Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE
BERADA di jalan raya setiap hari
membuatkan saya tertanya-tanya mengapa begitu ramai penunggang motosikal yang
sanggup memperjudikan nyawa dan anggota badan serta pertaruh nyawa dengan
kematian semata-mata tidak menghiraukan lampu isyarat ketika melintas di
persimpangan jalan.
Ia bukan hanya penunggang
motosikal individu malah melibatkan pasangan yang berumur dan kadang kala
bersama anak-anak kecil yang terselit di tengah-tengah. Saya sering terfikir
sama ada mereka ini menghargai nyawa mereka dan anak-anak.
Apa yang telah saya nyatakan
adalah fakta yang berlaku pada setiap hari. Berdasarkan pemantauan saya,
lebih daripada 50 peratus penunggang motosikal kita melanggar peraturan lampu
isyarat ketika di persimpangan trafik. Mengapakah mereka bersikap acuh tidak
acuh dan tidak hormat kepada undang-undang?
Saya masih ingat akan satu kes,
seorang penunggang motosikal wanita menunggang tanpa memakai topi keledar.
Sewaktu ditahan oleh seorang anggota polis, wanita tersebut memanggilnya bodoh.
Mereka menunjukkan sikap tidak
peduli kepada undang-undang dan juga mencerminkan sikap negatif dialam kalangan
penunggang motosikal terhadap keselamatan mereka sendiri.
Walaupun ada yang memakai topi
keledar, tetapi jika dilihat dengan teliti mereka tidak memakainya dengan cara
yang betul. Ia sama seperti tidak memakai topi keledar.
Mereka beranggapan bahawa
peraturan trafik boleh dilanggar dan diabaikan kerana peluang untuk mereka
ditangkap adalah tipis.
Bagi mereka tidak perlu untuk
berhenti ketika lampu isyarat merah apabila ketiadaan trafik.
Atau adakah orang awam berasakan
bahawa pihak berkuasa tidak memandang serius terhadap penguatkuasaan peraturan
trafik.
Contohnya, mereka boleh melihat
bahawa ada yang meletakkan kenderaan di kawasan larangan letak kereta tetapi
tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pesalah ini.
Jika terdapat pegawai
penguatkuasa diletakkan di persimpangan trafik, sudah pasti ramai yang ditangkap. Tetapi ini bukanlah perkara yang hendak ditekankan.
Persoalannya, kenapa begitu ramai
penunggang motosikal tidak menunjukkan sikap hormat terhadap undang-undang dan
peraturan sehingga di tahap membahayakan nyawa sendiri dan orang yang tersayang.
Saya juga mendapati bahawa sudah
muncul satu trend dalam kalangan anak-anak muda yang terlibat dalam jenayah dan
gejala sosial.
Nilai-nilai murni sudah tiada
untuk menentukan perlakuan mereka dan sikap hormat pada undang-undang serta
arahan sudah tiada. Ada antaranya juga tidak menunjukkan sikap hormat kepada
ibu bapa mereka sendiri.
Remaja yang berusia seawal 15
tahun melibatkan diri dalam lagak ngeri mat rempit seolah-olah untuk mengejek
dan mencabar pihak polis di jalan raya. Kejadian mat rempit yang melarikan diri
daripada sekatan jalan serta mencederakan anggota polis semakin meningkat.
Di sebalik isu tidak menghormati
peraturan, ia juga menunjukkan kemerosotan nilai-nilai murni seperti ihsan,
kesopanan, kesabaran, merendah diri dan toleransi seperti yang diperlihatkan
bagaimana rakyat Malaysia membawa diri mereka di khalayak ramai.
Sindrom negatif seperti yang
digambarkan dalam masalah aktiviti pembuli jalan, pembuli sekolah, menggunakan
kekerasan, memaparkan kekasaran dan pembuangan sampah di tempat awam telah
terbukti menunjukkan bahawa kempen budi bahasa yang dilakukan
masih belum mencukupi.
Isu berkaitan tidak menunjukkan
sikap hormat pada undang-undang perlu diberi perhatian dan kita perlu mengenal
pasti puncanya sebelum ia bertambah teruk.
Adakah usaha pihak sekolah dan
ibu bapa sudah mencukupi bagi memupuk sikap menghormati undang-undang dalam kalangan generasi muda?
Adakah benar terdapat begitu
banyak tekanan negatif dalam kalangan rakan sebaya yang telah membawa kepada
keadaan yang tidak diingini seperti itu?
Persoalan-persoalan ini adalah
relevan dan tidak boleh diabaikan oleh semua yang terlibat dalam pendidikan
anak-anak yang akan menjadi aset negara kita pada masa hadapan.
Penulis ialah
aktivis sosial
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan