Khamis, 16 Ogos 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Amalan turun padang tingkat produktiviti


Oleh : Mohamad Abdullah
 
Datuk Seri Ali Hamsa ketika mengambil alih jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada penghujung Jun lalu, bertekad untuk turun padang bagi melihat sendiri proses penyampaian penjawat awam negara ini. Tekad ini tentunya dari niat murni untuk memastikan tugas diamanahkan kepada penjawat awam dilakukan dengan cekap dan berkesan.

Pada masa yang sama, penjawat awam sendiri haruslah sedar mengenai amanah dan tanggungjawab masing-masing. Sesekali ketua jabatan perlu turun melihat sendiri masalah dihadapi pegawai, mendengar rintihan orang ramai dan membantu mengatasinya.

Ada masalah berpunca daripada sikap dan amalan yang tertinggal jauh di belakang dan ada daripada masalah kecil dan remeh yang dibiarkan berpanjangan. Apabila sudah menjadi amalan sebati dengan seseorang, maka akan teruslah kekal sehingga benar-benar dilihat semula kesesuaiannya, diberikan teguran, bimbingan dan latihan, malah ada ketikanya tindakan tegas sebagai satu pengajaran.

Walau pun kelihatan remeh, namun dalam banyak keadaan turun padang akan menghasilkan banyak “penemuan” yang kadang-kadang boleh membuat kita termenung seketika mengenai perlakuan dalam organisasi”

Sikap peri kemanusiaan melampau juga memberi kesan besar kepada sesetengah mereka yang boleh dianggap dalam istilah pengurusan dan pemasaran sebagai “sabotaj perkhidmatan” yang meng-ganggu kelicinan kerja kerana belas kasihan dan peraturan yang menyukarkan sesuatu tindakan diambil terhadap mereka yang nyata melanggar disiplin, bersikap sambil lewa dan tidak amanah sehingga masalah itu berpanjangan.

Ia sukar untuk ditangani, malah melemahkan semangat mereka yang benar-benar bekerja keras melaksanakan amanah. Pilihan yang ada adalah jelas. Tindakan perlu diambil dan tidak menjadikannya sebagai faktor yang mengganggu sesuatu proses kerja sama ada dalam apa jua bidang tanggungjawab yang ada, walau pun pada masa sama sikap hati-hati penting agar tidak ada yang teraniaya.

Turun padang bermakna seseorang itu, pada mana-mana peringkat termasuk pengurusan tertinggi, mengadakan lawatan mengejut dan melihat sendiri apa yang terjadi.

Walau pun kelihatan remeh, namun dalam banyak keadaan turun padang akan menghasilkan banyak “penemuan” yang kadang-kadang boleh membuat kita termenung seketika mengenai perlakuan dalam organisasi. Ia boleh membuat kita melakukan muhasabah diri mengenai kepemimpinan seseorang pegawai, dan ketua jabatan, proses pelaksanaan kerja dan perancangan masa hadapannya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran, kekhilafan dalam pelaksanaan peraturan apatah lagi untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti.

Memanglah secara idealnya dikatakan setiap pekerja dalam organisasi dan institusi sewajibnya mempunyai integriti, etika dan hemah tinggi dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab yang ada. Idealnya juga, diharapkan sesuatu tempat kerja lebih anjal, bertolak ansur, menjaga kebajikan dan suatu tempat yang seronok dan membahagiakan kerana seseorang itu sering kalinya menghabiskan masa tidak kurang dari lapan jam, malah ada yang melebih 12 jam sehari.

Namun, kenyataannya ia tidak semudah itu, apatah lagi bagi organisasi yang besar. akan terdapat mereka yang secara sengaja, sedar ataupun tidak memaksudkannya sekali pun, mengambil tindakan sabotaj, tidak beramanah, tidak beretika dan melanggar segala peraturan yang ada. Sikap tamak, ambil mudah dan selesa dengan keadaan yang ada juga sebahagian dari penyakit yang perlu dibanteras.

Kawalan yang longgar dan sikap tidak amanah boleh berlaku yang mengakibatkan tercemarnya nama organisasi, institusi malah negara. Ia memberi kesan sangat besar kepada produktiviti. Yang paling sedih ialah, ia turut memberikan persepsi negatif kepada orang lain yang bekerja keras, penuh amanah dan tanggungjawab dengan memberi nama buruk kepada sesebuah institusi dan organisasi.

Oleh sebab itu, satu daripada penyelesaiannya seharusnya bertolak daripada kesungguhan untuk turun padang dalam kalangan ketua-ketua jabatan dan mereka yang diberikan amanah untuk menyelia dan membuat pemantauan tanpa perlu ‘pukulan kompang’ dan notis awal dengan susun atur yang penuh upacara yang hanya membuang masa. Ia adalah sebahagian daripada  proses kerja untuk melihat bagaimana seorang pembantu pejabat membancuh kopi, tukang sapu mencuci longkang sehinggalah kepada seorang pegawai yang berada dalam pejabatnya menyiapkan tugasan.

Lihat sendiri orang ramai beratur panjang dan sejauh mana benarnya “teknologi” yang dikatakan meningkatkan kecekapan. Lihat juga himpunan sampah di sekitar kawasan dan bangunan, sehinggalah pengoperasian sesuatu tempat, bangunan atau pun premis dan bagaimana proses kerja berjalan, di kaunter perkhidmatan, menjawab panggilan telefon, mengajar dalam bilik darjah dan kuliah, kedatangan ke tempat kerja dan pelbagai lagi secara terperinci.

Teknologi dan ilmu pengetahuan terkini semata-mata tidak akan memberi kesan dalam mengurus tadbir perkhidmatan awam, organisasi dan institusi. Jika manusia yang menggunakan teknologi dan sepatutnya mendapat faedah daripadanya tidak melaksanakan amanah, diawasi dan dipantau akan terdapat kecuaian, kegagalan berfungsi dan disalahgunakan, apatah lagi jika kita juga makin jauh dari Tuhan.

Kepercayaan dan keyakinan yang kuat kepada Tuhan sepatutnya menjadi sumber integriti yang paling berkesan kerana kita boleh lepas daripada pandangan sesama manusia tetapi tidak dapat lari pandangan-Nya Dialah sebenarnya menjadi seluruh pancaindera dan hati nurani kita yang mengawasi setiap tindakan yang dibuat.

Apabila ada dalam kalangan “mamanda” yang memberikan laporan “segalanya baik” eloklah ada sedikit perasaan curiga dan ingin melihat sendiri segala yang dilapor dan dikata. Barangkali ada dinding yang retak, atap yang berlubang atau rakyat jelata yang menangisi sawah yang tidak menjadi atau anak buah yang mati dalam “kepuk padi”.

Penulis ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor USM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan