Khamis, 16 Ogos 2012

ISU SUKAN : Legenda badminton negara meninggal dunia



KUALA LUMPUR - Dunia badminton negara dikejutkan dengan kematian Datuk Punch Gunalan yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya akibat penyakit barah hati semalam.

Legenda badminton Malaysia itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.20 pagi ketika usianya menjengah 68 tahun selepas terlantar sakit sejak dua minggu lepas.

Mendiang yang berasal dari Sepang, meninggalkan seorang balu, P. Vijeyakumari, 64, dan seorang anak lelaki, Roshan Gunalan, 36, seorang doktor ortopedik.

Jenazah mendiang dibawa ke kediamannya di No. 9, Jalan 12/14B, Petaling Jaya untuk penghormatan terakhir mulai pukul 1 tengah hari semalam sebelum disemadikan di Pusat Crematorium Kampung Tunku, Petaling Jaya pada 4 petang hari ini.

Umum mengetahui bahawa bintang tangan kanan itu adalah pemain badminton paling berbakat dalam acara perseorangan dan beregu apabila mengharumkan nama negara dengan meraih beberapa kejayaan antarabangsa.

Sejak memulakan kariernya pada awal 1960-an dengan muncul juara Kejohanan Badminton Negeri Sembilan dalam acara perseorangan, beregu lelaki dan beregu campuran, Punch tidak lagi menoleh ke belakang.


Bersama pasangannya, Ng Boon Bee yang juga legenda badminton negara, mereka berjaya memenangi emas pertama Sukan Komanwel Edinburgh, Scotland pada 1970. Pada tahun yang sama juga pasangan ini meraih pingat emas Sukan Asia di Bangkok, Thailand dalam acara beregu.

Punch juga berjaya menambah koleksi emas dalam temasya tersebut selepas memenangi acara perseorangan. Gandingannya bersama Boon Bee terus digeruni dan mereka berjaya menjulang trofi berprestij, All England 1971.

Mendiang mengukuhkan reputasinya dalam acara perseorangan selepas mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki Sukan Komanwel di Christchurch, New Zealand begitu juga acara beregu lelaki bersama Boon Bee.

Selain digeruni di peringkat Komanwel dan Asia, Punch juga berjaya mengharumkan nama negara di Sukan SEA apabila memenangi emas acara perseorangan dan beregu di temasya tersebut pada 1973 di Singapura.

Hasrat Punch untuk mencipta nama dan meraih kejayaan lebih besar iaitu dalam kejohanan badminton paling terulung, Piala Thomas tidak kesampaian ketika dia menyertai skuad negara pada 1970 dan 1973.

Bagaimanapun Olahragawan Negara 1969 dan 1974 itu berjaya merealisasikan hasratnya memenangi Piala Thomas, bukan sebagai pemain tetapi jurulatih dengan mencipta sejarah badminton negara meraih trofi kebanggaan itu pada 1992.

Sentuhan ajaib Punch ke atas beberapa pemain badminton negara ketika itu seperti Rashid Sidek, Razif Sidek dan Foo Kok Keong membolehkan Malaysia muncul juara menewaskan seteru, Indonesia di Stadium Negara.

Selain diingati sebagai pemain dan jurulatih hebat, Punch juga seorang disegani serta bercita-cita tinggi.

Ketika menjadi Timbalan Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF) beliau telah memperkenalkan beberapa pembaharuan besar, termasuk menukar nama badan itu daripada Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF).

Mendiang, yang memegang jawatan dalam BWF sejak 2004 hingga 2008, termasuk pernah bergelar setiausaha sentiasa menampilkan idea-idea berani yang tidak pernah di fikiran orang lain selama ini.

Punch adalah individu yang bertanggungjawab menukar sistem kiraan mata daripada 15 kepada 21 untuk menjadikan sukan tersebut lebih menarik.

Beliau juga bekerja keras mencari penajaan untuk memperkenalkan kejohanan Siri Super bagi menmbolehkan pemain badminton menikmati pendapatan serta kehidupan lebih baik.

Dengan harapan badminton akan menjadi sukan pilihan untuk dijadikan karier, Siri Super yang diperkenalkan menawarkan ganjaran besar buat setiap pemain profesional.

Kejohanan tersebut juga bukan semata-mata untuk pemain mengejar wang dan menjadi orang kaya tetapi dalam masa yang sama medan persediaan buat pemain mencari rentak sebelum ke kejohanan utama seperti Piala Thomas, Kejohanan Badminton Dunia dan Sukan Olimpik.

Karier 16 tahun tokoh sukan Malaysia itu bersama BWF bagaimanapun berakhir pada Mei, 2008 selepas beliau meletak jawatan rentetan daripada beberapa usul undi tidak percaya daripada majlis.

Jawatan lain yang pernah disandang mendiang ialah Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari 1985 sehingga 1997. Jawatan terakhirnya dalam badan sukan badminton Malaysia pula itu ialah sebagai Timbalan Presiden pada 2005.

Punch juga pernah diberi pengiktirafan mewakili Malaysia menerima baton Sukan Komanwel dari Ratu Elizabeth di Istana Buckingham, London pada 1998.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata, Punch banyak menyumbang kepada negara bukan sahaja sebagai atlet tetapi juga dalam bidang kejurulatihan dan khidmat sebagai pegawai sukan tertinggi dalam badan sukan seperti BWF.

"Malaysia kehilangan bakat yang besar dengan kematian Punch itu kerana beliau telah banyak mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

"Saya secara peribadi mengenali beliau sebagai seorang yang banyak mengajar dan membantu dalam pembangunan arena badminton negara," katanya.

Menurut Eksekutif Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb), Muhammad Aiman Aminul Abdullah, yayasan berkenaan akan menyampaikan sumbangan RM11,000 kepada keluarga mendiang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan