Oleh AZRINA AZMAN
HARI ini saham-saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV)
secara rasmi didagangkan di Bursa Malaysia. Pada Julai depan ini, tiba pula
giliran penyenarairan Integrated Healthcare Holdings Bhd. (IHH), sayap
penjagaan kesihatan Khazanah Nasional Berhad.
Penyenaraian ini akan memantapkan kedudukan Malaysia sebagai
destinasi pilihan bagi pakar perubatan tempatan dan antarabangsa.
Dwi penyenaraian IHH di Bursa Malaysia dan Singapura secara
serentak amat dinanti-nantikan oleh golongan pelabur kedua-dua negara.
Dari perspektif pelaburan, tawaran awam awal (IPO) IHH
adalah tawaran awam permulaan kedua terbesar di Malaysia selepas FGV dan
keempat terbesar di Singapura.
IHH menerusi syarikat yang dikuasainya mengendalikan 83
hospital dengan bilangan katil berjumlah 12,316 bakal mengaut dana sebanyak
RM6.9 bilion melalui IPO, yang akan digunakan untuk modal operasi.
Ini sekali gus menyaksikan Malaysia, melalui Khazanah
menjadi pengendali pusat kesihatan kedua terbesar dunia di belakang Hospital
Corporation of Amerika dengan 163 hospital.
Usaha Malaysia membangunkan dan memperkukuh industri
perkhidmatan penjagaan kesihatan negara dijangka menaikkan taraf tenaga kerja
dan perkhidmatan yang ditawarkan kumpulan penyedia perkhidmatan kesihatan
tersebut, sama ada di rantau ini mahupun di peringkat antarabangsa.
Tinjauan awal melaporkan bahawa Khazanah akan memperoleh
keuntungan tidak ternyata sebanyak RM4.9 bilion daripada pengapungan IHH.
Jumlah ini jauh lebih tinggi daripada harga yang dibayar semasa pembelian
Parkway tahun lepas.
Kecairan yang diterima ini akan memudahkan perkembangan IHH
di rantau ini, yang mana permintaan sektor perkhidmatan kesihatan pesat
berkembang, terutamanya untuk tujuan pelancongan kesihatan, sama ada dalam atau
luar negara.
Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) menganggarkan industri
penjagaan kesihatan mampu menjana pendapatan RM9.67 bilion dengan 5,300 peluang
pekerjaan menjelang 2020.
Makmal NKEA juga menyarankan tambahan 1,900 katil bagi
menampung keperluan yang dijangka meningkat. Bagi memastikan sasaran itu
tercapai, Kementerian Pelancongan melaksanakan pelbagai langkah untuk
mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan penjagaan kesihatan
seperti yang dilakukan oleh Thailand dan Singapura.
Industri penjagaan kesihatan adalah antara program
transformasi yang dimulakan kerajaan hampir tiga tahun lalu, yang kini mula
membuahkan hasil, sekali gus meletakkan negara di ambang landasan pertumbuhan
yang baru.
Perkembangan ini memperlihatkan langkah transformasi yang
diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam melaksanakan Model Baru
Ekonomi (MBE) khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, kini mula
memperlihatkan hasilnya iaitu mentransformasikan Malaysia antara penggiat utama
dalam sektor penjagaan kesihatan dunia.
Penyenaraian IHH ini bermaksud Khazanah tidak sahaja
memperkenalkan penyenaraian kedua terbesar di Malaysia tahun ini tetapi turut
menyiapkan tapak untuk memajukan kebolehan negara dalam sektor perkhidmatan
pelancongan kesihatan.
Pelancongan kesihatan kini dilihat sebagai satu industri
lumayan. Di Asia Tenggara sahaja, rakyat Indonesia dan Vietnam masing- masing
membelanjakan RM1 bilion setahun untuk tujuan kesihatan di luar negara.
Apabila mengambil kira dua gergasi ekonomi Asia - China dan
India, permintaan mereka untuk perkhidmatan kesihatan di luar negara mengalami
peningkatan mendadak mengikut peningkatan taraf ekonomi mereka.
Ini kerana peningkatan taraf hidup dan populasi mereka yang
semakin menua telah mendorong kehendak pasaran kepada perkhidmatan kesihatan
berkualiti tinggi.
Dalam masa terdekat, sebanyak 1,100 katil akan ditambah di
Malaysia, angka yang terbesar di rantau ini. Ini akan menambah pegangan pasaran
Malaysia dalam industri pelancongan kesihatan.
Penambahan bilangan katil wajar diiringi pengumpulan bakat
dan kemahiran. Tenaga kerja adalah aset yang tamat berharga buat IHH.
Tenaga-tenaga mahir, sama ada doktor, jururawat dan staf kesihatan yang lain
adalah gedung bakat dan maklumat yang kini di bawah pegangan Khazanah, dan
secara tidak langsung Malaysia memiliki aset itu.
Kehadiran bakat-bakat ini mengurangkan pergantungan Malaysia
kepada tenaga asing untuk keperluan kesihatan. Malah melalui kewujudan
pemindahan teknologi dalam bidang kesihatan akan menambah baik tahap kemahiran
tenaga kerja tempatan.
Kebolehan dan kemahiran baru bidang perubatan dapat
diperkenalkan kepada warga tempatan, terutama bumiputera, dan peluang pekerjaan
di serata dunia tersedia melalui rangkaian luas hospital dan klinik di bawah
pengendalian IHH.
Pemerkasaan tenaga mahir ini akan mendatangkan kesan baik
kepada industri pendidikan tinggi kesihatan, yang juga merupakan sebahagian
perniagaan IHH.
Institusi-institusi pendidikan mereka seperti IMU akan
memudahkan pekerja-pekerja dalam bidang kesihatan di Malaysia dan Singapura
mendaftarkan diri mereka dalam program-program Pembangunan Profesional
Berterusan (CPD) seperti yang diwajibkan pihak berkuasa.
Masa hadapan pelajar-pelajar institusi ini juga bertambah
cerah kerana perkembangan IHH menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk
mereka.
Langkah ini juga dapat mengurangkan masalah yang melanda
pendidikan tinggi dalam bidang kesihatan seperti kekurangan hospital untuk
pelatih menjalani amali dan juga peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
Secara tidak langsung perkembangan IHH membawa banyak
manfaat kepada industri kesihatan Malaysia secara menyeluruh. Ia bukan sahaja
memberi kesan positif kepada ekonomi negara, ia juga memberi ruang untuk ramai
lagi rakyat Malaysia berkecimpung dalam bidang ini, dan mampu memikat kembali
tenaga pakar Malaysia yang keluar merantau untuk kembali berkhidmat di tanah
air.
Potensi dan keuntungan yang dapat diraih daripada
penyenaraian IHH bukan sekadar dana, tetapi juga peluang pekerjaan, pendidikan,
dan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara berkemahiran tinggi dalam bidang
perkhidmatan kesihatan.
PENULIS ialah penganalisis korporat.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan