Oleh : MOHAMAD
ABDULLAH
BEBERAPA tahun lalu, bekas Naib
Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Tan Sri Datuk Dzulkifli
Abdul Razak memperkenalkan penggunaan terminologi Orang Kelainan Upaya (OKU)
dan menolak penggunaan Orang Kurang Upaya satu terminologi yang telah lama
digunakan untuk merujuk kepada mereka yang dianggap cacat.
Alasannya, mereka ini harus
dilihat dalam cara yang betul kerana yang berbeza bukanlah dari segi fizikal
tetapi keupayaannya disebabkan oleh sesuatu sebab semulajadi atau kejadian yang
diingini. Mereka wajar dinilai kebolehannya berasaskan kelainan keupayaannya
berbeza dengan mereka yang dianggap sempurna.
Kerana itu, misalnya USM
mengiktiraf seorang siswi cerebral palsy, Tan Chin Chin sebagai penerima Pingat
Emas Canselor dalam upacara konvokesyen sebagai graduan serba boleh yang
tentunya tidak boleh dibandingkan dengan mereka yang sempurna sepenuhnya dari segi
fizikal.
Malah kejayaan Dr. Muzammil Mohd.
Noor sebagai seorang ahli akademik yang menggunakan kerusi roda menjadi antara
contoh nyata kejayaan mereka yang mempunyai keupayaan berbeza tetapi cemerlang
walaupun semasa kecilnya melalui zaman sukar yang sering diperkecilkan.
Baru-baru ini, seorang warga USM
yang juga menggunakan kerusi roda kerana masalah kakinya meluahkan perasaan
sedih dan kecewa kerana ketika memulakan kerjayanya sebagai seorang kerani
melalui pengalaman yang amat sukar. Kedudukan kerusi dan meja, kediaman di
asrama yang tidak sesuai, kesukaran untuk menggunakan mesin ATM bank dan
pelbagai lagi.
Namun dengan tekad dan
semangatnya yang tinggi membolehkannya menjejak kaki ke universiti dan
menggenggam segulung ijazah. Kisah-kisah begini menggambarkan betapa kelainan
keupayaan bukanlah halangan untuk berjaya jika kita benar-benar prihatin dengan
nasib mereka yang berada di sekeliling kita.
Mereka sebenarnya hanya berlainan
keupayaan bukannya kurang keupayaan. Ada ketikanya mereka lebih hebat dari kita
yang menganggap diri sempurna.
Namun begitu, terdapat alasan
tertentu mengapa terminologi Orang Kurang Upaya digunakan terus, malah diterima
pakai oleh golongan ini sendiri. Terdapat halangan-halangan tertentu yang
menyebabkan ia perlu terus digunakan.
Satu kajian tentang kedudukan OKU
dalam masyarakat negara ini telah pun diterbitkan oleh Penerbit USM sebagai
rujukan iaitu Work and Disablity - A Malaysian Scenario oleh Dr. Magdalene Ang
yang kini seorang tenaga pengajar di Labuan School of International Business
and Finance, UMS.
Masalah penggunaan terminologi
ini juga banyak dibincangkan dalam buku ini sebagai satu usaha untuk kita lebih
memahami tentang kedudukan dan peranan OKU dalam masyarakat dan negara,
termasuk sumbangan besarnya kepada ekonomi negara.
Namun begitu, laporan Pertubuhan
Buruh Antarabangsa (ILO) 2003 menyatakan kira-kira 200 juta OKU di rantau Asia
Pasifik yang tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan, manakala laporan lain
pada 2005 pula menyebut walaupun mendapat peluang pekerjaan sebahagian besarnya
di bawah lebih rendah dari sepatutnya.
Namun, di negara kita, pelbagai
usaha dibuat untuk membantu mereka dan diberikan pengiktirafan yang sangat
tinggi. Malah Perdana Menteri dalam beberapa kenyataannya menyebut betapa
pentingnya kita keluar daripada paradigma yang ada terhadap OKU.
Mungkin kita juga tidak pernah
terniat untuk memencilkan atau menidakkan hak OKU. Namun, sampai masanya sama
ada institusi pengajian dari sekolah sehinggalah ke universiti, organisasi dan
institusi lain termasuk industri melihat hal ini dengan teliti. Perkara-perkara
yang kita anggap kecil dan mudah mungkin tidak bagi mereka.
Asrama pelajar juga harus melihat
dan memberikan sokongan kepada mereka yang masih belajar dari awal mungkin.
Kumpulan-kumpulan sokongan daripada pelbagai kelompok harus melihatnya dengan
serius. Walaupun pelbagai dorongan, kemudahan dan insentif diberi, yang utama
adalah kesungguhan menyediakannya dan menghulurkan bantuan secara berterusan.
Penggunaan terminologi Orang
Kelainan Upaya barangkali mengungkapkan penghormatan dan kekuatan diri yang
berlainan yang sekali gus berkemungkinan memberikan satu persepsi baharu yang
lebih bermakna kepada OKU. Kita perlu mengiktiraf insan istimewa ini sebagai
berlainan keupayaannya, bukannya kurang keupayaannya.
Ia juga mengungkapkan hasrat
untuk kita lebih menghargai golongan ini dan melihat keperluan mereka yang
sebenarnya. Kita harus merasai bagaimana kesukaran dan kepayahan yang dilalui
apatah lagi dengan stigma serong sesetengah kita terhadap kemampuan sebenar
mereka.
Bakat yang ada ada pada mereka
harus dimanfaatkan dan kitalah yang harus melakukannya. Buku tulisan Dr.
Magdalene Ang adalah pembuka mata kita terhadap nasib mereka di negara ini.
Lebih banyak rujukan dan dokumentasi kisah mereka harus diusahakan agar
masyarakat dapat benar-benar menghayati dan lebih prihatin.
Terminologi Orang Kelainan Upaya
barangkali dapat membantu untuk kita memberikan kelainan persepsi dan pemikiran
terhadap mereka yang boleh kita ketengahkan, namun jika ada kesukaran dan
halangan, gunalah apa jua terminologi yang dapat membantu mengangkat mereka ke
tahap yang sewajarnya, walaupun Orang Kurang Upaya yang telah kita guna sekian
lama.
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti
Sains Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan