Khamis, 4 Oktober 2012

ISU BAHASA : Derita akibat makan lazat


Oleh : SRI DIAH

Apabila dipelawa makan tengah hari oleh seorang sahabat, saya angguk suka dan hati segera berkata Alhamdulillah. Kemudian apabila tiba di kedai makan, saya urut dada sambil berkata Allahuakbar. Berpinar mata melihat hidangan yang ada di atas meja jualan.

Di kedai yang ada tiga lot berderet itu terdapat lebih 100 jenis lauk-pauk hidangan moden dan tradisional. Daripada rebung masak lemak dengan perut hinggalah kepada ikan masin goreng bawang dan perahan asam limau.

Itu tidak termasuk mi kari, cucur udang, kuih lompat tikam, cendol, serawa labu dan cucur bawang cicah sos lada ataupun ada juga kuah kacang jika mahu. Kemudian ada berderet jenis air termasuk air batu campur, cendol dan kelapa gading.

Selera kecil saya terus menjadi lebih kecil melihat hidangan yang mahu dipilih. Saya keliru. Nafsu makan tenggelam timbul tidak menentu. Saya angkat, tabik pada tuan punya restoran dan lebih istimewa tukang masaknya!

Padahal baru kelmarin saya baca satu kajian mendapati kira-kira 1.6 bilion penduduk dunia kini alami berat badan berlebihan.

Di Amerika Syarikat ada lebih 70.8 peratus penduduknya obes; di Emiriyah Arab Bersatu, 68.3 peratus dan United Kingdom, 64.2 peratus. Di Australia, 63.7 peratus, di Brazil 51 peratus dan di Malaysia 44.2 peratus.

Lama juga tangan saya memegang pinggan berisi nasi putih separuh. Masih lagi saya  tawaf kali kedua mengelilingi meja hidangan. Nampak gaya nasi campur saya belum bercampur apa-apa tika berpusing kali ketiga.

Daripada artikel saya baca - pada 2011, Boston Emergency Service memperkenalkan ambulans khusus bagi mereka yang obes.

Kenderaan ini dilengkapi pengusung yang mampu menampung beban seberat 850Ib (386kg) serta lif hidraulik dengan kapasiti 1,000Ib (454kg) bagi memastikan keselamatan pesakit. Ini juga untuk mengurangkan kecederaan kakitangan yang terlibat untuk angkat pesakit terlampau berat.

Memanglah makanan segera antara punca obes secara mendadak. Kesedapan makanan segera telah menyembunyikan lebihan garam, gula dan serbuk perasa di dalamnya. Kandungan gas dalam minuman berkarbonat juga menjadikan minuman semakin sedap dinikmati hingga ke titisan terakhir.

Apabila pasukan bola sepak UAE gagal melayakkan diri dalam Piala Dunia 2010, Saleh Obaid, seorang pemain pertahanan meletakkan kegagalan tersebut atas ketagihan pasukan itu terhadap makanan segera.

“Kami makan makanan segera McDonald. Semuanya makan makanan segera McDonald. Tidak ada makanan yang sihat,” katanya. Kita ketahui, McDonald  antara penaja Piala Dunia 2010.

Ada banyak kempen telah dilaksanakan namun hasilnya bagaimana? Kempen kurangi penggunaan gula juga tidak berhasil. Kempen kurangkan minuman berkarbonat juga gagal. Lemak tepu dan lemak tidak tepu memasuki kerongkong kita dengan penuh rasa sedar.

Burger daging atau ayam (double!), ice blended penuh krim dan aiskrim tiga empat skop seperti melambai kita. Ini ditambah dengan piza daging import dan ayam goreng segera. Kemudian ada dua tiga bar coklat lemak manis dengan perasa yang pelbagai hiasan menarik dan lazat tidak terkata. Semua itu  memanggil-manggil nafsu kita.

Di Britain, masalah obesiti ini menyebabkan kematian sejumlah 9,000 orang setiap tahun. Itu adalah lebih awal daripada usia dijangkakan. Jika aliran ini berterusan, 90 peratus kanak-kanak di Britain akan mengalami obes menjelang 2050.

Hospital Royal Adelaide, Australia baru-baru ini mengumumkan suatu pengubahsuaian bagi membantu kakitangannya menangani kemasukan pesakit yang obes.

Mereka telah menyediakan satu bilik yang lebih luas dilengkapi alat pengangkat dipasang pada siling, kerusi roda dan katil diperkukuh serta mesin pengimbas tomografi berkomputer yang lebih besar.

Ini dipersiapkan kerana kemungkinan kakitangan mengalami kecederaan adalah 19 kali lebih tinggi sewaktu menggerakkan pesakit yang obes berbanding kecederaan lain.

Di Malaysia saya tidak pasti apakah rekod kesihatan pelajar tahun 1 yang  diambil setiap awal tahun betul-betul diperiksa semula selepas beberapa bulan mereka berada di sekolah. Sejauh mana pelajar obes dipantau dan mengapa tidak ada pihak ambil berat mengenai rekod berkenaan.

 Masalah berat badan berlebihan telah menjadi masalah sejagat. Ini juga adalah masalah paling berat bagi saya sepanjang memilih makan tengah hari pada hari itu.

Akhirnya saya lupakan lebih 99 jenis hidangan yang menggoda nafsu itu. Saya hanya ambil ikan goreng, sup sayur dan sambal tumis bilis. Itu sudah cukup untuk saya!

Sumber : http : //www.sinarharian,com,my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan