Oleh : NIZAM YATIM
PADA 8 Ogos lalu, Persatuan
Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) merayakan hari ulang tahun ke-45. Sambutan
pada tarikh itu diadakan secara berasingan di 10 negara anggota iaitu Brunei,
Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura, Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam dan
Malaysia.
Di Malaysia, sambutan diadakan di
Dewan Serbaguna Wisma Putra, Putrajaya yang dihadiri oleh Timbalan Menteri
Luar, Senator A. Kohilan Pillay dan duta-duta dari negara ASEAN.
Sekretariat ASEAN di Jakarta pula
mengadakan majlis melepaskan belon yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agungnya,
Surin Pitsuwan dan program sama turut diadakan di Rumah Tetamu Kerajaan di
Hanoi, Vietnam yang dihadiri Menteri Luar negara itu, Pham Binh Minh.
Langkah meraikan ulang tahun itu
memang kena pada masanya kerana telah banyak kejayaan dicapai ASEAN termasuk
dalam mengukuhkan ekonomi negara anggota dengan pembentukan Kawasan Perdagangan
Bebas ASEAN (AFTA).
Pembangunan ekonomi dapat
dilaksanakan dengan pesat berikutan wujudnya keamanan dan kestabilan di rantau
Asia Tenggara apabila setiap negara anggota berpegang kepada prinsip untuk
bersatu dan bersahabat seperti yang diperlihatkan menerusi 10 tangkai padi yang
terdapat pada logo rasmi ASEAN.
Sebelum ASEAN ditubuhkan, rantau
berkenaan agak bergelora dengan pelbagai konflik antaranya konfrontasi antara
Indonesia dan Malaysia serta Perang Vietnam pada 1960-an.
Dengan wujudnya ASEAN, hubungan
negara-negara di rantau itu semakin baik dan masing-masing cuba memberi
sumbangan bagi meningkatkan kerjasama terutama dalam bidang ekonomi, politik
dan sosial.
Semangat saling bekerjasama itu
telah membolehkan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja berhubung kuil
Preah Vihear pada 2011 diselesaikan dengan baik.
Isu tuntutan bertindih seperti
Pulau Sipadan dan Ligitan antara Malaysia dengan Indonesia pada 2002 dan Pulau
Batu Putih antara Singapura dan Malaysia pada 2008 juga berjaya diselesaikan
secara harmoni dengan masing-masing akur dengan keputusan Mahkamah Keadilan
Antarabangsa (ICJ).
Sikap saling mempercayai juga
cukup terserlah apabila Myanmar yang dilanda Taufan Nargis pada 2008 sehingga
ratusan ribu nyawa terkorban hanya bersetuju menerima bantuan ASEAN dan menolak
bantuan antarabangsa lain.
ASEAN juga berjaya memujuk
Myanmar agar melaksanakan reformasi politik sehingga membolehkan pilihan raya
awam dilaksanakan dan ikon demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi aktif
berpolitik.
Berdasarkan sejarah, ASEAN
ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh lima pemimpin iaitu Menteri Luar Indonesia,
Adam Malik; Filipina (Narciso R. Ramos); Malaysia (Tun Abdul Razak Hussin);
Singapura (S. Rajaratnam) dan Thailand (Thanat Khoman) di Bangkok, Thailand.
ASEAN melengkapkan keanggotaannya
menjadi 10 negara apabila Brunei menyertainya pada 1984, Vietnam (1995), Laos
dan Myanmar (1997) serta Kemboja (1999).
Jika Timor Leste menjadi anggota
terbaru, maka bilangan keanggotaan ASEAN akan meningkat kepada 11. Namun,
setakat ini tiada sebarang kata putus terhadap permohonan dari negara yang
merdeka dari Indonesia pada 2002.
Dengan jumlah 10 anggota
sekarang, ASEAN mempunyai lebih 558 juta penduduk. Bilangan yang ramai dan
ekonomi kukuh sepatutnya membolehkannya mempunyai kuasa tawar-menawar yang
tinggi.
Bagaimanapun, ketika menyambut
usia yang ke-45, ASEAN tidak dapat lari daripada pelbagai cabaran baru
antaranya isu status kerakyatan etnik Muslim Rohingya yang tidak diiktiraf
kerajaan Myanmar.
Jika isu ini tidak ditangani
dengan baik, ia sudah pasti merenggangkan hubungan Myanmar dengan negara-negara
Islam dalam ASEAN.
Cabaran lain adalah penghijrahan
pendatang tanpa izin, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, lanun dan
jenayah rentas sempadan.
Isu terbesar sudah pasti
berkaitan kegagalan ASEAN mencapai kata sepakat berhubung tuntutan pulau-pulau
di Laut China Selatan yang melibatkan Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei
dengan China.
Sewaktu Persidangan
Menteri-Menteri Luar yang diadakan di Phnom Penh, Kemboja pada 6 hingga 13
Julai lalu, tuan rumah yang juga Pengerusi ASEAN mengambil sikap memihak kepada
China apabila mahu isu itu diselesaikan secara bilateral dan bukannya melalui
platform ASEAN.
Ini bermakna Phnom Penh
berpendapat negara yang mempunyai isu tuntutan tersebut perlu berunding dengan
China secara bersendirian tanpa melibatkan ASEAN.
Pendirian Kemboja disanggah oleh
Filipina dan Vietnam yang mahukan isu diselesaikan menerusi platform ASEAN sama
seperti pertikaian kuil Preah Vihear.
Inilah kali pertama sepanjang
sejarah 45 tahun penubuhannya, ASEAN gagal mencapai kata sepakat.
Sikap berpihak Kemboja dan sikap
berdiam diri Myanmar serta Laos yang mempunyai hubungan rapat dengan Beijing
berhubung isu itu membuatkan ASEAN berada dalam dilema bagaimana untuk mencapai
kata sepakat seperti yang telah diamalkan sekian lama.
Mengulas perkara itu, Menteri
Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata, kegagalan mencapai
kata sepakat itu harus menjadi peringatan kepada ASEAN untuk memperkukuh dan
mengekalkan barisan yang bersatu padu demi menghadapi cabaran masa depan.
"Tidak ada pilihan lain
untuk kita kecuali untuk bersatu," katanya.
Oleh itu, untuk kekal relevan
sudah sampai masanya negara-negara anggota kembali kepada sikap asal yang cuba
diterapkan pemimpin pengasas ASEAN yang berkumpul di Bangkok pada 1967.
Sikap itu adalah untuk memberikan
keutamaan kepada negara anggota dan tidak membiarkan negara luar campur tangan
bagi memporakperandakan perpaduan ASEAN.
Negara-negara ASEAN harus sedar
bahawa dengan bersatu sahaja mereka dapat berdepan dengan China yang semakin
agresif menuntut pulau-pulau yang dianggap miliknya berasaskan faktor sejarah
dan bukannya berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan