Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
Alhamdulillah, kita baru saja
meraikan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lalu dan akan menyambut Hari Malaysia
pada 16 September ini. Hari-hari ini amat bermakna sama ada kerana mengenangkan
sejarahnya mahupun nikmat kemerdekaan yang dikecapi hingga saat ini.
Justeru, perlu diingat bahawa
negara yang merdeka dan memiliki nilai kemerdekaan adalah aset amat berharga
bagi rakyat kerana dengan kemerdekaan kita menikmati keamanan dan kedamaian,
aspek paling asas untuk mengecapi kesejahteraan kehidupan.
Malah, keamanan ini membolehkan
kita merancang masa depan. Paling penting, nikmat kemerdekaan membolehkan kita
mengurus tadbir negara mengikut acuan sendiri dengan memelihara kesucian agama
menunaikan amanah sebagai khalifah.
Jihad utama
Memelihara nilai kemerdekaan
adalah suatu jihad yang utama. Negara yang makmur serta memelihara
tanggungjawab agama dan kepentingan masyarakatnya adalah kota yang membuka
gerbang untuk meraih hidayah Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah
kamu bersikap lemah dan jangan pula kamu bersedih kerana kamulah orang yang
paling tinggi, jika kamu orang yang beriman.” (Surah Ali-Imran, ayat 139)
Kita sangat beruntung jika
dibandingkan dengan negara yang sedang bergolak dengan permusuhan, peperangan
serta kemiskinan walaupun sudah puluhan tahun mengecapi kemerdekaan.
Serap jiwa merdeka
Justeru, kita perlu bersyukur
berada dalam kemerdekaan dengan berusaha memelihara dan meningkatkan
kesejahteraan berasaskan nilai kemerdekaan seperti bangsa yang kuat, bersatu,
tidak mengaku kalah dan berputus asa atau bangsa yang disebut sebagai berjiwa
merdeka.
Firman Allah SWT: “Dia berkata
(Nabi Sulaiman), Ini ialah daripada limpah kurniaan Tuhanku, untuk mengujiku
adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. (Sebenarnya) sesiapa yang
bersyukur, maka faedah syukurnya itu hanyalah kembali kepada dirinya sendiri,
dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi mudarat kepada Allah),
kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah.” (Surah An-Naml, ayat 40)
Jiwa merdeka yang disuburkan
perlu diserap dalam segala tindakan termasuk dalam berorganisasi iaitu dengan
memerdekakan organisasi daripada sebarang bentuk cengkaman atau belenggu yang
melemah serta memudaratkan.
Usaha memerdekakan organisasi
boleh ditumpukan kepada memerdekakan hati warga daripada sifat mazmumah (seperti
hasad dengki, khianat, fitnah dan buruk sangka) kepada sifat mahmudah (seperti berbaik sangka).
Kedua, memerdekakan akal
daripada pemikiran yang sempit dan negatif kepada positif, terbuka dan kreatif.
Ketiga, memerdekakan fizikal daripada lemah dan malas kepada cergas,
lebih bertenaga dan sihat.
Keempat, memerdekakan
jiwa daripada mementingkan diri sendiri dan materialistik kepada yang
bersederhana, yang mendahulukan kepentingan pelanggan dan orang ramai. Kelima,
memerdekakan tabiat dan budaya kerja yang bergantung kepada arahan dan
bantuan rakan kepada yang proaktif.
Tidak berlandas undang-undang
Keenam, memerdekakan
tindakan yang tidak berlandaskan undang-undang, peraturan, adab, norma dan
unsur tidak halal kepada halal. Kewajipan memartabatkan ‘organisasi merdeka’
adalah bukti kesyukuran dan kasih sayang terhadap organisasi dan nikmat sumber
rezeki.
Firman Allah SWT: “Dan tuntutlah
dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan
kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan
dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah)
sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang
melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi,
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Surah
al-Qasas, ayat 77)
Justeru, marilah kita terus
berusaha menjelmakan semangat dan nilai kemerdekaan dalam bekerja bagi
membebaskan diri daripada cengkaman amalan serta budaya kerja negatif kepada
budaya kerja cemerlang, profesional dan berprestasi.
Inilah lambang kesyukuran dan
bukti jiwa merdeka yang diusahakan untuk meraih keampunan, rahmat dan
keberkatan Ilahi serta menjana model contoh ‘organisasi merdeka’ demi faedah
semua.
Penulis Prof Madya di Jabatan
Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan