KUALA LUMPUR - Dunia
badminton negara dikejutkan dengan kematian Datuk Punch Gunalan yang
menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya akibat
penyakit barah hati semalam.
Legenda badminton Malaysia itu
menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.20 pagi ketika usianya menjengah 68
tahun selepas terlantar sakit sejak dua minggu lepas.
Mendiang yang berasal dari
Sepang, meninggalkan seorang balu, P. Vijeyakumari, 64, dan seorang anak
lelaki, Roshan Gunalan, 36, seorang doktor ortopedik.
Jenazah mendiang dibawa ke
kediamannya di No. 9, Jalan 12/14B, Petaling Jaya untuk penghormatan terakhir
mulai pukul 1 tengah hari semalam sebelum disemadikan di Pusat Crematorium Kampung
Tunku, Petaling Jaya pada 4 petang hari ini.
Umum mengetahui bahawa bintang
tangan kanan itu adalah pemain badminton paling berbakat dalam acara
perseorangan dan beregu apabila mengharumkan nama negara dengan meraih beberapa
kejayaan antarabangsa.
Sejak memulakan kariernya pada awal
1960-an dengan muncul juara Kejohanan Badminton Negeri Sembilan dalam acara
perseorangan, beregu lelaki dan beregu campuran, Punch tidak lagi menoleh ke
belakang.
Bersama pasangannya, Ng Boon Bee
yang juga legenda badminton negara, mereka berjaya memenangi emas pertama Sukan
Komanwel Edinburgh, Scotland pada 1970. Pada tahun yang sama juga pasangan ini
meraih pingat emas Sukan Asia di Bangkok, Thailand dalam acara beregu.
Punch juga berjaya menambah
koleksi emas dalam temasya tersebut selepas memenangi acara perseorangan.
Gandingannya bersama Boon Bee terus digeruni dan mereka berjaya menjulang trofi
berprestij, All England 1971.
Mendiang mengukuhkan reputasinya
dalam acara perseorangan selepas mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki
Sukan Komanwel di Christchurch, New Zealand begitu juga acara beregu lelaki
bersama Boon Bee.
Selain digeruni di peringkat
Komanwel dan Asia, Punch juga berjaya mengharumkan nama negara di Sukan SEA
apabila memenangi emas acara perseorangan dan beregu di temasya tersebut pada 1973
di Singapura.
Hasrat Punch untuk mencipta nama
dan meraih kejayaan lebih besar iaitu dalam kejohanan badminton paling
terulung, Piala Thomas tidak kesampaian ketika dia menyertai skuad negara pada
1970 dan 1973.
Bagaimanapun Olahragawan Negara
1969 dan 1974 itu berjaya merealisasikan hasratnya memenangi Piala Thomas,
bukan sebagai pemain tetapi jurulatih dengan mencipta sejarah badminton negara
meraih trofi kebanggaan itu pada 1992.
Sentuhan ajaib Punch ke atas beberapa
pemain badminton negara ketika itu seperti Rashid Sidek, Razif Sidek dan Foo
Kok Keong membolehkan Malaysia muncul juara menewaskan seteru, Indonesia di
Stadium Negara.
Selain diingati sebagai pemain
dan jurulatih hebat, Punch juga seorang disegani serta bercita-cita tinggi.
Ketika menjadi Timbalan Presiden
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) beliau telah memperkenalkan beberapa
pembaharuan besar, termasuk menukar nama badan itu daripada Persekutuan
Badminton Antarabangsa (IBF).
Mendiang, yang memegang jawatan
dalam BWF sejak 2004 hingga 2008, termasuk pernah bergelar setiausaha sentiasa
menampilkan idea-idea berani yang tidak pernah di fikiran orang lain selama
ini.
Punch adalah individu yang
bertanggungjawab menukar sistem kiraan mata daripada 15 kepada 21 untuk
menjadikan sukan tersebut lebih menarik.
Beliau juga bekerja keras mencari
penajaan untuk memperkenalkan kejohanan Siri Super bagi menmbolehkan pemain
badminton menikmati pendapatan serta kehidupan lebih baik.
Dengan harapan badminton akan
menjadi sukan pilihan untuk dijadikan karier, Siri Super yang diperkenalkan
menawarkan ganjaran besar buat setiap pemain profesional.
Kejohanan tersebut juga bukan
semata-mata untuk pemain mengejar wang dan menjadi orang kaya tetapi dalam masa
yang sama medan persediaan buat pemain mencari rentak sebelum ke kejohanan
utama seperti Piala Thomas, Kejohanan Badminton Dunia dan Sukan Olimpik.
Karier 16 tahun tokoh sukan
Malaysia itu bersama BWF bagaimanapun berakhir pada Mei, 2008 selepas beliau
meletak jawatan rentetan daripada beberapa usul undi tidak percaya daripada
majlis.
Jawatan lain yang pernah
disandang mendiang ialah Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
dari 1985 sehingga 1997. Jawatan terakhirnya dalam badan sukan badminton Malaysia
pula itu ialah sebagai Timbalan Presiden pada 2005.
Punch juga pernah diberi
pengiktirafan mewakili Malaysia menerima baton Sukan Komanwel dari Ratu
Elizabeth di Istana Buckingham, London pada 1998.
Ketua Pengarah Majlis Sukan
Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata, Punch banyak menyumbang kepada
negara bukan sahaja sebagai atlet tetapi juga dalam bidang kejurulatihan dan
khidmat sebagai pegawai sukan tertinggi dalam badan sukan seperti BWF.
"Malaysia kehilangan bakat
yang besar dengan kematian Punch itu kerana beliau telah banyak mengharumkan
nama negara di peringkat antarabangsa.
"Saya secara peribadi
mengenali beliau sebagai seorang yang banyak mengajar dan membantu dalam
pembangunan arena badminton negara," katanya.
Menurut Eksekutif Yayasan
Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb), Muhammad Aiman Aminul Abdullah, yayasan
berkenaan akan menyampaikan sumbangan RM11,000 kepada keluarga mendiang.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan