu berbicara, Subhanallah, tanpa kami
duga dirimu telah menghafal pelbagai macam doa dan beberapa surah pendek. Ibu
bersyukur dan bangga kepadamu. Muncul harapan dalam hati ini, kelak dikau
tumbuh menjadi anak yang pintar dan rajin belajar.
Tatkala dirimu mulai belajar solat, walau dengan bacaan yang
masih belum sempurna, bercucuran air mata ibu kerana kau telah mampu melafazkan
doa itu.
Timbul harapan di hati yang paling dalam, kelak hingga
ketika ibu dan ayah tiada, dikau tetap melantunkan doa itu, kerana doamu akan
memberikan kepada ibu dan ayah pahala tak henti-henti di hari akhirat. Kaulah
aset masa depan bagi ibu dan ayah.
Saat dikau memasuki usia sekolah, kami carikan sekolah yang
baik untukmu. Sekolah yang memiliki visi pendidikan seperti yang ibu dan ayah
inginkan. Alhamdulillah, saat dirimu mulai bersekolah, telah banyak didirikan
sekolah Islam.
Apabila ibu dan ayah tidak mahu melayanimu untuk hal yang
sudah dapat dirimu lakukan sendiri, itu bukan bererti kami tidak menyayangimu.
Ibu dan ayah sayang sekali padamu, dikau tidak boleh terlalu dimanjakan hingga
saat dirimu besar nanti, dikau jadi anak yang berdikari dan serba boleh.
Maafkan ibu dan ayah apabila sesekali atau sering memarahimu
ketika dikau membuat kesalahan yang berulang. Sebenarnya ibu dan ayah tidak
ingin memarahimu, namun kami sedar dikau perlu tahu dan dapat membezakan mana
yang benar, mana yang salah.
Inilah harapan ibu dan ayah kepadamu, sangat banyak dan
sangat ideal. Oleh kerana itu, kami sentiasa memohon petunjuk dan bimbingan
dari Allah Yang Esa, yang Berkuasa dan Maha Agung, supaya tidak salah langkah
dalam mendidikmu.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan