KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan
untuk memberi kuasa kepada Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP) untuk mengambil tindakan terhadap sebarang kesalahan
penggunaan Bahasa Melayu dalam iklan di tempat awam, persidangan Dewan Rakyat
diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata
pada masa ini kuasa memantau kesalahan penggunaan Bahasa Melayu dalam iklan di
tempat awam terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Penasihat undang-undang (kementerian) sedang jalankan
kajian sama ada DBP akan diberi kuasa untuk ambil tindakan. Pada masa ini, kita
masih mengharapkan kerjasama PBT untuk memastikan Bahasa Melayu dimartabatkan
terutama oleh pihak swasta," katanya pada sesi soal jawab.
Katanya pendekatan DBP adalah lebih kepada menegur,
menasihat dan mendidik dalam memartabat Bahasa Melayu berbanding menghukum
pihak-pihak yang tidak menggunakannya dengan betul.
Menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas)
yang ingin tahu sama ada DBP mempunyai kepakaran untuk melaksanakan penggunaan
Bahasa Melayu dalam semua aspek, Mohd Puad berkata DBP mempunyai satu unit yang
sentiasa membuat teguran dalam memastikan tahap dan mutu penggunaan Bahasa Melayu
yang betul dan tepat oleh semua pihak.
Katanya, sehingga kini lebih sejuta istilah dalam kira-kira
60 bidang ilmu dalam 289 judul daftar istilah, glosari dan kamus dihasilkan
oleh DBP sejak penggubalan istilah dibuat pada tahun 1956.
Justeru, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa mata
pelajaran Sains dan Matematik tidak boleh diajar dalam Bahasa Melayu.
"Saya yakin Bahasa Melayu boleh jadi bukan sahaja
bahasa ilmu, tetapi bahasa perpaduan. Bahasa Melayu yang moden ini mampu
bersaing dan tanggungjawab kita untuk pertahankannya agar tidak hilang di
dunia," katanya.
Menjawab soalan asal Salleh Kalbi (BN-Silam) mengenai
penggunaan istilah bahasa asing dalam bahasa Melayu yang dilihat semakin berleluasa, Mohd
Puad menjelaskan bahawa perkataan yang berasal daripada bahasa asing tetapi
disesuaikan bentuk dan ejaan sebenarnya telah menjadi kata bahasa Melayu bukan
lagi bahasa asing.
"Pengambilan istilah dari bahasa asing boleh dibuat
jika sudah tiada lagi sumber dalam Bahasa Melayu baku, dialek atau bahasa
serumpun," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan