Masalah awal sesuai diri
KADANG kala pilihan dibuat pelajar untuk melanjutkan
pengajian jauh melencong dari tanggapan awal menyebabkan kegusaran ibu bapa.
Sementelah lagi, pilihan itu menjurus kepada pengajian lebih
didominasi pelajar berlawanan gender yang lebih sesuai mengikutinya.
Pilihan pengajian berlawanan arus normal itu juga seperti
isyarat mereka hanya memperjudikan masa depan memegang gelaran mahasiswa
minoriti.
Persoalannya, benarkah gender menjadi isu utama perlu
dipertimbangkan sebelum meneruskan langkah seterusnya? Atau adakah ia tidak
memberi apa-apa kesan?
Fellow Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Sharifah Meriam Syed Akil
berkata, gender bukan penanda aras kemampuan mahasiswa dalam pengajian diikuti.
Sebaliknya, kelompok itu dikategorikan istimewa kerana
mempunyai visi tersendiri merencanakan masa depan dengan mengetepikan isu
gender bagi mengikuti program didominasi mahasiswa majoriti.
“Isu gender dalam program tertentu bukan perkara baru
sebaliknya sudah lama. Bagaimanapun saya percaya ia bukan lagi isu kerana dunia
pendidikan sudah berubah.
“Konsep dunia pendidikan moden memberi dan membuka
seluas-luasnya peluang kepada sesiapa saja mengikuti pengajian bersesuaian
minat, cita-cita dan perancangan.
“Malah, kelompok ini mengagumkan kerana ada keberanian
memilih program menentang arus gender mereka. Berada dalam kelompok minoriti
bukan masalah besar,” katanya.
Masyarakat era lama pasti menggeleng kepala jika ada di
kalangan mahasiswa lelaki mengambil kursus bersifat feminin seperti chef atau
kesetiausahaan manakala perempuan memilih pengajian kejuruteraan, automotif dan
juruterbang.
Ia seperti menghilangkan jati diri serta menjatuhkan taraf
biarpun pengajian diikuti menawarkan prospek kerjaya lebih luas.
Bagaimanapun, perubahan masa menyebabkan isu gender dianggap
sebagai alasan terakhir dalam pemilihan kursus kini.
Apatah lagi sistem pendidikan negara memberi peluang sama
rata kepada sesiapa saja.
Akuinya, mahasiswa negara ini bertuah kerana gender bukan
isu utama berbanding negara luar.
“Ini menjadikan mereka tiada peluang meneroka aspek yang
didominasi gender tertentu.
“Pembabitan mahasiswa tidak lagi menjadi buah mulut orang seperti
dulu. Ini satu transformasi pendidikan yang sangat nyata terutama menyediakan
aliran pekerja boleh menerokai pelbagai cabang kerjaya,” katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui mahasiswa minoriti perlu
mempunyai kekuatan diri maksimum bagi membuktikan kebolehan masing-masing.
Menurutnya, ini bertujuan mengelak mereka mudah
diperlekehkan atau patah semangat di peringkat awal pengajian.
“Mahasiswa minoriti tidak dapat lari daripada tekanan,
kebolehan sering dipertikaikan malah perlu kuat mempertahan emosi sepanjang
pengajian.
“Dalam kursus didominasi lelaki misalnya, kudrat perempuan
pasti terbatas secara fizikal biarpun bukan sepenuhnya. Tapi mereka tetap boleh
setanding dalam aspek lain seperti akademik.
“Begitu juga sebaliknya, masing-masing ada keistimewaan dan
kelemahan namun bila digabungkan dalam senario tertentu, ia akan mencetuskan
hasil menakjubkan,” katanya.
Kursus seperti chef membuktikan lelaki boleh mendominasi
peluang pekerjaan yang dulunya dilakukan wanita di dapur.
“Sekarang chef terbaik di dunia adalah lelaki. Ironinya,
konsep pendidikan bukan hanya tertumpu pada keutamaan gender tapi semangat
untuk berjaya,” katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui mahasiswa lelaki mengambil masa
menyesuaikan diri untuk mengikuti pengajian berbanding perempuan.
Menurutnya, psikologi lelaki yang lebih praktikal menjadikan
mereka sukar menyesuaikan diri dalam kelompok berlainan gender pada peringkat
awal.
“Berdasarkan pengalaman, mahasiswa lelaki biarpun tidak
bermasalah mengikuti program namun ada kesulitan menyesuaikan diri dalam aspek
pergaulan.
“Berbanding perempuan, mereka mampu menyesuaikan diri dalam
tempoh singkat. Bagaimanapun, situasi itu bukan mempengaruhi kemampuan
masing-masing malah pada satu tahap, kemampuan mereka akan seiring.
“Lebih utama ialah belajar kemudian cipta kejayaan. Itu
lebih utama,” katanya.
Beliau turut menafikan gaya maskulin atau feminin pelajar
akan tercalar apabila mengikuti jurusan berlainan gender.
“Saya tidak bersetuju apabila masyarakat mengatakan ia
penyebab mahasiswa berubah perwatakan. Semua bergantung pada pembawaan dan
prinsip diri masing-masing.
“Mereka tidak kelihatan canggung sebaliknya dapat belajar
dengan baik. Pada saya, ia bukan satu masalah.
“Yang penting bagaimana kita mahu memberi dorongan kepada
mereka untuk terus belajar dan menamatkan pengajian. Tidak perlu persoalkan
perkara remeh-temeh,” tegasnya.
Sumber : http :
//www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan