SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh warga pendidik
daerah Lipis khususnya Pejabat Pelajaran Daerah Lipis kerana telah berjaya
melaksanakan tugas selaku tuan rumah Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang
2012 dengan begitu jayanya.
Hal ini membuktikan kepada umum bahawa warga pendidik
sememangnya bertaraf dunia, dapat melaksanakan apa sahaja tanggungjawab yang
diamanahkan dengan penuh kebertanggungjawaban.
Sambutan bermula dengan pertandingan memancing, memasak
gulai tempoyak ikan patin, pertandingan woodball, pertandingan golf, kayuhan
pendeta, mendaki Gua Bama, pameran pendidikan, rawatan kesihatan, ziarah
hospital, makan malam, sehinggalah ke hari pelancaran oleh Menteri Besar
Pahang. Sambutan daripada warga pendidik sangat menggalakkan dari seluruh
negeri Pahang.
Saya ingin respons tentang program 'Pengarah Turun Padang' yang
dinyatakan oleh Yahaya Zainal Abidin, Pengarah JPN Pahang dalam ucapannya.
Tahniah kerana beliau telah banyak melawat sekolah dan sesi perjumpaan dengan
warga pendidik telah dilakukan. Beliau menunjukkan komitmen berjumpa dengan
seluruh warga pendidik dan memberikan motivasi kepada guru-guru. Warga pendidik
sangat-sangat teruja dan berterima kasih kerana dikunjungi dalam suasana mesra
dan santai. Guru-guru dapat meluahkan masalah tanpa ada rasa tertekan. Inilah
yang guru-guru mahukan apabila pegawai peringkat atasan
sanggup turun ke akar umbi menyelami masalah dalam kalangan ahli.
Bagaimanapun, kami mengharapkan pelaksanaan program ini
dapat diterjemahkan kepada 'Pegawai Pelajaran Daerah Turun Padang' atau
ringkasnya 'PPD Turun Padang'.
Banyak maklumat akan diperoleh apabila pegawai PPD turun sendiri ke sekolah. Ini bukan bermakna kami tidak percaya kepada pegawai-pegawai yang
sebegitu ramai di PPD.
Kami mahu Pegawai PPD melihat sendiri keadaan sekolah di
daerah masing-masing terutamanya Sekolah Kurang Murid (SKM) dan jauh di pedalaman.
Lihat sendiri keadaan fizikal sekolah dan hulurkan bantuan
segera. Jangan asyik tertumpu kepada sekolah-sekolah elit di bandar.
Guru-guru akan berasa bangga sekiranya Pegawai PPD datang ke
sekolah tanpa perlu dijemput dengan surat panjang berjela. Guru-guru begitu
memerlukan perhatian dan suntikan semangat daripada
Pegawai PPD.
Jangan tunggu sehingga keputusan peperiksaan sudah merosot barulah
datang untuk mencari kelemahan guru-guru. Musim peperiksaan UPSR, PMR dan SPM
tidak lama lagi. Inilah masanya Pegawai
PPD dapat bertemu murid-murid yang akan
menduduki peperiksaan dan juga guru-guru yang bertungkus-lumus tanpa mengira
waktu.
Lihat sendiri bagaimana bersemangatnya guru-guru mencurahkan
ilmu bagi menaikkan nama sekolah dan daerah masing-masing. Semoga tema 'Guru
Menjana Transformasi Pendidikan Negara' dihayati dan dekat di hati seluruh
warga pendidik.
SECUPAK
Pahang Darul Makmur.
Pahang Darul Makmur.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan