OLEH : PROF DR SIDEK BABA
Menyambut ulang tahun kemerdekaan
dan membangun jiwa merdeka adalah dua hal yang saling berkaitan. Ulang tahun
kemerdekaan mengajak kita mengingati kembali sejarah perjuangan kemerdekaan,
termeterainya perlembagaan dan membebaskan kita dari belenggu penjajahan.
Membangun jiwa merdeka adalah
sifatnya sepanjang zaman. Pada awal kemerdekaan, kebencian kita kepada penjajah
amat luar biasa, tetapi selepas merdeka kekaguman kita kepada ilmu dan kemajuan
orang Barat agak luar biasa juga sifatnya.
Membangun jiwa merdeka memberi
erti bagaimana pembebasan belenggu pemikiran Barat supaya kita mampu
membangunkan negara merdeka berasaskan acuan kita sendiri.
Jiwa merdeka tidak menolak
manfaat berbanding dalam ilmu dan keterampilan masyarakat Barat dan Timur,
tetapi harus mampu membangun negara sendiri berasaskan nilai-nilai dan etika
yang dapat diterima semua.
Membangun jiwa merdeka mesti
bermula membangun pemikiran terlebih dulu. Umat Islam sering alami sindrom penjajahan
pemikiran (al qhazwul fikr) termasuk di negara kita.
Walaupun penjajah lama pergi,
pendewaan terhadap bahasa penjajah, model pentadbiran penjajah dan sistem
ekonomi dan gaya hidup penjajah menjadi ukuran maju dan membangun.
Dalam tradisi yang mendukung
tamadun Islam umpamanya faktor rahmah alamiah dijadikan pedoman bagaimana umat
manusia mampu bebas diri dari belenggu kejahilan berasaskan nilai dan etika
yang sifatnya sejagat. Islam dan tamadunnya bukan hanya untuk orang Islam saja.
Tamadun Andalusia umpamanya
menjadi sumber penting bagi Eropah membebaskan diri mereka daripada belenggu
kejahilan dan zaman kegelapan.
Ilmu Islam yang disuluh oleh
al-Quran menjadikan fikir dan zikir jalan seiring, menjadikan akal dan budi
sepadu dan menjadikan hasil pemikiran dan wahyu jalan bersama.
Kalau tidak masakan Andalusia
mampu bertahan lebih 700 tahun. Asas ilmu Islam ini jugalah yang meletakkan
Eropah maju sehingga ke hari ini.
Membebaskan belenggu kejahilan
umat Islam kini memerlukan pemerkasaan ilmu. Bersikap reflektif terhadap
tamadun silam Islam amat dituntut.
Bersikap nostalgik semata-mata
terhadap kejayaan silam hanya menjadikan kita pengagum yang lesu. Tetapi sikap
reflektif terhadap faktor kejayaan silam dan mengambil iktibar dari jatuh
bangun tamadun membawa kita merenung kembali dengan rasa insaf yang tinggi
tanpa ilmu dan penguasaan teknologi pada hari ini, kita akan terus dijajah
dalam bentuknya yang baru.
Penjajahan bentuk baru boleh
mengambil bentuknya yang pelbagai. Ada penjajahan yang bentuknya sains dan
teknologi. Ada penjajahan yang bentuknya menguasai sumber dan sistem maklumat.
Ada penjajahan yang bentuknya kebudayaan popular dan hiburan yang melampau.
Dan ada penjajahan dalam
bentuknya pola gay dan lesbian, biseksual, transeksual (LGBT) yang membenarkan
seks bebas berkembang tanpa bendungan.
Membangun jiwa mereka pastinya
dengan dukungan ketamadunan berasaskan ilmu dan binaan sahsiah yang baik.
Tanpa kekuatan ini manusia akan
terus dalam pencarian diri dan pencarian sistem yang fitrahnya amat utama untuk
membangun diri manusia dan kemanusiaan.
Islam dalam bentuk kesilaman
melakukan integrasi ilmu supaya ulum naqliah (wahyu) dan ulum akliah
(pemikiran) dapat ditemukan dalam nilai dan etika yang sifatnya mendukung
kemajuan. Manusia kini tercari-cari
makna kemerdekaan itu.
Justeru membangun jiwa merdeka merintis jalan perhambaan terhadap benda dan kebendaan sekiranya
kebendaan menjadi matlamat hidup manusia. Sikap nafsu nafsi yang haiwani
bukanlah landasan yang baik bagi menyuburkan jiwa merdeka ini.
Melainkan manusia kembali kepada
dirinya yang fitrah supaya rahmah dan nikmah ALLAH disyukuri dan hubungan baik
sesama insan dijadikan matlamat kehidupan.
Kembalinya manusia kepada aqidah
tauhid adalah jalan terbaik menemukan diri dengan ALLAH. Inilah sebenarnya
rukun kemerdekaan paling unggul bagi manusia kerana apabila manusia berasakan
dirinya hamba dan Pencipta itu Khaliq maka barulah manusia mampu memiliki jiwa
kehambaan yang tinggi mendukung maksud taat, patuh, akur dan tunduk.
Itulah namanya kemerdekaan jiwa
insan.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my//
Tiada ulasan:
Catat Ulasan