BANGI : Seramai 10,675 warga pendidik dan kumpulan sokongan
daripada 124 sekolah menengah di seluruh negara hari ini menerima ganjaran
sebanyak RM10 juta bagi pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum
pada 2011.
Ganjaran di bawah bidang keberhasilan utama negara (NKRA)
pendidikan itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin pada majlis Anugerah Tawaran Baru Kepada Pengetua 2011, di sini hari
ini.
Ketika berucap, Muhyiddin melahirkan rasa gembira dengan
pencapaian 124 buah sekolah atau 5.51 peratus itu yang melebihi sasaran 4
hingga 5 peratus daripada 2,248 sekolah menengah yang ditetapkan di bawah Sub
NKRA pada tahun lepas untuk menerima ganjaran itu manakala semua pengetua yang
terlibat juga melepasi semua saringan termasuk tiada audit berteguran dan tiada
kes tatatertib.
"Apa yang membanggakan kita semua ialah usaha kerajaan
untuk merapatkan jurang dan menyamaratakan peluang pendidikan berkualiti antara
bandar dan luar bandar juga nampaknya telah membuahkan kejayaan.
"Ini
terbukti apabila 54 peratus iaitu 67 buah sekolah luar bandar berjaya menerima
ganjaran tawaran baru ini dari keseluruhan 124 sekolah yang terpilih,"
kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.
Beliau berkata pada Mac lalu, ganjaran RM15.6 juta diberikan
kepada 403 buah sekolah daripada 7,648 buah sekolah rendah di seluruh negara
bagi tujuan yang sama.
Timbalan Perdana Menteri juga berbangga dengan prestasi
sekolah agama apabila sebanyak 18 buah sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan
dipilih menerima ganjaran itu berbanding empat buah pada 2010.
"Peningkatan lebih dua kali ganda ini amat membanggakan KPM. Manakala sebanyak 19 buah sekolah dalam kategori lonjakan perdana telah melonjak sebanyak 500 tempat dan ke atas dalam kedudukan rangkingnya berbanding sasaran lonjakan yang diperlukan iaitu 300 tempat sahaja," katanya.
"Peningkatan lebih dua kali ganda ini amat membanggakan KPM. Manakala sebanyak 19 buah sekolah dalam kategori lonjakan perdana telah melonjak sebanyak 500 tempat dan ke atas dalam kedudukan rangkingnya berbanding sasaran lonjakan yang diperlukan iaitu 300 tempat sahaja," katanya.
Pencapaian dua buah sekolah begitu menakjubkan dengan
lonjakan lebih daripada 1,000 kedudukan iaitu Sekolah Menengah Agama Tarbiah
Islamiah Pulau Pinang sebanyak 1,555 lonjakan dan Sekolah Menengah Agama
Makarimul Akhlak Kedah sebanyak 1,202 lonjakan, katanya.
"Dan yang lebih
membanggakan lagi peningkatan yang ditunjukkan oleh Sekolah Menengah Seri
Kembangan, Selangor yang telah membuat lonjakan drastik sebanyak 1,399 dalam
kedudukan ranking bagi sekolah berenrolmen besar," katanya.
Bagi meneruskan kecemerlangan itu, beliau mahukan pengetua
dan guru besar supaya lebih berwibawa dan berinovasi dalam merancang,
menyelaras, memantau serta menilai aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi
melahirkan generasi yang berkemampuan.
Muhyiddin berkata sebagai pemimpin sekolah dan ejen
perubahan, mereka perlu mengikuti perkembangan terkini, memajukan diri dan
sentiasa memikirkan penambahbaikan kepimpinannya yang berorientasikan
pengurusan yang lebih baik.
"Kejayaan pengetua dalam merancang, menyelaras,
memantau dan menilai aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan membolehkan
pencapaian matlamat visi dan misi sekolah yang diterjemah selaras dengan visi,
misi dan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia".
Katanya,pengurusan dan kecemerlangan pengetua dan guru besar
yang mantap dan jitu pastinya menentukan prestasi akademik dan kokurikulam
pelajar yang membanggakan.
"Kementerian akan terus memastikan pengetua
yang tidak mencapai sasaran seperti yang ditetapkan diberi peluang mengikuti
kursus penambahbaikan berdasarkan keperluan masing-masing dan diberikan
bimbingan dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau juga menyarankan semua pengetua dan guru besar
sekolah agar meningkatkan ilmu dan kepakaran dalam bidang pendidikan terutama
dalam penarafan kendiri sekolah seperti yang dilaksanakan di beberapa buah
negara maju untuk meningkatkan prestasi sekolah.
Tegasnya, kerajaan begitu serius dalam melaksanakan
pembaharuan dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara bagi memastikan
kerelevannnya dan memberi kesan yang lebih baik.
"Pelaburan tinggi
kerajaan terhadap transformasi pendidikan menunjukkan keseriusan kerajaan
terhadap perkembangan terkini pendidikan bagi melahirkan modal insan yang
mempunyai pemikiran kritis, kreatif, inovatif, berdaya saing, berakhlak dan
berperibadi mulia," katanya. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan