OLEH : SYAHREDZAN JOHAN
Baru-baru ini, warga Internet di Malaysia ‘memberontak’ akibat pindaan atas Akta Keterangan 1950. Pindaan ini diluluskan Dewan Rakyat pada April dan
Dewan Negara pada awal Mei lalu, tetapi belum berkuatkuasakan lagi. Warga Internet marah kerana pada mereka pindaan ini
adalah suatu serangan atas kebebasan mereka di ruang siber.
Di sini terdapat sedikit kekeliruan mengenai apa sebenarnya yang
diperkenalkan pindaan ini. Harus diingat, ia tidak mewujudkan apa-apa kesalahan
baru. Pindaan itu adalah meminda peraturan keterangan dan pembuktian (rules of
evidence).
Akta Keterangan memperuntukkan peraturan dalam memberi keterangan dan juga
pembuktian ketika perbicaraan, tidak kira sivil ataupun jenayah. Secara
umumnya, pihak yang mengatakan kewujudan sesuatu fakta itu harus membuktikan fakta yang dikatakan wujud.
Namun, terdapat beberapa tanggapan atau dalam BI, presumptions yang
boleh diguna pakai. Tanggapan dalam keterangan adalah peraturan undang-undang
yang mana pembuktian sesuatu fakta (dikenali sebagai fakta asas), fakta berkait dianggap telah dibuktikan. Contohnya,
Mahkamah boleh menganggap keesahan sesuatu Warta Kerajaan. Ataupun menganggap
sesuatu tindakan kehakiman (judicial act) adalah teratur dan tidak perlu
dibuktikan bahawa tindakan tersebut sememangnya
mengikut prosedur.
Peruntukan tanggapan boleh disangkal dengan bukti sebaliknya. Pindaan yang
dibuat mewujudkan tiga peruntukan tanggapan baru.
Pertama, dalam sebuah penyiaran, jika
ada tertera nama atau gambar yang menggambarkan seseorang itu sebagai pemilik,
hos, pentadbir atau penyunting penyiaran tersebut, maka orang itu dianggap
sebagai orang yang membuat penyiaran tersebut.
Kedua, jika terdapat penyiaran yang dibuat daripada sesuatu
perkhidmatan rangkaian Internet, orang
yang melanggan perkhidmatan itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran.
Ketiga, jika terdapat penyiaran yang dibuat daripada sesuatu komputer yang dimiliki atau dijaga oleh
seseorang, orang itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran.
Contohnya, jika terdapat sesuatu posting di laman Facebook yang dikatakan
menghasut dan ianya dibuat atas nama seseorang
itu, ataupun menggunakan rangkaian yang dilanggan olehnya ataupun menggunakan
komputernya, maka orang itu dianggap sebagai pembuat posting tersebut.
Orang yang dituduh itu boleh menyangkal tanggapan itu, tetapi kini beban
pembuktian bertukar kepada yang dituduh
untuk membuktikan sebaliknya. Walaupun pindaan ini akan berkuat kuasa ke atas
perbicaraan sivil dan jenayah, mengikut hansard persidangan di Dewan Rakyat,
tujuan utama ia diperkenalkan adalah untuk mempermudah pendakwaan di dalam kes
jenayah. Menurut hansard, ia untuk meringankan beban pembuktian pihak
pendakwaan oleh kerana ia kesukaran dalam pembuktian untuk kes melibatkan Internet.
Ini bukan sesuatu alasan yang boleh kita terima. Menggunakan metafora
perlawanan bola sepak, pindaan ini menukar peraturan kerana satu pasukan sukar
menjaringkan gol. Pindaan ini akan lebih membawa keburukan daripada kebaikan. Ambil contoh mudah;
katakan anda lupa logout akaun Twitter yang anda guna di komputer
pejabat. Kemudiannya, orang lain menggunakan akaun anda untuk berkicau
sesuatu yang berunsur fitnah.
Bolehkah anda kemukakan bukti bahawa
pada ketika itu, anda tidak menggunakan internet dan tidak mungkin membuat
kicauan tersebut? Bolehkah anda ingat dengan terperinci bila anda menggunakan Internet untuk menyangkal
tanggapan itu? Sukar sekali. Pihak
pendakwaan mempunyai kekuatan jentera
kerja untuk membantu mereka.
Siasatan boleh dijalankan sehinggakan butiran terperinci mana-mana pengguna
Internet. Tertuduh pula hanya mempunyai
undang-undang keterangan dan
pembuktian, yang diperincikan melalui tradisi undang-undang sekian lama bagi melindungi haknya untuk
dibicarakan dengan adil. Malangnya, pindaan ini akan melucutkan perlindungan
ini atas alasan kesukaran mendakwa.
Penulis ialah seorang peguam muda mengamalkan undang-undang sebagai
rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan