Sabtu, 8 September 2012

ISU GLOBAL : ASEAN hadapi cabaran besar


Oleh : NIZAM YATIM

PADA 8 Ogos lalu, Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) merayakan hari ulang tahun ke-45. Sambutan pada tarikh itu diadakan secara berasingan di 10 negara anggota iaitu Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura, Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam dan Malaysia.

Di Malaysia, sambutan diadakan di Dewan Serbaguna Wisma Putra, Putrajaya yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay dan duta-duta dari negara ASEAN.

Sekretariat ASEAN di Jakarta pula mengadakan majlis melepaskan belon yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agungnya, Surin Pitsuwan dan program sama turut diadakan di Rumah Tetamu Kerajaan di Hanoi, Vietnam yang dihadiri Menteri Luar negara itu, Pham Binh Minh.

Langkah meraikan ulang tahun itu memang kena pada masanya kerana telah banyak kejayaan dicapai ASEAN termasuk dalam mengukuhkan ekonomi negara anggota dengan pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).

Pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan dengan pesat berikutan wujudnya keamanan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara apabila setiap negara anggota berpegang kepada prinsip untuk bersatu dan bersahabat seperti yang diperlihatkan menerusi 10 tangkai padi yang terdapat pada logo rasmi ASEAN.

Sebelum ASEAN ditubuhkan, rantau berkenaan agak bergelora dengan pelbagai konflik antaranya konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia serta Perang Vietnam pada 1960-an.

Dengan wujudnya ASEAN, hubungan negara-negara di rantau itu semakin baik dan masing-masing cuba memberi sumbangan bagi meningkatkan kerjasama terutama dalam bidang ekonomi, politik dan sosial.

Semangat saling bekerjasama itu telah membolehkan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja berhubung kuil Preah Vihear pada 2011 diselesaikan dengan baik.

Isu tuntutan bertindih seperti Pulau Sipadan dan Ligitan antara Malaysia dengan Indonesia pada 2002 dan Pulau Batu Putih antara Singapura dan Malaysia pada 2008 juga berjaya diselesaikan secara harmoni dengan masing-masing akur dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Sikap saling mempercayai juga cukup terserlah apabila Myanmar yang dilanda Taufan Nargis pada 2008 sehingga ratusan ribu nyawa terkorban hanya bersetuju menerima bantuan ASEAN dan menolak bantuan antarabangsa lain.

ASEAN juga berjaya memujuk Myanmar agar melaksanakan reformasi politik sehingga membolehkan pilihan raya awam dilaksanakan dan ikon demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi aktif berpolitik.

Berdasarkan sejarah, ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh lima pemimpin iaitu Menteri Luar Indonesia, Adam Malik; Filipina (Narciso R. Ramos); Malaysia (Tun Abdul Razak Hussin); Singapura (S. Rajaratnam) dan Thailand (Thanat Khoman) di Bangkok, Thailand.

ASEAN melengkapkan keanggotaannya menjadi 10 negara apabila Brunei menyertainya pada 1984, Vietnam (1995), Laos dan Myanmar (1997) serta Kemboja (1999).

Jika Timor Leste menjadi anggota terbaru, maka bilangan keanggotaan ASEAN akan meningkat kepada 11. Namun, setakat ini tiada sebarang kata putus terhadap permohonan dari negara yang merdeka dari Indonesia pada 2002.

Dengan jumlah 10 anggota sekarang, ASEAN mempunyai lebih 558 juta penduduk. Bilangan yang ramai dan ekonomi kukuh sepatutnya membolehkannya mempunyai kuasa tawar-menawar yang tinggi.

Bagaimanapun, ketika menyambut usia yang ke-45, ASEAN tidak dapat lari daripada pelbagai cabaran baru antaranya isu status kerakyatan etnik Muslim Rohingya yang tidak diiktiraf kerajaan Myanmar.

Jika isu ini tidak ditangani dengan baik, ia sudah pasti merenggangkan hubungan Myanmar dengan negara-negara Islam dalam ASEAN.

Cabaran lain adalah penghijrahan pendatang tanpa izin, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, lanun dan jenayah rentas sempadan.

Isu terbesar sudah pasti berkaitan kegagalan ASEAN mencapai kata sepakat berhubung tuntutan pulau-pulau di Laut China Selatan yang melibatkan Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei dengan China.

Sewaktu Persidangan Menteri-Menteri Luar yang diadakan di Phnom Penh, Kemboja pada 6 hingga 13 Julai lalu, tuan rumah yang juga Pengerusi ASEAN mengambil sikap memihak kepada China apabila mahu isu itu diselesaikan secara bilateral dan bukannya melalui platform ASEAN.

Ini bermakna Phnom Penh berpendapat negara yang mempunyai isu tuntutan tersebut perlu berunding dengan China secara bersendirian tanpa melibatkan ASEAN.

Pendirian Kemboja disanggah oleh Filipina dan Vietnam yang mahukan isu diselesaikan menerusi platform ASEAN sama seperti pertikaian kuil Preah Vihear.

Inilah kali pertama sepanjang sejarah 45 tahun penubuhannya, ASEAN gagal mencapai kata sepakat.

Sikap berpihak Kemboja dan sikap berdiam diri Myanmar serta Laos yang mempunyai hubungan rapat dengan Beijing berhubung isu itu membuatkan ASEAN berada dalam dilema bagaimana untuk mencapai kata sepakat seperti yang telah diamalkan sekian lama.

Mengulas perkara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata, kegagalan mencapai kata sepakat itu harus menjadi peringatan kepada ASEAN untuk memperkukuh dan mengekalkan barisan yang bersatu padu demi menghadapi cabaran masa depan.

"Tidak ada pilihan lain untuk kita kecuali untuk bersatu," katanya.

Oleh itu, untuk kekal relevan sudah sampai masanya negara-negara anggota kembali kepada sikap asal yang cuba diterapkan pemimpin pengasas ASEAN yang berkumpul di Bangkok pada 1967.

Sikap itu adalah untuk memberikan keutamaan kepada negara anggota dan tidak membiarkan negara luar campur tangan bagi memporakperandakan perpaduan ASEAN.

Negara-negara ASEAN harus sedar bahawa dengan bersatu sahaja mereka dapat berdepan dengan China yang semakin agresif menuntut pulau-pulau yang dianggap miliknya berasaskan faktor sejarah dan bukannya berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan