Isnin, 4 Jun 2012

ISU SAINS & TEKNOLOGI : Ambil perhatian pengguna Internet!



OLEH : SYAHREDZAN JOHAN

Baru-baru ini, warga Internet di Malaysia ‘memberontak’ akibat pindaan atas Akta Keterangan 1950. Pindaan ini diluluskan Dewan Rakyat pada April dan Dewan Negara pada awal Mei lalu, tetapi belum berkuatkuasakan lagi. Warga  Internet marah kerana pada mereka pindaan ini adalah suatu serangan atas kebebasan mereka di ruang siber.

Di sini terdapat sedikit kekeliruan mengenai apa sebenarnya yang diperkenalkan pindaan ini. Harus diingat, ia tidak mewujudkan apa-apa kesalahan baru. Pindaan itu adalah meminda peraturan keterangan dan pembuktian (rules of evidence).

Akta Keterangan memperuntukkan peraturan dalam memberi keterangan dan juga pembuktian ketika perbicaraan, tidak kira sivil ataupun jenayah. Secara umumnya, pihak yang mengatakan kewujudan sesuatu fakta itu harus  membuktikan fakta yang dikatakan wujud.

Namun, terdapat beberapa tanggapan atau dalam BI, presumptions yang boleh diguna pakai. Tanggapan dalam keterangan adalah peraturan undang-undang yang mana pembuktian sesuatu fakta (dikenali sebagai fakta asas), fakta  berkait dianggap telah dibuktikan. Contohnya, Mahkamah boleh menganggap keesahan sesuatu Warta Kerajaan. Ataupun menganggap sesuatu tindakan kehakiman (judicial act) adalah teratur dan tidak perlu dibuktikan bahawa  tindakan tersebut sememangnya mengikut prosedur.

Peruntukan tanggapan boleh disangkal dengan bukti sebaliknya. Pindaan yang dibuat mewujudkan tiga peruntukan tanggapan baru.

Pertama, dalam sebuah penyiaran, jika ada tertera nama atau gambar yang menggambarkan seseorang itu sebagai pemilik, hos, pentadbir atau penyunting penyiaran tersebut, maka orang itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran tersebut.

Kedua, jika  terdapat  penyiaran yang dibuat daripada sesuatu perkhidmatan  rangkaian Internet, orang yang melanggan perkhidmatan itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran.

Ketiga, jika terdapat penyiaran yang dibuat daripada sesuatu  komputer yang dimiliki atau dijaga oleh seseorang, orang itu dianggap sebagai orang yang membuat penyiaran.

Contohnya, jika terdapat sesuatu posting di laman Facebook yang dikatakan menghasut dan ianya dibuat atas nama   seseorang itu, ataupun menggunakan rangkaian yang dilanggan olehnya ataupun menggunakan komputernya, maka orang itu dianggap sebagai pembuat posting tersebut.

Orang yang dituduh itu boleh menyangkal tanggapan itu, tetapi kini beban pembuktian bertukar  kepada yang dituduh untuk membuktikan sebaliknya. Walaupun pindaan ini akan berkuat kuasa ke atas perbicaraan sivil dan jenayah, mengikut hansard persidangan di Dewan Rakyat, tujuan utama ia diperkenalkan adalah untuk mempermudah pendakwaan di dalam kes jenayah. Menurut hansard, ia untuk meringankan beban pembuktian pihak pendakwaan oleh kerana ia kesukaran dalam pembuktian  untuk kes melibatkan  Internet.

Ini bukan sesuatu alasan yang boleh kita terima. Menggunakan metafora perlawanan bola sepak, pindaan ini menukar peraturan kerana satu pasukan sukar menjaringkan gol. Pindaan ini akan lebih membawa keburukan  daripada kebaikan. Ambil contoh mudah; katakan anda lupa logout akaun Twitter yang anda guna di komputer pejabat. Kemudiannya, orang lain menggunakan akaun anda untuk berkicau sesuatu  yang berunsur fitnah.

Bolehkah anda  kemukakan bukti bahawa pada ketika itu, anda tidak menggunakan internet dan tidak mungkin membuat kicauan tersebut? Bolehkah anda ingat dengan terperinci bila anda  menggunakan Internet untuk menyangkal tanggapan itu?  Sukar sekali. Pihak pendakwaan mempunyai kekuatan jentera  kerja untuk membantu mereka.

Siasatan boleh dijalankan sehinggakan butiran terperinci mana-mana pengguna Internet. Tertuduh pula hanya mempunyai  undang-undang  keterangan dan pembuktian, yang diperincikan melalui tradisi undang-undang  sekian lama bagi melindungi haknya untuk dibicarakan dengan adil. Malangnya, pindaan ini akan melucutkan perlindungan ini atas alasan  kesukaran mendakwa.

Penulis ialah seorang peguam muda mengamalkan undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan