Zulkofli Jamaludin di Makkah
bhnews@bharian.com.my
MAKKAH : Sidang Kemuncak
Luar Biasa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang berakhir awal pagi 27
Ramadan, semalam, mengambil dua ketetapan tegas terhadap Syria.
Syria digantung daripada OIC
berkuat kuasa semalam diarah menghentikan serta-merta sebarang tindakan yang
mengakibatkan kematian orang awam dan proses perundingan membabitkan semua
kelompok diadakan melalui negara berjiran dengan Syria untuk mencari
penyelesaian jangka panjang.
Datuk Seri Najib Razak berkata,
ketetapan itu dibuat selepas OIC mengambil kira keadaan yang membimbangkan di
Syria khususnya kematian ribuan penduduk, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Simbolik mesej jelas
Dalam ucapan pada sidang kemuncak
itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia menyokong keputusan menggantung keanggotaan
Syria sebagai simbolik untuk memberikan mesej jelas kepada Syria mengenai
perlunya mengambil langkah untuk menghentikan pertumpahan darah dan
menyelesaikan secara aman krisis itu demi rakyatnya.
Najib berkata, persidangan yang
diadakan pada 26 dan 27 Ramadan, iaitu tarikh signifikan dalam Islam diharap
dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi negara dan umat Islam.
“Fadilat dan kelebihan malam 27
Ramadan sungguh besar. Ia menimbulkan keinsafan dan kesedaran bahawa kita
membuat keputusan penting di Makkah Al Mukkaramah ini.
“Keputusan ini seharusnya
menyedarkan kita betapa besarnya amanah yang dipikul untuk Islam dan
kepentingan ummah,” katanya pada sidang media selepas persidangan itu di Istana
As Safa di sini, berakhir pada jam 2 pagi waktu tempatan (7 pagi Malaysia).
Perdana Menteri dan isteri, Datin
Seri Rosmah Mansor kemudian berlepas pulang selepas mencium Hajarul Aswad,
menunaikan solat sunat di Hijr Ismail dan menunaikan solat Subuh di Masjidil
Haram.
Tindakan Israel dikecam
Pada persidangan itu, OIC turut
mengecam hebat tindakan Israel mengembangkan penempatan di Baitulmaqdis dan
pencerobohan Masjid Al-Aqsa.
“OIC bersetuju untuk berusaha
supaya Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB), September depan, menerima
Palestin sebagai anggota PBB,” katanya sambil menambah ramai pemimpin
melahirkan kekecewaan kerana masalah Palestin masih belum dapat diselesaikan.
Perdana Menteri berkata,
persidangan juga menyokong cadangan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz
Al Saud agar diwujudkan sebuah Pusat Dialog Islam bagi membincang isu berkaitan
fahaman mazhab.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan