Oleh: Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad, Ph.D
Musim peperiksaan menjelang
lagi. Pada saat begini, ibu bapa biasanya lebih bimbang berbanding
anak-anak. Antara ibu dan bapa pula,
ibulah yang lebih gemuruh berbanding bapa.
Sebagai seorang bapa, saya memahami perasaan dan tekanan yang dihadapi
oleh ibu bapa. Malah saya baru sahaja
mampu bernafas lega apabila anak yang sulung kini selesai peperiksaan
UPSRnya. Memang pengalaman mendidik anak
orang dengan mendidik anak sendiri cukup berbeza.
Jangan pula kerana tekanan yang
kita rasakan dan harapan yang kita letakkan terhadap seorang anak, membuatkan
kita kelam kabut hingga lupa apa yang patut dilakukan disaat menjelangnya
peperiksaan.
Salah pendekatan kita maka anak
yang akan menerima akibatnya kelak hingga tanpa disedari menjejaskan prestasi
peperiksaannya.
Saya teringat bagaimana tahun
lepas seorang pelajar motivasi saya telah menelefon dan menangis sedangkan PMR
hanya tinggal 10 hari sahaja lagi.
Setelah ditenangkan, maka dia beritahu saya bagaimana tertekannya dia apabila
ibu bapa terus mengherdik, menekan dan memarahinya kerana dia hanya memperolehi
3A sahaja dalam peperiksaan percubaannya.
Dia rasa dia telah gagal sebagai seorang anak dan tidak yakin untuk
berhadapan dengan PMR yang sebenar.
Nasib baiklah dia sempat mengadu dan meminta bantuan. Bagaimana pula dengan ratusan ribu pelajar
lain yang tidak mempunyai tempat untuk mengadu?
Sebab itulah kita sebagai ibu bapa mesti tahu apa persediaan yang perlu
dibuat untuk kecemerlangan anak-anak menjelangnya peperiksaan.
1. Fahami Tekanan Yang Dihadapi Oleh Anak
Bukan sahaja ibu bapa yang
bimbang, anak-anak juga sebenarnya bimbang.
Mungkin ada antara mereka tidak begitu menunjukkan kebimbangan tetapi ia
dapat dilihat dari segi perubahan sikap dan tingkah laku mereka. Ada anak-anak yang rungsing lalu tidak
berselera makan tetapi ada pula yang menjadi terlalu kuat makan. Ada yang tidak boleh tidur tetapi ada pula
yang semakin kuat tidurnya. Ada yang
murung, marah-marah, sensitif dan sebagainya.
Sememangnya perasaan bimbang boleh menyebabkan berlakunya perubahan
sikap dan tingkah laku ini. Sebagai ibu
bapa, kita mesti peka terhadap perubahan ini dan cuba sedaya upaya mengurangkan
tekanan tersebut dengan lebih memahami mereka.
Katakan kepada mereka dengan jelas bahawa apa yang kita harapkan daripada mereka hanyalah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka. Jelaskan kepada mereka kecemerlangan akademik
bukan hanya satu-satunya syarat untuk mereka hidup cemerlang di dunia Allah
ini.
Apabila tinggal beberapa hari
lagi untuk menghadapi peperiksaan, elakkan daripada menyuruh mereka menjawab
terlalu banyak soalan-soalan yang mereka tidak ketahui penyelesaiannya kerana
ini akan membuatkan mereka rasa tidak bersedia.
Keyakinan diri mereka akan tergugat dan ini akan menjejaskan prestasi
mereka dalam menjawab soalan-soalan yang mereka sedia ketahui.
Adalah lebih baik ibu bapa diam
tanpa memberikan sebarang komen apabila didapati perasaan anak terlalu tertekan
hingga ada ketikanya dia memberontak lalu meluahkan perasaan dengan mengatakan
yang dia pasti gagal. Perhatikan sahaja
gelagat anak sebab biasanya luahan perasaan itu bukanlah luahan yang
sebenar. Selepas itu, ajak anak
melakukan aktiviti yang menyeronokkan tanpa perlu keluar dari rumah. Misalnya, adakan masa untuk menonton cerita
jenaka seketika. Berhibur dan bergelak
ketawalah sekeluarga. Ini akan
membuatkan perasaan tegang dalam diri anak mengendur dan dia kini bersedia
untuk kembali belajar semula. Ketika
ini, tanamkan keyakinan dalam diri mereka semula. Rancang bersama jadual ulangkaji mereka dan
cuba mudah-mudahkan setiap langkah yang mahu diambil.
2. Tingkatkan Keyakinan Diri Anak
Keyakinan diri yang tidak mantap
sering menghantui jiwa anak-anak. Ada antara mereka yang memang telah membuat ulangkaji sejak awal lagi tetapi
tetap rasa tidak yakin pada diri sendiri.
Sebagai ibu bapa kita perlu tahu bahawa keyakinan itu datangnya dari
persediaan. Semakin bersedia anak kita
maka semakin yakinlah mereka. Persediaan
ini pula bukan sekadar membaca, menghafal dan menyediakan nota semata-mata. Persediaan ini mestilah merangkumi aspek
menerima (input) dan mengeluarkan (output) maklumat.
Proses mendapat maklumat
termasuklah membaca, membuat nota ringkas, menghafal, bertanya, dan mengetahui
teknik menjawab soalan-soalan. Proses
mengeluarkan maklumat pula ialah menjawab soalan-soalan seperti membuat
latihan, latih tubi dan simulasi dengan menggunakan segala pengetahuan yang
telah diperolehi dalam proses mendapat maklumat itu tadi. Galakkan anak menjawab sebanyak mungkin
soalan agar mendapat pengalaman. Lebihkan proses latih tubi untuk mana-mana
topik yang agak lemah atau bentuk soalan yang kurang dikuasai. Seterusnya, perhebatkan simulasi iaitu
menjawab soalan-soalan tahun lepas serta soalan-soalan ramalan mengikut masa
yang telah ditetapkan. Lakukan proses
simulasi ini seolah-olah dia benar-benar berada dalam dewan peperiksaan yang
sebenar.
3. Dorong Anak Secara Positif
Ibu bapa hendaklah sering
memberikan harapan kepada anak dengan melontarkan kata-kata yang positif. Apakah kata-kata positif? Kata-kata positif adalah kata-kata yang
apabila diucapkan akan menghasilkan gambaran minda yang juga positif.
Misalnya:
bukan "Jangan
buang masa" .... tapi ucapkanlah "Manfaatkan masa",
bukan "Jangan
berputus asa"... tapi ucapkanlah "Berusahalah dengan lebih gigih
lagi" atau "Mak percaya adik pasti BOLEH!",
bukan "Jangan
kelam kabut".. tapi ucapkanlah "Banyakkanlah bertenang",
bukan "Elakkan
kecuaian".. tapi ucapkanlah "Tingkatkan ketelitian dan lebih
berhati-hati",
Malah banyak lagi
contoh yang boleh diberikan.
4. Berikan Kerjasama Sepenuhnya
Apabila seorang anak bakal
menduduki peperiksaan penting maka keseluruhan ahli keluarga yang ada di dalam
rumah hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya. Antaranya, hormati waktu ulangkaji anak itu
dengan setiap ahli keluarga menjadikan waktu itu sebagai waktu belajar. Misalnya ibu bapa boleh manfaatkan waktu itu
untuk membaca bahan-bahan yang berfaedah.
Adik kecil pula diberikan kertas dan pensil untuk menconteng. Datuk dan nenek, kalau tinggal dirumah yang
sama, gunakanlah waktu itu untuk membaca al-quran. Begitulah juga dengan yang lain-lain. Pastikan tidak seorang pun daripada ahli
keluarga yang menonton TV, mendengar radio, sembang-sembang kosong,
bermain-main dan sebagainya sedangkan ada anak yang sedang bertungkus lumus
menghadapi pelajarannya. Dengan cara ini
anak akan dapat merasakan bahawa perjuangannya dihargai.
5. Kurangkan Aktiviti Luar
Elakkanlah daripada terlalu banyak membuang masa dengan aktiviti
di luar seperti keluar membeli belah, makan di luar, balik kampung, menziarahi
saudara mara dan sebagainya. Ingatlah
setiap minit itu amat berharga untuk anak oleh itu pastikanlah setiap aktiviti
yang dirancang menyumbang kepada persediaannya untuk menghadapi peperiksaan sama
ada persediaan mental, emosi, fizikal atau rohani anak-anak. Tambahan pula,
kekerapan berada di luar rumah hanya mendedahkan mereka terhadap perkara yang
tidak diingini sama ada dari segi kesihatan atau keselamatan.
6. Elakkan Anak Daripada Tidur Lewat
Ada yang suka belajar hingga
lewat malam untuk menghabiskan ulangkaji mereka. Jangan biarkan keadaan sebegini
berlarutan. Pastikan anak anda masuk
tidur awal dan bangun awal. Galakkan
mereka membuat sedikit ulangkaji diwaktu awal pagi walaupun hanya untuk dua
puluh atau tiga puluh minit. Pada waktu ini
fikiran mereka tenang, emosi belum terganggu dan suasana pula nyaman. Banyak maklumat yang dibaca ketika ini akan
diingat untuk tempoh masa yang lebih lama.
7. Berikan Anak Pelepasan Tugas Harian
Berikanlah anak anda layanan yang
istimewa semasa menjelangnya peperiksaan.
Berikan dia kebebasan daripada melakukan tugas harian yang sememangnya menjadi
rutin hariannya seperti mengemas bilik, menolong emak di dapur, membersih halaman
rumah, mencuci pakaian dan sebagainya.
Agihkan sementara tugas-tugas ini kepada orang lain seperti kakak,
abang, adik atau ibu bapa sendiri.
Dengan cara ini anak yang akan menduduki peperiksaan dapat merasakan
bahawa seluruh ahli keluarga memang benar-benar mahu melihat dia cemerlang. Dia
akan rasa bersalah sekiranya waktu yang diperuntukkan untuk belajar tidak
dimanfaatkan sebaik-baiknya sedangkan semua orang telah memberikan
kerjasama. Dia juga akan sentiasa
mengharapkan suasana peperiksaan sebegini datang lagi kerana seronok mendapat
pelepasan tugas. Anak-anak yang lain
tidak ada sebab untuk cemburu sebab apabila tiba masa mereka maka mereka juga
akan dilayan dengan cara yang serupa.
8. Nyatakan Ganjaran Dengan Jelas
Jangan biarkan anak anda berteka
teki terhadap ganjaran yang bakal dia terima sekiranya dia memperolehi
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Nyatakan dengan jelas bentuk ganjaran yang mahu diberikan
kepadanya. Kalau ia berbentuk kebendaan
maka nyatakan dengan jelas. Tunjukkan
gambar tentang apa yang mahu anda berikan padanya. Kalau ia suatu percutian, beritahu destinasi
yang akan dilawati. Dapatkan juga
risalah tentang destinasi tersebut dan tunjukkan padanya. Ganjaran yang kabur atau samar-samar tidak
akan merangsang jiwa. Misalnya, elakkan
dari berkata, "Kalau abang cemerlang dalam SPM maka emak akan bawa abang
melancong", sebaliknya hendaklah kita berkata, "Kalau abang cemerlang
dalam SPM emak pasti bawa abang ke Langkawi, insyaAllah".
Pastikan apa jua ganjaran yang
mahu diberikan, anda mampu menunaikannya.
Kalau tidak anak akan hilang kepercayaan terhadap kita sebagai ibu bapa
dan lain kali janji kita tidak diambil kisah lagi.
Ganjari juga usahanya bukan
sekadar hasil atau pencapaiannya. kalau
kita tahu anak telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan tetapi
keputusan peperiksaan tidak seperti yang dimahukan maka berikanlah dia sesuatu
sebagai menghargai penat lelahnya itu.
9. Ambil Cuti
Inilah masanya untuk ibu bapa memberikan dorongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak yang bakal menduduki
peperiksaan. Ambillah cuti beberapa hari
dan usahakan untuk hantar sendiri anak ke sekolah pada hari peperiksaan
tersebut. Sepanjang perjalanan terus
berikan kata-kata perangsang dan nasihat kepadanya. Ingatkan anak sekali lagi bahawa kita tidak
pentingkan apa sekalipun hasil yang dia peroleh, yang penting dia telah pun
memberikan usaha yang terbaik. Apa
sahaja keputusannya kita terima dan bersyukur.
10. Banyakkan Berdoa dan Solat hajat
Tidak ada sesuatu yang lebih
bermakna untuk seorang anak ketika menduduki peperiksaan selain daripada doa
dan restu daripada kedua-dua ibu bapanya. Oleh
itu, inilah masanya untuk kita luangkan lebih banyak masa berdoa untuknya agar
dipermudah urusan anak menjawab setiap soalan, diberikan ketenangan dan
diterangkan hati. Berdoalah dengan suara
yang jelas agar didengar oleh anak dan biarlah dia mengaminkan doa kita itu. Biar anak menyedari yang kita sering membuat
solat hajat dan berdoa untuknya. Dengan
cara ini mereka akan lebih menghargainya.
Semoga petua keibubapaan yang
telah diberikan dapat membantu ibu bapa untuk menjadi lebih cemerlang. Ingatlah, anak-anak bukan kita maka
terimalah mereka seadanya. Yang penting
mereka lakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka sendiri.
Penulis ialah Perunding Motivasi
MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan