Oleh Fauziah Arof
TIDUR bola, makan bola, mandi bola, apa pun bola. Bermulanya
Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 pada Sabtu lalu, juga menandakan
bermulanya demam bola kepada jutaan peminat sukan berkenaan di seluruh negara.
Pada ketika ini, sembang dan cakap-cakap mengenai bola boleh
didengar dan dibaca di mana-mana saja. Tidak cukup di tempat kerja, di
kedai-kedai kopi, malah di laman- laman sosial seperti Facebook dan Twitter.
Euro 2012 meredakan dan menenggelamkan sedikit cerita-cerita
dan ‘perang komen’ mengenai isu-isu politik tanah air di laman-laman sosial.
Kini mereka bertindak sebagai pengulas sukan pula.
Jika sebelum ini mereka asyik mengutuk atau mengata parti
politik itu atau ini semuanya tidak betul, tidak habis-habis temberang atau
auta, kini mereka bersatu menyokong pasukan bola sepak pujaan mereka.
Begitulah bola sepak yang merupakan sukan nombor satu di
kebanyakan negara di dunia, dapat menyatukan semua rakyat, tidak mengira
bangsa, kaum, agama dan fahaman politik. Semangat seperti ini memang amat baik
sekali. Dan kalaulah ia dapat dikekalkan dalam apa jua keadaan, alangkah baik
dan amannya Malaysia ini.
Sudah pastinya dalam tempoh hampir tiga minggu inilah
‘kaki-kaki bola’ ini akan bersengkang mata untuk menyaksikan perlawanan pasukan
pilihan mereka yang kebanyakannya berlangsung pada awal pagi. Restoran-restoran
mamak pula sesak yang luar biasa, memang meriah sungguh.
Pun begitu dalam suasana full
house itu hakikatnya, tauke-tauke restoran mamak ini tidaklah seuntung
mana. Restoran memang penuh, yang tak penuh adalah peti duitnya.
‘‘Mana ada untung, tak adalah. Duduk lama, berjam-jam tapi
minum satu atau dua gelas air sahaja, pelanggan lain yang mahu makan pun tak
ada tempat duduk, lari tempat lain," itu kata seorang pekerja di Restoran
Pelita, Seksyen 9, Shah Alam kepada saya semasa saya menonton perlawanan
pembukaan Euro 2012 antara Poland dan Greece bersama beberapa orang kawan di
situ.
Berbalik kepada bersengkang mata menonton perlawanan bola
sepak, sudah tentunya pada sebelah siangnya kaki-kaki bola ini merasa mengantuk
dan letih. Tumpuan terhadap kerja atau urusan-urusan penting yang lainnya boleh
terganggu.
Kita sudah biasa mendengar apabila tiba sahaja demam bola,
tidak kira Piala Dunia atau kejohanan liga Inggeris, ramai yang ponteng bekerja
dengan mengambil sijil sakit (MC) atau saja ‘mereka-reka’ cerita cemas untuk
mendapatkan cuti kecemasan. Datang ke pejabat pun dengan muka yang layu dan
mata yang kuyu. Tidak kurang juga yang hilang, tidur di mana-mana. Ini sudah
tentu menjejaskan produktiviti kerja.
Jadi tidak hairanlah apabila Persekutuan Majikan Malaysia
(MEF) baru-baru ini mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan kejatuhan
produktiviti pekerja sepanjang kejohanan Euro 2012 ini.
Berdasarkan siri-siri demam bola yang lalu, majikan perlu
bersedia untuk menghadapi dan menangani masalah ponteng kerja atau cuti sakit
pada tempoh kejohanan sukan yang berprestij ini.
Penyakit ponteng ini juga tidak terkecuali kepada
pelajar-pelajar sekolah menengah dan institut pengajian tinggi. Golongan ini
juga, liat untuk ke kelas dengan mencipta macam- macam alasan setelah berjaga
sampai ke pagi menonton bola.
Jadi kepada pelajar sekolah, menjadi tanggungjawab ibu bapa
masing-masing untuk memastikan anak mereka ke sekolah terutamanya yang bakal
menghadapi peperiksaan utama iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) yang hanya tinggal beberapa bulan lagi, supaya mereka
tidak ketinggalan pelajaran yang diajar di kelas.
Yang tidak sedapnya, apabila tiba musim bola, timbul semula
aktiviti perjudian secara online.
Polis memberitahu, biarpun pernah ditangkap dan dikenakan
tindakan tegas kerana mendalangi sindiket perjudian bola sepak semasa kejohanan
Piala Dunia dua tahun lalu, namun ramai bookie yang sama tidak serik untuk
menjadi penaja aktiviti haram itu pada Euro 2012.
Bukan setakat judi besar-besaran, ada juga yang bertaruh
sesama rakan-rakan di tempat kerja dalam perlawanan kejohanan ini. Ini kerja
salah. Bukan sahaja salah di sisi undang-undang tetapi agama.
Jadi kepada peminat-peminat bola sepak, bola, bola juga!
Kerja tetap kerja. Dan jangan menjadikan kejohanan Euro ini, kononnya untuk
mendapat duit lebih, tapi akhirnya kocek hanya tinggal habuk, dek kerana kalah
berjudi.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan