Ditimpa penyakit rasa bagus
Oleh Ruhaiza Rusmin (ruhaizarusmin@hmetro.com.my)
KISAH mahasiswa Melayu yang sering dikategori kelas kedua bukan isu baru
malah menimbulkan pelbagai polemik di kalangan masyarakat.
Malah, senarai panjang mahasiswa Melayu yang hanya mampu mendapat
keputusan sederhana menyebabkan masyarakat tiada pilihan selain memberi
tanggapan serupa.
Mendominasi sebahagian besar tempat di menara gading, kecemerlangan
mahasiswa Melayu masih boleh dibilang jari hingga menimbulkan persoalan,
mengapa mereka sukar mencipta kejayaan membanggakan?
Apa bezanya antara mahasiswa Melayu dan bangsa asing, sedangkan mereka
belajar di kampus yang sama?
Pengarah Pusat Akreditasi Pembelajaran Universiti Kebangsaan Malaysia,
Prof Madya Dr Khaidzir Ismail, berkata soal tidak pandai bukan pokok persoalan
namun bagaimana mentransformasikan minda mereka supaya keluar dari zon selesa.
Beliau berkata, pengukuhan terhadap zon itu menyebabkan minda mahasiswa
Melayu tidak mampu menjana informasi lain menyebabkan mereka mudah tergelincir
daripada matlamat asal di menara gading.
“Sebahagian besar mahasiswa kita berada dalam zon selesa. Mereka kumpulan
majoriti yang menjadikan menara gading sebagai transit ilmu yang penuh
kebebasan.
“Pentafsiran salah akhirnya akan memakan diri kerana kebebasan itu diolah
dengan cara dan makna tidak tepat.
“Sepatutnya, menara gading tempat cabaran sebenar dan bakal menentukan
mereka menjadi manusia berguna atau tidak,” katanya.
Sangat klise mengaitkan pencapaian mahasiswa Melayu di institusi
pengajian tinggi negara namun itulah terpaksa ditelan apabila keputusan
peperiksaan sebahagian besarnya hanya bertahap sederhana atau cukup makan.
Keputusan itu cukup mendukacitakan selain tidak setimpal keputusan
cemerlang diperoleh dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Masyarakat akan mempertikaikan adakah universiti memang membuat pilihan
calon yang betul mengikut kriteria?
“Mereka layakkah? Kalau ya, mengapa hasilnya menghampakan?” soalnya.
Enggan menafikan, beliau berkata kebanyakan mahasiswa Melayu mudah
terleka dengan sogokan janji manis hingga mereka tersungkur.
“Pendirian mereka rapuh. Awalnya memang berkobar-kobar dan berjanji
belajar bersungguh-sungguh.
“Namun, apabila khayal dengan sogokan tertentu, janji yang dipahat dulu
hilang sekelip mata. Mahasiswa hari ini tampak cukup hebat fizikalnya namun
rapuh dalaman menyebabkan mereka mudah ‘tumbang,” katanya.
Mereka pandai namun menyalurkan kepandaian itu pada tempat tidak
sepatutnya.
“Definisi pandai sangat subjektif. Memperoleh keputusan semua A, memang
bijak tapi adakah mereka juga pandai membawa diri?
“Pandaikah mereka bergaul dengan rakan lain, membahagikan masa atau
menepis godaan yang datang?
“Minta maaf kerana pemerhatian saya mendapati kebanyakan kepandaian
mereka disalurkan pada kegiatan kurang berfaedah,” katanya.
Katanya, mahasiswa Melayu perlu disedarkan bahawa tiada lagi jaminan
menanti jika hanya mampu memperoleh keputusan sederhana.
“Dulu mungkin boleh tetapi kini keadaan sudah berubah. Masing-masing
berusaha ‘memintas’ antara satu sama lain menjadikan peluang semakin mengecil.
“Tidak boleh lagi berangan-angan dan bersikap tunggu dan lihat. Alasan
tertentu bagi menyedapkan hati juga sudah tidak berguna kerana yang penting
bangkit mengejar peluang.
“Malangnya, sebahagian besar mereka masih terlena dan berpegang pada
kepercayaan, mahasiswa Melayu ada jaminan dan keistimewaan. Ini silap,”
katanya.
Beliau berharap mahasiswa mengikis sikap tinggi diri yang menjulang hanya
kerana kejayaan pencapaian sebelumnya.
“Bukan menuduh tapi kebanyakan mahasiswa kita selalu ‘ditimpa’ penyakit
perasaan bagus dan bangga diri hanya kerana diterima masuk universiti.
“Di universiti, mereka belajar secara tidak konsisten, pasif, malu
bertanya, melaksanakan tugasan di saat akhir serta sentiasa mengharapkan
bantuan pensyarah.
“Asalkan mampu menamatkan pengajian, itu sudah memadai. Budaya yang perlu
dikikis daripada minda mahasiswa Melayu,” katanya.
Begitupun, beliau tetap optimis, mahasiswa Melayu boleh cemerlang sekali
gus menutup mulut masyarakat yang memperlekehkan pencapaian mereka,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan