Oleh : Mohamad Abdullah
Datuk Seri Ali Hamsa ketika
mengambil alih jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada penghujung Jun lalu,
bertekad untuk turun padang bagi melihat sendiri proses penyampaian penjawat
awam negara ini. Tekad ini tentunya dari niat murni untuk memastikan tugas diamanahkan
kepada penjawat awam dilakukan dengan cekap dan berkesan.
Pada masa yang sama, penjawat awam
sendiri haruslah sedar mengenai amanah dan tanggungjawab masing-masing.
Sesekali ketua jabatan perlu turun melihat sendiri masalah dihadapi pegawai,
mendengar rintihan orang ramai dan membantu mengatasinya.
Ada masalah berpunca daripada
sikap dan amalan yang tertinggal jauh di belakang dan ada daripada masalah
kecil dan remeh yang dibiarkan berpanjangan. Apabila sudah menjadi amalan
sebati dengan seseorang, maka akan teruslah kekal sehingga benar-benar dilihat
semula kesesuaiannya, diberikan teguran, bimbingan dan latihan, malah ada
ketikanya tindakan tegas sebagai satu pengajaran.
Walau pun kelihatan remeh, namun
dalam banyak keadaan turun padang akan menghasilkan banyak “penemuan” yang
kadang-kadang boleh membuat kita termenung seketika mengenai perlakuan dalam
organisasi”
Sikap peri kemanusiaan melampau
juga memberi kesan besar kepada sesetengah mereka yang boleh dianggap dalam
istilah pengurusan dan pemasaran sebagai “sabotaj perkhidmatan” yang
meng-ganggu kelicinan kerja kerana belas kasihan dan peraturan yang menyukarkan
sesuatu tindakan diambil terhadap mereka yang nyata melanggar disiplin,
bersikap sambil lewa dan tidak amanah sehingga masalah itu berpanjangan.
Ia sukar untuk ditangani, malah
melemahkan semangat mereka yang benar-benar bekerja keras melaksanakan amanah.
Pilihan yang ada adalah jelas. Tindakan perlu diambil dan tidak menjadikannya
sebagai faktor yang mengganggu sesuatu proses kerja sama ada dalam apa jua
bidang tanggungjawab yang ada, walau pun pada masa sama sikap hati-hati penting
agar tidak ada yang teraniaya.
Turun padang bermakna seseorang
itu, pada mana-mana peringkat termasuk pengurusan tertinggi, mengadakan lawatan
mengejut dan melihat sendiri apa yang terjadi.
Walau pun kelihatan remeh, namun
dalam banyak keadaan turun padang akan menghasilkan banyak “penemuan” yang
kadang-kadang boleh membuat kita termenung seketika mengenai perlakuan dalam
organisasi. Ia boleh membuat kita melakukan muhasabah diri mengenai
kepemimpinan seseorang pegawai, dan ketua jabatan, proses pelaksanaan kerja dan
perancangan masa hadapannya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran, kekhilafan
dalam pelaksanaan peraturan apatah lagi untuk meningkatkan integriti dan
akauntabiliti.
Memanglah secara idealnya
dikatakan setiap pekerja dalam organisasi dan institusi sewajibnya mempunyai
integriti, etika dan hemah tinggi dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab
yang ada. Idealnya juga, diharapkan sesuatu tempat kerja lebih anjal, bertolak
ansur, menjaga kebajikan dan suatu tempat yang seronok dan membahagiakan kerana
seseorang itu sering kalinya menghabiskan masa tidak kurang dari lapan jam,
malah ada yang melebih 12 jam sehari.
Namun, kenyataannya ia tidak
semudah itu, apatah lagi bagi organisasi yang besar. akan terdapat mereka yang
secara sengaja, sedar ataupun tidak memaksudkannya sekali pun, mengambil
tindakan sabotaj, tidak beramanah, tidak beretika dan melanggar segala peraturan
yang ada. Sikap tamak, ambil mudah dan selesa dengan keadaan yang ada juga
sebahagian dari penyakit yang perlu dibanteras.
Kawalan yang longgar dan sikap
tidak amanah boleh berlaku yang mengakibatkan tercemarnya nama organisasi,
institusi malah negara. Ia memberi kesan sangat besar kepada produktiviti. Yang
paling sedih ialah, ia turut memberikan persepsi negatif kepada orang lain yang
bekerja keras, penuh amanah dan tanggungjawab dengan memberi nama buruk kepada
sesebuah institusi dan organisasi.
Oleh sebab itu, satu daripada
penyelesaiannya seharusnya bertolak daripada kesungguhan untuk turun padang
dalam kalangan ketua-ketua jabatan dan mereka yang diberikan amanah untuk
menyelia dan membuat pemantauan tanpa perlu ‘pukulan kompang’ dan notis awal
dengan susun atur yang penuh upacara yang hanya membuang masa. Ia adalah
sebahagian daripada proses kerja untuk
melihat bagaimana seorang pembantu pejabat membancuh kopi, tukang sapu mencuci
longkang sehinggalah kepada seorang pegawai yang berada dalam pejabatnya
menyiapkan tugasan.
Lihat sendiri orang ramai beratur
panjang dan sejauh mana benarnya “teknologi” yang dikatakan meningkatkan
kecekapan. Lihat juga himpunan sampah di sekitar kawasan dan bangunan,
sehinggalah pengoperasian sesuatu tempat, bangunan atau pun premis dan
bagaimana proses kerja berjalan, di kaunter perkhidmatan, menjawab panggilan
telefon, mengajar dalam bilik darjah dan kuliah, kedatangan ke tempat kerja dan
pelbagai lagi secara terperinci.
Teknologi dan ilmu pengetahuan
terkini semata-mata tidak akan memberi kesan dalam mengurus tadbir perkhidmatan
awam, organisasi dan institusi. Jika manusia yang menggunakan teknologi dan
sepatutnya mendapat faedah daripadanya tidak melaksanakan amanah, diawasi dan
dipantau akan terdapat kecuaian, kegagalan berfungsi dan disalahgunakan, apatah
lagi jika kita juga makin jauh dari Tuhan.
Kepercayaan dan keyakinan yang
kuat kepada Tuhan sepatutnya menjadi sumber integriti yang paling berkesan
kerana kita boleh lepas daripada pandangan sesama manusia tetapi tidak dapat
lari pandangan-Nya Dialah sebenarnya menjadi seluruh pancaindera dan hati
nurani kita yang mengawasi setiap tindakan yang dibuat.
Apabila ada dalam kalangan
“mamanda” yang memberikan laporan “segalanya baik” eloklah ada sedikit perasaan
curiga dan ingin melihat sendiri segala yang dilapor dan dikata. Barangkali ada
dinding yang retak, atap yang berlubang atau rakyat jelata yang menangisi sawah
yang tidak menjadi atau anak buah yang mati dalam “kepuk padi”.
Penulis ialah Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor USM
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan