Oleh DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI SABRI
JIKA disoroti sejak kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan
pelbagai kes bunuh diri dan cubaan membunuh diri. Lebih terkejut, apabila ada
golongan profesional seperti doktor dan peguam yang mengambil keputusan
membunuh diri, ramai yang tidak dapat memahami kenapa jalan terakhir itu yang
dipilih.
Belum lagi dikira dengan kes terminum racun dan terjatuh
bangunan. Jika orang dewasa yang matang tidak dapat mengawal perasaan, apatah
lagi remaja dan kanak-kanak. Semuanya dikaitkan dengan tekanan dan konflik
hidup sebagai puncanya.
Masalah mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada
fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan
dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti
seharian dengan baik.
Kini, masalah mental menjadi salah satu ancaman utama kepada
seluruh penduduk dunia dan penduduk Malaysia khususnya.
Tinjauan Kesihatan Mobiliti dan Kesihatan 2011 menunjukkan
12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai
jenis penyakit mental. Statistik ini amat menakutkan, iaitu satu angka yang
tinggi kerana menunjukkan seorang daripada enam (1:6) rakyat negara ini ada
penyakit mental.
Pada masa kini, masyarakat menganggap mereka yang mengalami
masalah mental sebagai satu ancaman kepada keselamatan awam kerana akhbar
sering melaporkan pelbagai kes amuk, bunuh dan gangguan-gangguan yang dilakukan
oleh mereka yang mengalami masalah mental.
Keadaan ini menyebabkan masyarakat membuat tanggapan negatif
kepada mereka yang mengalami masalah mental ini tanpa mengkaji sebab mereka
berkelakuan sedemikian.
Ironinya kita tidak didedahkan secara sepenuhnya mengenai
penyakit mental ini. Masyarakat hanya memandang pesakit mental adalah orang
'gila'. Tetapi jika diperhatikan kembali hanya terdapat segelintir masyarakat
yang mempunyai pengetahuan mengenai masalah mental sahaja yang dapat menerima
serta membantu pesakit mental.
Saya ingin mengusulkan, melihat kepada perkembangan semasa
ini, mungkin pendedahan boleh diberikan di peringkat sekolah memandangkan
sekolah merupakan medium terbaik dalam penjanaan ilmu pengetahuan serta memupuk
sikap para pelajar dan masyarakat.
Pesakit mental tidak seharusnya dipinggirkan oleh masyarakat
kerana mereka yang mengalami masalah mental mempunyai peluang untuk pulih
semula dan menjadi sebahagian daripada masyarakat.
Mereka sepatutnya diberi perhatian kerana ada dalam kalangan
mereka mengalami tekanan dalam hidup yang berat sehingga mereka cenderung
menghidap masalah mental.
Oleh itu, setiap individu perlu mengubah perspektif negatif
mereka terhadap pesakit mental dan memberikan sokongan-sokongan yang diperlukan
agar mereka tidak merasa terpinggir daripada kelompok masyarakat.
Bagi saya wujudnya 45 jabatan psikiatri di seluruh negara di
samping empat buah hospital mental untuk pesakit mental menjalani rawatan
pemulihan dengan sebaik mungkin tidak memberi erti jika sikap prejudis
masyarakat menghalang pesakit untuk mendapatkan rawatan.
Di samping itu, saya menyarankan Klinik Mental 1Malaysia
perlu diwujudkan di setiap DUN dan Parlimen. Ketika ini kita hanya ada 233
pakar sakit jiwa seluruh Malaysia untuk jumlah penduduk hampir 30 juta.
Nisbahnya ialah 0.8 pakar untuk 100,000 penduduk. Satu angka yang tidak masuk
akal. Sesuatu perlu dilakukan segera.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama
Negeri sebagai tunggak pengurusan orang Islam di negara ini perlu proaktif
dengan menubuhkan unit kaunseling berteraskan online di setiap kariah, daerah
dan negeri. Tapi perhatikan saja laman web mereka, ada yang tidak pernah
dikemas kini berbulan-bulan lamanya.
Saya bukan seorang yang antiagama lain namun jika dibuat
perbandingan dengan NGO lain seperti Befriender, mereka nampaknya lebih ke
hadapan menangani isu ini sedangkan mereka hanya bergerak menerusi dana-dana
'sedekah'.
Saya amat menekankan perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi
kerana ia berperanan menyediakan ruang untuk mangsa tekanan mental meluahkan
isi hati mereka. Kaunseling juga dapat memberikan nasihat agar membantu
individu tersebut menyelesaikan masalahnya.
Kaunseling juga perlu diberikan kepada keluarga pesakit
mental supaya mengurangkan tekanan mereka yang terpaksa menjaga pesakit. Dengan
itu, jelaslah bahawa kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi merupakan satu
langkah yang penting dalam mengelakkan tekanan mental.
Bukan semua individu dapat menangani tekanan hidup dengan
baik. Cara dan tahap seseorang menerima sesuatu tekanan adalah berbeza. Mungkin
bagi individu A, masalah dihadapi individu B dianggap remeh, tetapi tidak bagi
individu B. Begitulah juga sebaliknya.
Harus disedari bahawa prinsip suka menyendiri akan cenderung
ke arah sakit mental. Ini kerana menyendiri akan menyebabkan kita mudah
mengikut rasa dan nafsu, apatah lagi kita akan mudah mengikut telunjuk syaitan.
Justeru dalam hidup ini, kita perlu mempunyai hubungan yang
akrab dengan keluarga dan rakan-rakan. Sedarlah kita perlu hidup bermasyarakat,
dan tidak perlu kita menjadi 'kera sumbang' kerana siapalah kita tanpa
masyarakat. Marilah kita belajar hidup bermasyarakat.
PENULIS ialah penyelaras/pensyarah kanan di Universiti Utara
Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan