Oleh : ROHAMI SHAFIE
TIADA siapa yang mampu menyatakan
dengan hujah-hujah jelas bahawa Malaysia telah mengamalkan diskriminasi kaum.
Walaupun ada yang memomokkan negara kita melaksanakan dasar yang seolah-olah
mengamalkan diskriminasi kaum minoriti, namun bukti jelas menunjukkan sesiapa
sahaja yang bergelar warganegara Malaysia telah mendapatkan keadilan saksama.
Setiap rakyat Malaysia dijaga
kebajikannya. Yang miskin dibantu, yang kaya pula sentiasa diberi peluang untuk
menambah kekayaan. Dasar afirmatif Malaysia tidak pernah merugikan sesiapa.
Yang membezakan Malaysia dan negara lain adalah penduduk majoriti Malaysia
adalah golongan yang perlu dibantu. Kebanyakan mereka adalah golongan susah
berbanding penduduk minoriti Malaysia.
Mungkin ada yang akan menyamakan
dasar sedia ada seolah-olah dasar Apartheid, namun kalau kita lihat dan teliti
secara mendalam, dasar itu telah meminggirkan golongan majoriti yang serba
miskin di Afrika Selatan suatu ketika dahulu. Golongan minoriti menindas
golongan majoriti melalui dasar Aparteid. Di Malaysia, golongan majoriti tidak
pernah menindas golongan minoriti, malahan golongan minoritilah yang menguasai
kekayaan ekonomi berbanding golongan majoriti.
Meskipun kuasa politik berada di
tangan golongan majoriti, golongan minoriti diberi peluang seluas-luasnya untuk
memperkasakan kaum masing-masing. Sebagai contoh, mana ada negara di dunia ini
yang mengamalkan sistem pendidikan vernakular kecuali di Malaysia? Sebab itulah
kita lihat, saban hari generasi muda Malaysia semakin terpisah mengikut kaum.
Di negara-negara lain, mereka
mengetahui implikasi besar terhadap negara dengan mengamalkan dasar sistem
pendidikan vernakular, iaitu generasi muda yang berbilang kaum apabila dewasa
nanti tidak akan mengenali satu sama lain. Jika tidak dicegah dari awal boleh
membawa bencana kepada negara.
Perpaduan rakyat bagi sesebuah
negara banyak bergantung pada sistem pendidikan. Anak-anak muda yang berbilang
kaum wajar dididik di bawah satu bumbung agar memahami antara satu sama lain.
Mana mungkin mereka ini memahami satu sama lain, jika tidak pernah bercakap
sesama sendiri.
Maka, sesuatu yang tidak
mengejutkan apabila terdapat generasi muda yang tidak boleh bertutur dan
menulis bahasa Melayu. Bayangkan, jika masalah bahasa pun tidak boleh diatasi,
bagaimana mungkin untuk mengenali satu sama lain secara mendalam?
Dua perkara ini iaitu sistem
pendidikan sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu perlu diperkasakan oleh
kerajaan. Tindakan perlu dilakukan dengan tegas tanpa ragu-ragu. Kerajaan perlu
melihat kesan positif dalam jangka masa panjang. Sebagai negara berbilang kaum,
Malaysia memerlukan satu sistem pendidikan yang membolehkan semua kaum bergaul
sesama sendiri. Perkasakan sistem pendidikan sekolah kebangsaan terlebih dahulu
berbanding sistem pendidikan vernakular kerana ia merupakan keutamaan
tertinggi.
Begitu juga, bahasa Melayu wajar
dimartabatkan dalam semua aspek kehidupan rakyat Malaysia. Kepada ahli-ahli
politik dan ahli-ahli perniagaan usahlah malu untuk bercakap dalam bahasa
Melayu. Negara tidak akan rugi jika sekiranya bahasa Melayu dimartabatkan dalam
semua aspek kehidupan. Malahan, orang asing akan menyanjung tinggi Malaysia
kerana mementingkan bahasa sendiri berbanding bahasa asing. Banyak negara yang
lebih maju di Malaysia seperti Perancis, Jepun dan Jerman tidak ragu-ragu
memartabatkan bahasa mereka.
Kenapa kita sendiri luntur
kewibawaan dalam memperkasakan bahasa Melayu? Di manakah jati diri kita? Malang
sekali kerana bahasa Melayu merupakan bahasa yang cukup hebat di dunia, tetapi
kita sendiri lebih berasa bangga bercakap dalam bahasa asing di tanah air
sendiri. Tidakkah kita sedar, bahasa juga memainkan peranan yang cukup penting
dalam perpaduan rakyat dan juga dalam memajukan ekonomi negara?
Selain dasar sistem pendidikan
sekolah kebangsaan dan memartabatkan bahasa Melayu, rakyat Malaysia juga perlu
belajar menerima satu sama lain. Sebelum ini, kita lebih bertoleransi satu sama
lain tetapi untuk memastikan keutuhan perpaduan rakyat Malaysia, penerimaan
adalah tunjang kepada perpaduan kaum. Sebagaimana sebuah keluarga,
masing-masing menerima satu sama lain.
Mustahil keluarga tersebut
bersatu dan hidup harmoni sekiranya tidak dapat menerima satu sama lain. Baik
adik beradik mahupun ibu bapa, keluarga yang bahagia akan tergambarlah suasana
keceriaan, bertimbang rasa dan saling hormat menghormati satu sama lain serta
mengetahui hak masing-masing.
Mereka tidak akan mengambil hak
orang lain kerana dipupuk untuk menerima hak masing-masing tanpa menyentuh hak
yang lain. Masing-masing menjaga perasaan lain agar hati dan perasaan tidak
terguris sama sekali. Penerimaan sebeginilah yang patut diamalkan oleh rakyat
Malaysia agar sentiasa bersatu.
Sebagai satu keluarga besar,
rakyat Malaysia hanya boleh disatukan secara menyeluruh kalau masing-masing
menerima satu sama lain. Jangan terlalu tamak untuk mengambil hak orang lain,
kononnya itu hak kita. Kita juga yang akan berasa kurang selesa, jika sekiranya
orang lain pula mengambil hak kita.
Justeru, belajarlah menerima satu
sama lain dan asasnya telah ditunjukkan oleh nenek moyang kita sejak merdeka
lagi. Mereka sebenarnya telah banyak membantu memikirkan masa depan kita.
Itulah sumbangan terbesar mereka kepada kita untuk memastikan zuriat mereka
bersatu padu setiap masa dalam sebuah keluarga yang besar.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik,
Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe) Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan