Jumaat, 22 Jun 2012

ISU SOSIAL : Pendidikan agama kaedah berkesan sedarkan banduan


Oleh Wan Roslili Majid
bhagama@bharian.com.my

Sedia bahan bacaan sesuai, pakar motivasi bantu program pemulihan

KISAH Thumamah bin Uthal, pemimpin Bani Hanifah yang sangat berpengaruh dan amat memusuhi Nabi SAW serta risalah Baginda, namun akhirnya memeluk Islam menarik untuk dijadikan panduan.

Thumamah ialah salah seorang daripada lapan pemerintah yang diutus surat oleh Baginda dan diseru supaya menerima agama dibawa Nabi SAW. Surat diutus Nabi SAW menimbulkan kemarahan Thumamah dan mencetuskan niatnya untuk membunuh Baginda.

Pada suatu ketika, Thumamah berangkat ke Makkah bagi menunaikan umrah dan melaksanakan korban untuk berhala di sekeliling Kaabah. Dalam perjalanan, dia ditangkap pasukan berkuda Nabi SAW yang diutus ke Najd bagi tujuan rondaan dan kawalan.

Pasukan berkuda yang tidak mengenali Thumamah membawanya ke Masjid Nabi dan mengikatnya pada salah satu tiang masjid. Nabi lantas mengenali Thumamah sebaik saja melihatnya dan meminta ahli keluarga Baginda menyediakan makanan serta minuman untuk dibawa kepadanya.

Saban hari Nabi SAW berusaha memujuk Thumamah menerima agama Islam dan dia pula sebaliknya menawarkan sama ada dibunuh, dimaafkan atau dibebaskan dengan bayaran pampasan menurut jumlah dikehendaki Nabi SAW.

Pada hari ketiga, Nabi SAW membebaskan Thumamah. Namun, layanan baik diberikan Nabi SAW dan tindakan Baginda yang menempatkannya di masjid membolehkan Thumamah menyelami kehidupan serta akhlak kaum Muslimin.

Faktor itu berjaya membuka hati Thumamah menerima Islam, agama begitu dibenci sebelumnya. Diriwayatkan, setelah berlalunya tiga malam, dididik oleh kaum Muslimin mengenai agama Islam dan dibebaskan, Thumamah keluar dari masjid dan singgah di kebun tamar berhampiran lalu membersihkan dirinya. Beliau kemudian kembali ke masjid dan mengucap syahadah.

Tindakan Nabi SAW dalam kisah ini membentuk garis panduan jelas bagi institusi pemulihan atau penjara misalnya dalam soal pendidikan serta pemulihan pesalah. Persekitaran yang baik (bi’ah salihah) diisi pelbagai bentuk ibadah dan amalan bermanfaat dapat membantu menjayakan program pemulihan dilaksanakan.

Ibadah memainkan peranan penting mencetuskan kesedaran mengenai pengawasan Allah SWT terhadap setiap perbuatan dilakukan, membimbing seseorang khususnya pesalah untuk menyucikan jiwa, memperbaiki akhlak serta tidak mengulangi kesalahan pernah dilakukan.

Antara faktor menyumbang perlakuan jenayah ialah kealpaan, kejahilan dan lemahnya pegangan agama. Justeru, ulama menekankan kepentingan melaksanakan ibadah oleh pesalah atau banduan.

Peraturan 148 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 memperuntukkan pengajaran agama dan moral kepada pesalah selain pelaksanaan ibadah, lawatan kakitangan agama atau anggota persatuan agama yang berdaftar.

Kajian penulis di sebuah penjara wanita tempatan tahun lalu menunjukkan pelaksanaan program agama yang memberi pendedahan serta bimbingan kepada penghuni memberi kesan positif. Ada antara mereka dapat membaca al-Quran sedangkan sebelum itu tidak berupaya berbuat demikian.

Menarik untuk dinyatakan, di peringkat antarabangsa, Jabatan Penjara Sudan menjadikan hafazan ayat al-Quran sebagai salah satu daripada empat bentuk parol. Satu persepuluh daripada tempoh hukuman penjara akan dikurangkan dengan hafazan tiga juzuk al-Quran.

Selain persekitaran yang baik, keseluruhan prasarana disediakan dalam sesebuah institusi pemulihan atau penjara termasuk perpustakaan perlulah dipastikan menyokong sepenuhnya program pemulihan dilaksanakan.

Kejayaan matlamat pemulihan pesalah bergantung pada keselarasan atau kesepaduan antara program pemulihan dengan persekitaran dan prasarana disediakan.

Berdasarkan pemerhatian penulis sepanjang menjalankan kajian, terdapat keperluan memastikan buku di perpustakaan penjara daripada judul yang dapat membantu meningkatkan kesedaran dan motivasi diri pesalah untuk tidak mengulangi kesalahan serta memperbaiki akhlak setelah dibebaskan.

Justeru, pembabitan institusi pengajian tinggi, ilmuwan dan cendekiawan yang memiliki kepakaran mengenai pemulihan serta pembentukan motivasi diri banduan dilihat amat relevan.

Di samping itu, program pemulihan khususnya berkaitan keagamaan menuntut kerjasama erat agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan khususnya bagi memastikan pemulihan diri pesalah melalui program dilaksanakan, berkekalan sifatnya.

Kesedaran dan keinsafan diperoleh sebagai hasil pemulihan berjaya melenyapkan kemudaratan ditimbulkan sebelumnya, bukan untuk tempoh sementara saja.

Masyarakat juga perlu terbabit secara langsung dalam program ini bagi melenyapkan stigma sedia ada terhadap pesalah. Mereka perlu memberi peluang kepada pesalah untuk membuktikan bahawa program pemulihan telah dimanfaatkan sepenuhnya.

Fitrah asal manusia adalah baik lagi suci. Justeru, fitrah yang telah dicemari perlu dibimbing untuk dibersihkan semula. Penyucian inilah akhirnya dapat membantu insan yang melakukan jenayah untuk kembali melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah dengan penuh iltizam dan tanggungjawab.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan