Oleh : NIZAM YATIM
PADA Selasa ini, satu peristiwa
bersejarah bakal dilakarkan apabila dilancarkan laporan awal Pelan Pembangunan
Pendidikan (PPP) 2013-2025.
Laporan awal itu yang akan
dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat
Konvensyen Kuala Lumpur bertujuan menghasilkan modal insan unggul, kreatif,
berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa melalui sistem
pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia.
Selepas pelancaran laporan awal
dalam bentuk dokumen itu yang mengandungi pandangan, cadangan dan maklum balas
untuk mempertingkatkan sistem pendidikan negara, ia akan dipaparkan untuk
dilihat orang ramai.
Orang ramai boleh meneliti
dokumen awal tersebut dan mengemukakan pelbagai cadangan tambahan sebelum ia
dimuktamadkan pada penghujung tahun ini.
Sebahagian daripada cadangan itu
diperoleh daripada Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 yang telah diadakan
di seluruh negara dengan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran,
Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Mohd. Nordin.
Sesi dialog itu telah membolehkan
segenap lapisan masyarakat seperti golongan petani, pemandu teksi, pekerja
kilang, peniaga, warga pendidik hinggalah kepada pelbagai latar belakang
kumpulan profesional mengemukakan cadangan.
Selain dialog, pandangan juga
diperoleh melalui Twitter, Facebook dan laman-laman web. Ia juga mengambil kira
pandangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNESCO), Bank Dunia, hasil kajian 12 panel bebas, empat panel
antarabangsa yang dilantik, laporan daripada enam Institusi Pengajian Tinggi
Awam (IPTA) dan sembilan makmal pendidikan.
Dokumen awal PPP itu akan
memaparkan pelbagai cadangan yang melibatkan sembilan bidang utama yang
dianggap kritikal untuk mentransformasi pendidikan negara dan perlu diberikan
perhatian oleh kerajaan.
Pertama, memartabatkan profesion
keguruan. Untuk itu, Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada usaha
meningkatkan kualiti guru melalui pengambilan calon-calon guru yang memiliki
keputusan akademik cemerlang serta meningkatkan kualiti latihan praperkhidmatan
dan dalam perkhidmatan untuk guru.
Di samping itu, kementerian akan
menambah bilangan guru dengan nisbah satu guru bagi setiap 13 murid, iaitu
melebihi purata antarabangsa satu guru bagi setiap 16 murid.
Kedua, meningkat kualiti
kepimpinan sekolah. Antara kaedah yang dilaksanakan adalah memberikan ganjaran
kepada pengetua dan guru besar yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam
meningkatkan prestasi sekolah.
Ia juga melibatkan langkah
memperkenalkan kaedah pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan merit dan
pelan peralihan kepimpinan sekolah yang berkesan.
Ketiga, meningkatkan kualiti
sekolah yang sekali gus akan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Antara ciri-ciri sekolah berkualiti adalah yang mempunyai kemudahan teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT).
Untuk tujuan ini, kerajaan akan
meningkatkan kemudahan ICT kepada sekolah termasuk kemudahan jalur lebar dan
internet berkelajuan tinggi bagi memudahkan murid mengakses maklumat di dunia
maya.
Keempat, memantapkan kualiti
kurikulum dan pentaksiran untuk menyediakan modal insan abad ke-21.
Keutamaan yang diberikan adalah
untuk membina satu kurikulum yang memenuhi piawaian antarabangsa dengan
menekankan aspek kemahiran kreatif, penyelesaian masalah dan inovasi yang
merupakan ramuan utama untuk melahirkan modal insan yang mampu untuk bersaing
di peringkat global.
Kelima, meningkatkan penguasaan
pelbagai bahasa di kalangan murid. Ia akan dilaksanakan tanpa menjejaskan
kepentingan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa
Inggeris sebagai bahasa kedua di negara kita.
Langkah meningkatkan penguasaan
bahasa ketiga seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa-bahasa antarabangsa lain
adalah selaras dengan kemunculan kuasa baru ekonomi dunia yang sebahagiannya
bertumpu di negara-negara Asia.
Keenam, menekankan penglibatan
ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan.
Satu aspek yang diberikan
penekanan dalam kajian semula pendidikan ini adalah peranan pihak
berkepentingan di luar lingkungan sekolah untuk berganding bahu dengan pihak
sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian murid.
Ketujuh, meningkatkan kesediaan
murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja. Pelan
pendidikan baru ini akan melengkapkan pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang
akan membolehkan mereka memasuki pasaran kerja dalam sektor yang berdaya saing.
Untuk tujuan itu, di samping
menguasai literasi dan numerasi, murid-murid akan dilengkapkan dengan kemahiran
abad ke-21 seperti kualiti kepimpinan, kemahiran menyelesaikan masalah,
pemikiran aturan tinggi (higher order thinking) dan kebolehan berkomunikasi
dengan berkesan.
Kelapan, memperbaiki kecekapan
dan keberkesanan pengurusan sumber. Ini bermakna, Kementerian Pelajaran akan
mengurus sumber dengan cekap bagi mengelakkan ketirisan dan pembaziran serta
memastikan sumber diagih secara optimum agar pulangan yang maksimum terhasil
daripada setiap ringgit yang dibelanjakan untuk pendidikan.
Kesembilan, membina kemampuan
serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan. Ini bermakna, kualiti kepimpinan
dan susunan urus tadbir kementerian akan diberikan perhatian yang utama dalam
usaha untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan fungsi pegawai di setiap
peringkat.
Ia akan melibatkan kira-kira
10,000 pegawai di peringkat kementerian, 6,000 di peringkat negeri, 4,000 di
peringkat daerah dan 420,000 guru di sekolah.
Kepada orang ramai yang sedang
menanti-nantikan pelancaran laporan awal PPP, marilah kita sama-sama
mengemukakan pelbagai cadangan membina supaya ia menjadi pelan pendidikan yang
melambangkan aspirasi rakyat seluruhnya.
Sumber : http :
//www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan